BAITULMUQADDIS - Seorang penduduk Palestin yang memecah masuk ke pejabat Kedutaan Turki di Tel Aviv, Israel dan cuba menahan beberapa tebusan kelmarin merupakan bekas pemberi maklumat Israel yang mencari suaka politik, kata peguam belanya, Avital Horev semalam.
Penduduk Palestin itu, Nadim Injaz ditahan di dalam kedutaan itu sebelum dia diserahkan kepada pihak berkuasa Israel.
Horev menyatakan anak guamnya itu yang lahir di bandar Ramallah dikehendaki oleh pihak berkuasa Palestin kerana bekerjasama dengan Israel.
Satu kenyataan rasmi dari Kementerian Luar Turki memberitahu Nadim telah memanjat tingkat satu bangunan kedutaan, bersenjatakan sebilah pisau, bekas mengisi petrol dan pistol mainan.
Namun, tiada sesiapa di kedutaan itu yang cedera dalam kejadian tersebut.
Sumber perubatan Israel menyatakan Nadim mengalami kecederaan kecil selepas dia ditembak di kaki pada Selasa lalu.
Dia kemudian dihantar ke hospital Ichilov di Tel Aviv.
"Sepanjang tahun 1990-an, dia berjaya menggagalkan banyak serangan Palestin dan menyelamatkan ramai nyawa askar serta penduduk Israel.
Namun, Shin Bet enggan memberinya perlindungan," kata Horev.
Shin Bet bagaimanapun menafikan mempunyai hubungan dengan Nadim.
Jurucakapnya menegaskan Nadim tidak pernah bekerja dengan Shin Bet dan kesnya dikendalikan oleh pihak polis. - AFP
No comments:
Post a Comment