Pages

Friday, September 17, 2010

Kereta masa depan


Kereta keluaran syarikat Edison2 'Very Light Car No 98' melakukan ujian pemanduan di litar antarabangsa Michigan di Brooklyn, Michigan. - AP


DETROIT 16 Sept. - Sebuah kereta yang sangat ringan dan boleh dipandu sejauh 231 kilometer bagi setiap liter minyak memenangi Automotive X Prize dengan menerima hadiah wang berjumlah AS$10 juta (RM31.2 juta), pada pertandingan untuk membangunkan kenderaan berprestrasi tinggi.
Walaupun, belum dapat dijual dalam bentuknya sekarang, 'Very Light Car No. 98' ciptaan syarikat Edison2 mendapat perhatian dengan langkah inovatif menggunakan bahan ringan, rekaan aerodinamik dan kos pengeluaran yang sangat rendah.
Pengasas Edison2 yang beribu pejabat di Lynchburg, Virginia, Oliver Kuttner berkata, harga sasaran bagi kereta berkenaan ialah sebanyak AS$20,000 (RM62,320).
'Very Light Car No. 98' mampu membawa empat penumpang dan dibina menggunakan kerangka aluminium seberat 376 kilogram atau satu perempat daripada berat purata sebuah kereta.
Ia kelihatan seperti kereta masa depan dengan tayar diletakkan jauh daripada badan kereta untuk membantu mengelakkan kemalangan.
Kuttner yang merupakan seorang pemaju hartanah dan pemandu kereta lumba berkata, sebuah pasukan dengan 100 anggota terdiri daripada pelumba veteran menghasilkan kereta itu.
Mereka memilih untuk menggunakan enjin satu silinder berkuasa etanol berbanding enjin elektrik kerana bateri menambahkan berat dan petrol lebih mudah didapati di mana-mana.
Namun inovasi kereta ini terletak pada rekaan aerodinamik dan penggunaan bahan ringan.
Edison2 memperolehi sebanyak AS$5 juta (RM15.6 juta), separuh daripada wang hadiah itu tetapi Kuttner berkata, Edison2 membelanjakan lebih daripada itu untuk membangunkan kereta itu, tanpa mendedahkan angka sebenar.
Tambahnya, sebahagian wang hadiah itu akan disalurkan kepada pembangunan kereta ringan generasi baru yang mana pasukannya akan memberi tumpuan kepada kereta yang lebih mesra pelanggan dan lebih menarik perhatian tanpa menambah berat atau menjejaskan ciri-ciri penjimatan ekonomi.
Kuttner menjelaskan, sebaik-baik Edison2 yakin kereta itu sudah bersedia untuk dipasarkan, rakan niaga akan dicari untuk pengeluaran dan pemasarannya. - AP

No comments: