SEATTLE, Amerika Syarikat (AS) - Seorang penumpang di dalam sebuah pesawat ringan yang menceroboh ruang udara dekat pesawat rasmi Presiden AS, Air Force One yang membawa Presiden Barack Obama, terkejut apabila mendapati dia dikepung oleh dua jet tentera.
Menurutnya, pencerobohan tersebut tidak disengajakan.
Susulan kejadian itu, pihak tentera menghantar dua jet pejuang yang mengeluarkan bunyi bising sehingga mengejutkan penduduk sekitarnya di Washington Barat.
Penumpang berkenaan, Laura Joseph berkata, ketika kejadian, pesawat jenis Cessna 180 yang dinaikinya sedang menuju ke sebuah pangkalan terbang di Tasik Washington, dekat bandar raya ini selepas berlepas dari Tasik Chelan, di Washington Timur.
Wanita itu memberitahu, dia dan juruterbang, Lee Daily, tidak mengetahui mengenai kunjungan Obama atau larangan terbang yang dikenakan berhubung lawatan Presiden AS itu.
"Saya melihat sebuah jet pejuang terbang melintas. Ketika itu saya terfikir agak ganjil melihat sebuah pesawat tentera dalam jarak sebegini dekat," katanya.
Wanita itu dan juruterbangnya telah disoal siasat oleh ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia yang melindungi Obama selepas mereka mendarat tetapi kedua-duanya dibebaskan setelah pihak berkuasa mendapati insiden itu berlaku dengan tidak disengaja. - AP
No comments:
Post a Comment