Pages

Friday, September 17, 2010

Lojing diancam pencemaran


Tanah dan bukit ditarah untuk dijadikan kebun sayur dan tanaman bunga di Lojing baru-baru ini. -UTUSAN/Hafiz Johari


GUA MUSANG 16 Sept. - Apakah kawasan Tanah Tinggi Lojing akan menerima nasib yang sama seperti jirannya, Cameron Highlands?
Itu persoalan yang timbul apabila kawasan tersebut seolah-olah dibangunkan tanpa perancangan teliti sehingga menyebabkan pencemaran alam yang serius.
Masalah tersebut bukan baru tetapi telah dibangkitkan beberapa kali sebelum ini, namun sehingga hari ini ia tidak menampakkan sebarang perubahan malah kawasan penanaman sayur dan bunga semakin rancak di tanah tinggi tersebut.
Berikutan itu, kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendapati kawasan pembiakan pelbagai spesies bunga raflesia semakin dihimpit oleh penanam sayur yang ghairah mencari keuntungan tanpa memikirkan kesannya terhadap alam sekitar.
Pensyarah Kanan Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli UMK, Zulhazman Hamzah berkata, sekiranya kawasan raflesia diusik, ia juga memberi erti bahawa kawasan tadahan air di Tanah Tinggi Lojing akan musnah.
Beliau berkata, pihaknya menemui kawasan seluas 650 hektar yang menjadi tempat pembiakan raflesia telah diancam dan sedang menunggu masa untuk dimusnahkan sepenuhnya oleh pembangunan tidak terancang.
"Agak sukar untuk menyatakan kawasan tadahan air ini akan selamat kerana ada di antaranya terletak di atas tanah yang telah diberikan kepada individu tertentu.
"Usaha perlu dilakukan secepat mungkin bagi memastikan kawasan ini dapat diselamatkan, jika boleh bukan hanya 650 hektar itu sahaja tetapi kawasan-kawasan lain yang juga sumber alam dan kawasan tadahan air, salah satu caranya ialah mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai kawasan pemuliharaan raflesia ," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan tersebut mendapati beberapa buah bukit telah digondolkan untuk dijadikan kebun sayur atau bunga oleh individu tertentu.
Bagaimanapun ia tidak seteruk dialami oleh Cameron Highlands tetapi limpahan daripada kawasan tersebut dijangka memberikan kesan kepada Lojing kerana peneroka kebun sayur sudah pasti akan mencari tapak baru untuk meluaskan 'empayar' tanamannya.
Menyedari masalah tersebut, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika menjawab soalan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan telah menggesa pihak berkuasa tempatan dan agensi yang berkaitan supaya mengambil tindakan tegas bagi menyekat penerokaan haram itu.
Zulhazman Hamzah bersama kudup Reflesia Kerrii di Tanah Tinggi Lojing, baru-baru ini.


Tanah tinggi Lojing terletak dalam jajahan Gua Musang bersempadan dengan Pahang (Cameron Highlands) dan Perak dengan kawasan ketinggian lebih 1,400 meter meliputi seluas 32,000 hektar serta suhu sekitar 16 celsius.
Pada tahun 2007, isu Lojing mendapat liputan meluas media apabila difahamkan kawasan seluas 22,000 hektar telah diluluskan kepada 22 syarikat kerajaan negeri, swasta dan lain-lain untuk pertanian, rekreasi dan ekopelancongan dengan sumber pembalakan di kawasan terbabit dianggarkan RM250 juta.
Isu pembalakan haram dan penerokaan dan pembalakan yang tidak terkawal di kawasan itu kembali memuncak kerana keadaan kemusnahan alam sekitar dilaporkan semakin parah.
Zulhazman berkata, kesemua kawasan raflesia berada di luar kawasan hutan simpan.
Sebahagiannya berada dalam tanah milik kerajaan negeri dan sebahagiannya berada dalam tanah milik persendirian.
"Sekiranya tidak digazetkan sebagai kawasan pemuliharaan raflesia, saya percaya kawasan tersebut akan musnah kerana kebun sayur yang baru dibuka hanya terletak kira-kira dua kilometer sahaja daripada kawasan raflesia tersebut.
"Alam semula jadi akan termusnah, berlaku hakisan cerun bukit, air sungai akan tercemar, mata pencarian Orang Asli suku Temiar sebagai pemandu pelancong untuk melihat raflesia akan terancam," katanya.
Beliau berkata, pihak-pihak berwajib seperti agensi-agensi kerajaan negeri, UMK, Kementerian Pelancongan dan Pejabat Daerah perlu bersama berbincang dan merangka pelan strategi memulihara kawasan tersebut.
Zulhazman berkata, beliau telah menjalankan penyelidikan mengenai raflesia di kawasan itu sejak dua tahun lalu dan mendapati ia telah menarik ramai pelancong termasuk dari luar negara.
"Menerusi teknik Sistem Maklumat Geografi (GIS), saya telah menemui 26 lokasi raflesia dalam kawasan Kampung Cedau, Kampung Kuala Rengi dan Kampung Gedik.
"Bagaimanapun kesemua kawasan ini terletak di luar kawasan hutan simpan dan ia amat penting untuk dijaga daripada dicemari pembangunan.
"Spesies Kerrii hanya terdapat dari kawasan Selatan Thai sehingga ke sempadan Kelantan, Pahang dan Terengganu, ia tidak terdapat di negara lain," katanya.
Menurutnya, UMK telah menghantar kertas cadangan kepada kerajaan negeri meminta kawasan tersebut diwartakan secepat mungkin untuk dilindungi daripada dibangunkan sebagai kawasan pertanian.

No comments: