Pages

Sunday, September 19, 2010

Letupan di Baghdad 29 maut, 111 cedera


19/09/2010 7:07pm

BAGHDAD 19 Sept. - Dua letupan bom serentak menggegar kota Baghdad hari ini, mengorbankan sekurang-kurangnya 29 nyawa dan mencederakan 111 yang lain.
Keganasan tersebut merupakan yang terburuk berlaku di Iraq sejak tentera Amerika Syarikat (AS) secara rasmi mengumumkan berakhirnya operasi tempur pada 1 September lalu, di tengah-tengah kebuntuan politik yang masih melanda negara ini selepas pilihan raya Mac lalu.
Menurut wartawan AFP dan pegawai keselamatan, letupan berkembar itu berlaku berhampiran persimpangan Aden di utara Baghdad dan di daerah kejiranan Mansur di barat ibu negara, kira-kira pukul 10.10 pagi waktu tempatan (3.10 petang ini waktu Malaysia).
Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri meletakkan angka korban kepada 29, 19 daripadanya maut di Aden, sementara bakinya di Mansur.
“Kejadian di Aden melibatkan sebuah bas mini. Pemandu bas secara tiba-tiba berhenti dan memberitahu penduduk sekitar yang dia perlu berjumpa doktor.
“Beberapa minit kemudian, bas itu meletup,” kata Abu Abdullah, 40, yang berada berhampiran kawasan kejadian.
Seorang wartawan AFP yang berada di tempat kejadian berkata, letupan di hadapan bangunan Polis Persekutuan Iraq itu membentuk kawah dengan diameter tiga meter.
Di Mansur, seorang wartawan AFP melaporkan, dia ternampak beberapa mayat berdarah bergelimpangan di jalan-jalan, dengan beberapa kereta terbakar dan dua buah bangunan musnah, sementara rumah-rumah berhampiran turut rosak teruk. - AFP

No comments: