Pages

Wednesday, August 18, 2010

R&R Sungai Perak pusat niaga Orang Asli


Penghulu R&R Sungai Perak, Nizamuddin Ahmad bersama rakannya sedang mendapatkan penerangan mengenai khasiat ubat tradisional yang dihasilkan oleh masyarakat Orang Asli.


DIBUKA secara rasmi pada tahun 1994, Lebuhraya Utara Selatan merupakan antara sistem jalan raya yang termoden di dunia.
Dengan terbinanya lebuh raya yang merentasi negara dari sempadan Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga ke Johor Bahru sejauh 1,000 kilometer itu, ia membuka banyak peluang baru kepada rakyat negara ini.
Bagi mereka yang selalu menggunakan lebuh raya ini tentu sedar dan nampak pertumbuhan bandar dan kawasan perumahan baru di sepanjang laluan ini.
Begitu juga dengan tempat-tempat pelancongan yang dulunya sepi dan hanya dikunjungi penduduk di sekitarnya, kini menjadi tumpuan termasuk pelancong dari luar.
Ini kesan daripada terbinanya lebuh raya yang dikendalikan oleh PLUS Expressway Berhad (PLUS) yang merupakan anak syarikat kepada UEM Group Berhad.
Sumbangan utamanya ialah 'mendekatkan' lagi badan-bandar utama di seluruh negara apabila tempoh perjalanan semakin pendek.
Tetapi ramai yang tidak sedar ialah peluang ekonomi yang disediakan di sebalik projek lebuh raya itu.
Yang ketara ialah peluang pekerjaan yang disediakan kepada penduduk yang terdapat di sepanjang laluannya.
Dari tukang kutip sampah hingga kepada penjaga tol. Banyak peluang pekerjaan baru diwujudkan oleh PLUS.
Kehadiran lebuh raya itu juga telah mencipta peluang perniagaan yang dapat membantu meningkatkan tahap sosio ekonomi penduduk tempatan yang tinggal dalam lingkungan 30 kilometer darinya.
Di sepanjang lebuh raya PLUS ada 28 kawasan Rehat dan Rawat (R&R) selain berpuluh lagi hentian sebelah yang banyak menyediakan peluang perniagaan kepada penduduk setempat.
Antara yang terawal ialah R&R Sungai Perak yang terletak di tengah-tengah perjalanan antara Bukit Kayu Hitam dan Kuala Lumpur.
Di sini merupakan hentian utama para pemandu dari utara yang mahu ke ibu negara terutama bas ekspres.
Apa yang menarik terdapat unit-unit kedai di R&R itu yang dimiliki oleh peniaga Orang Asli terutama daripada suku Temuan.
Penduduk Orang Asli yang selama ini hidup terpencil kini menggunakan kemudahan yang disediakan oleh PLUS untuk memasarkan produk tradisonal mereka.
Ia secara tidak langsung telah membuka laluan untuk mereka berdagang secara terus dengan para pengguna lebuh raya.
Malah PLUS sendiri mengambil inisiatif untuk membuka ruang kepada Orang Asli dari suku Temuan untuk berniaga di R&R Sungai Perak.
Salah seorang peniaga Orang Asli yang ditemui, Katijah Abdul Rahim, 23, berkata, sebelum ini hasil hutan yang diperolehi dijual kepada orang tengah untuk dipasarkan.
Akibatnya pendapatan yang mereka perolehi agak terhad kerana orang tengah yang mengaut untung lebih.
Namun katanya, sejak datuknya membuka gerai di R&R tersebut pendapatan keluarga mereka telah meningkat.
"Dulu susah, sebelum datuk buka kedai, nak berniaga pun susah. Sekarang bila kedai sudah di buka kami boleh jual barang-barang dari hutan terus ke kedai.
"Barangan yang dijual ada sesetengah daripadanya mengambil masa sehingga berminggu-minggu untuk dibawa keluar dari hutan.
"Malah masa yang diambil untuk memproses barangan tersebut juga memerlukan masa yang panjang.
"Dengan adanya kedai ini, ia memudahkan lagi kerana kami tak perlu lagi mencari barang-barang lain kerana kawan-kawan dari kampung pun boleh jual barang-barang kepada kita," katanya yang berasal dari Bukit Cermin.
Menurutnya, barangan yang dijualnya turut mendapat permintaan dari peniaga-peniaga di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

No comments: