Pages

Tuesday, September 14, 2010

22 tahun Abdullah menanti isteri




2010/09/14

ABDULLAH menanti di pondok usangnya di Kampung Baru Penyabung Endau.
ABDULLAH menanti di pondok usangnya di Kampung Baru Penyabung Endau.
ENDAU: Seorang warga emas masih menantikan kepulangan isterinya yang secara tiba-tiba menghilangkan diri tanpa khabar berita sejak lebih 22 tahun lalu. 

Setiap kali menjelang Syawal, Abdullah Mohd Ali, 86, dari Kampung Baru, Penyabong dekat Endau, di sini pasti akan bersedih mengingati Khadijah Puteh yang menghilangkan diri ketika berusia 51 tahun.Ketika kejadian, Abdullah berkata, Khadijah bersendirian bersama anak di rumah dan ketika pulang dari bekerja, dia mendapati isterinya sudah tiada serta meninggalkan tiga anak di rumah .
Katanya, sebelum kejadian Khadijah pernah beberapa kali hilang dari rumah mereka, namun pulang semula selepas beberapa hari menghilangkan diri. 

Beliau berkata, ketika ditanya ke mana isterinya menghilangkan diri, dia tidak dapat menceritakannya kerana mulut isterinya, seolah-olah terkunci dan tiada sebarang perubahan pada dirinya. 

"Kejadian misteri berkenaan berlaku beberapa kali sehinggalah peristiwa terakhir berlaku pada 22 tahun lalu yang melenyapkan terus dia daripada keluarga. 

“Isteri saya bukan jenis orang yang suka merayau dan keluar rumah tanpa memberitahu suami, namun kejadian berkenaan menjadi misteri kerana dia hilang semasa berada di rumah. 
“Ketika itu saya bekerja sebagai nelayan, apabila pulang ke rumah saya dapati isteri sudah tiada,” katanya yang kini tinggal bersendirian di pondok usang hampir roboh di kampung berkenaan. 

Abdullah berkata, dia sudah membuat laporan polis mengenai kehilangan isterinya selain berusaha mengesan Khadijah secara tradisional, namun semuanya tidak berhasil. 

“Lebih sukar lagi apabila semua gambar Khadijah tiada dalam simpanan saya untuk ditunjukkan kepada pihak media,” katanya. 

Beliau berkata, ramai pengamal perubatan tradisional ketika itu mengatakan isterinya masih hidup dan disembunyikan makhlus halus di Bukit Tioman, Tanjung Resang. 

Walau apapun dikatakan pihak tertentu, Abdullah tetap berusaha mengesan dan mencari isterinya itu dan sehingga sekarang dia masih mengharapkan kepulangan isteri tercinta terutama di bulan Syawal ini. 

“Setiap kali menjelang Aidilfitri, ingatan saya pasti tertumpu kepada Khadijah kerana saya masih teringatkan kenangan menyambut hari raya bersamanya,” katanya. 

Beliau yang menerima elaun sara diri sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) begitu berharap dapat bertemu dengan isterinya sebelum menghembuskan nafas terakhir dan sekiranya isterinya sudah meninggal dunia, dia tetap berharap boleh menziarahi kubur berkenaan bersama anak-anaknya. 

No comments: