2010/09/14
SRINAGAR: Sekumpulan penduduk Islam yang berang membantah tindakan membakar al-Quran di Washington, bertindak membakar sebuah sekolah mubaligh di Kashmir India semalam. Beratus penduduk Islam yang marah melaungkan slogan anti-Amerika Syarikat dan pro-Islam sambil berarak menerusi jalan raya di perkampungan Tangmarg, 40 kilometer barat bandar utama di sini, sebelum menyerang Sekolah Tyndale Biscoe.Tiada siapa cedera dalam kes membakar sekolah yang sudah ditutup berikutan rusuhan itu.Sekolah itu adalah satu cabang sekolah tertua dikendalikan mubaligh di Kashmir India. Sekolah utama berada di sini, yang menghasilkan beberapa pemimpin birokrat India, doktor, peguam dan jurutera.
Polis melepaskan gas pemedih mata dan menghayun cota bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang berang, mencederakan sekurang-kurangnya empat orang, kata pegawai polis tempatan di Tangmarg.
Beratus penduduk Islam mengabaikan perintah darurat di seluruh rantau semalaman dan mengadakan bantahan sambil melaungkan slogan ‘Maut kepada AS!’ dan ‘Maut kepada pencabul Quran!’ di sini dan kawasan kejiranan, kata penduduk.
Bantahan itu meletus selepas Press TV berpusat di Iran menunjukkan sekumpulan kecil penunjuk perasaan mengoyakkan helaian al-Quran di luar Rumah Putih Sabtu lalu, sempena ulang tahun serangan 11 September di Amerika.
Bantahan sepanjang malam turut diadakan di daerah berjiran di Budgam dan Baramulla, dengan penduduk menyekat jalan raya dan membaca kitab suci umat Islam, kata polis dan saksi.
“Ini adalah tindakan yang amat dikeji. Penjenayah perlu dihukum kerana menghina sentimen umat Islam.
“Kami tak akan membiarkannya dipijak. Kami akan teruskan bantahan,” kata ulama dan pemimpin pemisah Syiah, Aga Syed Hassan dari bandar Budgam.
Amerika menyambut ulang tahun kesembilan serangan 11 September di tengah ketegangan memuncak agama selepas ancaman paderi radikal Florida untuk membakar al-Quran.
Paderi itu kemudian mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pembakaran itu. – AFP
No comments:
Post a Comment