Pages

Sunday, September 19, 2010

Kejar rahmat Allah sepanjang Syawal

RASULULLAH SAW bersabda: “Hiasilah Hari Raya kamu dengan (membanyakkan bacaan) takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (menyucikan Allah dari sifat-sifat kekurangan). (Riwayat Atthabarani)
Di dalam Syawal terhimpun pelbagai hikmah yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam, namun tanpa perlu melupakan Ramadan yang sudah berlalu pergi.

Seperti mana Ramadan, kedatangan Syawal ini turut memberi pelbagai fadilat kepada umat Islam di mana diberikan keistimewaan ‘puasa’ didalamnya.

Setiap umat Islam disunatkan untuk melakukan ‘puasa enam’ iaitu salah satu ibadat yang turut memberikan ganjaran yang cukup besar kepada individu yang melaksanakannya.

Ini sebagaimana hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang itu mengerjakan puasa sunat enam, maka diberikan kelebihan-kelebihan serta ganjaran kepada mereka.

Antara ganjaran Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa berpuasa Ramadan lantas disambung dengan enam hari pada bulan Syawal, maka ia bagaikan telah berpuasa selama setahun.” Jelas melalui ayat ini, ganjaran pahala diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang berpuasa enam pada bulan Syawal ini ialah seperti ganjaran pahala kepada yang berpuasa setahun. Antara kelebihan puasa enam itu juga, ia umpama ‘sunat rawatib’ sesudah solat fardu bagi menampung kekurangan puasa fardu (wajib).

Ia juga menjadi tanda syukur kepada nikmat yang diberikan di bulan Ramadan seperti nikmat kesihatan tubuh badan yang baik, mendapat kebaikan berlipat ganda serta diangkat darjatnya selain dipermudahkan urusan ketika dicabut nyawa kelak.

Namun, perlu diingatkan bahawa, ibadat sunat ini hanya boleh dilakukan selepas satu hari menyambut kedatangan Syawal sebagaimana diharamkan bagi umat Islam untuk meneruskan puasa apabila masuk hari pertama bulan berkenaan.

Daripada Abu ‘Ubaid maula Ibnu Azhar yang bernama Sa’ad bin ‘Ubaid, beliau berkata: “Aku pernah menghadiri hari raya bersama Umar bin Khattab dan beliau berkata bahawasanya apabila tibanya Syawal menggantikan Ramadan, maka dilarang bagi umat Islam untuk mengerjakan puasa. Larangan itu jelas bagi tempoh satu hari pertama kedatangan Syawal.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Puasa pada hari itu tidak dianggap sebagai puasa berikutan hukumnya tidak sah apabila dilakukan, tidak kira ia puasa qada atau puasa sunat, mahu pun puasa nazar. Hikmah larangan puasa pada hari itu adalah sebagaimana yang diisyaratkan dalam hadis yang bermaksud: “Apabila masuknya Aidilfitri, maka ia adalah tanda berakhirnya Ramadan. Hendaklah seseorang itu membezakan Ramadan dan Syawal dengan mengetahui batasan puasa serta wajiblah dia memutuskan puasa selama sebulan itu.” (Taisirul Allaam) Justeru, dengan kehadiran Syawal kali ini, dapatlah kita menginsafi diri dengan bersyukur kepada nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita dan sama-sama merebut Rahmat yang diberikan selagi masih hidup.

No comments: