Pages

Tuesday, September 14, 2010

13,000 rumah Yahudi akan dibina


BAITULMAQDIS 13 Sept. - Pembinaan lebih 13,000 penempatan haram baru Yahudi di Tebing Barat telah diluluskan dan akan dilaksanakan apabila tempoh pembekuan tamat bulan ini, menurut kumpulan pemerhati, hari ini.
Kenyataan itu dibuat selepas beberapa laporan menyatakan bahawa rejim Zionis Israel merancang menyambung semula pembinaan beberapa penempatan haram Yahudi selepas kerajaan Israel membeku selama 10 bulan ke atas sebahagian aktiviti pembinaan perumahan di kawasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang akan berakhir pada 26 September ini.
Kumpulan anti-penempatan haram, Peace Now berkata, kerja-kerja pecah tanah sudah pun dimulakan untuk pembinaan 2,066 unit rumah dan sebanyak 11,000 lagi telah mendapat kelulusan kerajaan.
"Ini bermakna, jika Israel memutuskan berpegang kepada 'pembukuan tanpa bertulis' sementara dan komited untuk tidak meluluskan pembinaan baru, tetapi tanpa memperbaharui arahan pembekuan itu, penempatan haram sebanyak 13,000 masih boleh dibina," kata Peace Now.
Tambahnya, 25,000 unit lagi sedang menunggu kelulusan akhir daripada kerajaan Israel.
Seorang pegawai Israel yang enggan dikenali mengesahkan bahawa kira-kira 2,000 unit kediaman mungkin dibina tanpa sebarang kelulusan.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama pada minggu lalu menggesa Perdana Menteri Benjamin Natanyahu melanjutkan pembekuan pembinaan penempatan haram itu. - AFP

No comments: