Pages

Tuesday, May 11, 2010

Tafsir lengkap ayat ayat mutasyabihat “Dua tangan” bagi Allah


by salafytobat

Menjawab kepada persoalan akhi oo Raiser di chatbox mengenai ayat 75 surah sod. Syubhah yang dibawa oleh golongan wahabi yang tidak kunjung padam ini telah mengelirukan ramai orang. Menjadi tanggungjawab kepada yang tahu untuk menjelaskannya dan menjadi fardhu kifayah sepertimana yang disebut di dalam kitab-kitab akidah.
Soalan akhi oo Raiser : Bagaimana nak takwil ayat [aku menciptakan kau dgn dua tangan]? sebab ada yang bertanya pada ana, kalau tangan tu ditakwilkan dengan kuasa maknanya dua tangan tu dua kuasa la, ana nak je jawab soalan tu tapi ikut akal la, tapi takut tak valid.
Firman Allah yang dimaksudkan akhi;
قَالَ يَا إِبْلِيسُ مَا مَنَعَكَ أَنْ تَسْجُدَ لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيَّ أَسْتَكْبَرْتَ أَمْ كُنتَ مِنَ الْعَالِينَ
“(Allah) berfirman wahai iblis apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Aku ciptakan dengan kekuasan-Ku? Apakah kamu menyombongkan diri atau kamu merasa (merasa) termasuk golongan yang (lebih) tinggi?” (Terjemahan mengikut Al-Quran dan terjemahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terbitan Dar Al-Iman Pustakan Darul Iman Sdn Bhd)
1) Perlu difahami ini merupakan ayat mutasyabihah. Ayat-ayat al-quran yang ada persamaan Allah dengan makhluk dikira sebagai ayat yang mutasyabihah.
2) Mengikut manhaj khalaf : ia perlu ditakwil kepada makna yang sesuai pada bahasa arab supaya tidak terkeliru sehingga menyamakan Allah Ta’ala dengan makhluk.
3) Mengikut manhaj salaf sebenar : menyerahkan makna “yadun” kepada Allah tanpa menterjemahkan kepada makna tangan atau menakwil kepada makna yang layak bagi Allah dan dalam masa yang sama menafikan Allah Ta’ala sama dengan makhluk.
4) Mengikut manhaj salafiyyah wahabiyyah aka salafi jadian, golongan mujassimah, hasyawiyyah dan kitabiyyah : “yadun” dengan makna tangan tetapi tangan Allah tidak sama dengan tangan makhluk. Ini pandangan yang sesat lagi menyesatkan kerana apabila diisbatkan kepada Allah sifat tangan walaupun kita katakan ia tidak sama dengan makhluk sebenarnya kita telah menjisimkan Allah. Seumpama kita katakan “sampah berbau wangi”. Bila kita sebut sampah maka sudah jelas ia berbau busuk walaupun kita sifatkan ia berbau wangi. Bila kita kata tangan Allah sebenarnya kita telah menjisimkan Allah Ta’ala walaupun kita katakan tangan Allah tidak sama dengan tangan makhluk.
5) Mahasuci Allah daripada sama dengan makhluk samada bertangan, duduk, naik turun dan sebagainya daripada sifat makhluk. Firman Allah Ta’ala;
ليس كمثله شيء
“ Tidak ada yang seumpama denganNya (Allah) sesuatupun”
6) Kenapa Allah Ta’ala menyebut dengan dua tanganNya? Untuk memuliakan Adam. Kata ulama’: أضاف خلقه إلى نفسه تكريماً له
“Allah menyandarkan ciptaanNya kepada diriNya sebagai memuliakan baginya”
Kerana ayat ini ditujukan kepada iblis yang enggan sujud kepada Adam dengan pertanyaan apa yang menegah kamu (iblis) untuk sujud kepada apa yang aku jadikan dengan zat aku bukan dengan perantaraan ayah dan ibu kerana Adam dijadikan tanpa ayah dan ibu seperti yang kita sudah maklum. Perumpamaan dengan menggunakan dua tangan lebih hebat daripada satu tangan kerana telah maklum kepada kita sesuatu kerja yang besar tidak dilakukan dengan sebelah tangan. Ini kefahaman yang disebut oleh Imam Zamakhsyari di dalam kitab Al-Kassyaf dalam menjelaskan maksud dua tangan. Berkata sebahagian ulama’ ;
لما خلقت بيدي : لما خلقت بغير واسطة
“Bagi apa yang Aku jadikan dengan dua tangan Aku bermaksud bagi apa yang aku jadikan tanpa perantaraan”
7) Mengikut tafsir jalalain oleh dua Imam besar Al-Imam Al-’Allamah Jalaluddin Al-Mahalli dan Al-Imam Al-‘Allamah Jalaluddin As-Suyuti menyebut dalam mentafsir ayat di atas;
أي توليت خلقه أي من غير واسطة أبي وأمي وهذا تشريف لآدم فإن كل مخلوق تولى الله خلقه
“Ialah Aku (Allah) meguasai kejadiannya (Adam) ialah tanpa perantaraan ayah dan ibu dan ini memuliakan bagi Adam. Sesungguhnya setiap makhluk Allah Ta’ala menguasai ciptaaNya”
8) Di dalam At-Tafsir Al-munir oleh Dr Wahbah Zuhaili : Aku menjadikannya (Adam) sendiri tanpa perantaraan Ayah dan Ibu dan Al-Yad bermaksud Al-Qudrah (kuasa Allah bukan tangan dengan maksud anggota) Juz :23-24 mukasurat : 229 Cetakan : Darul Fikr, Syiria.
9) Perkataan “yadun” yang bermaksud tangan di dalam bahasa melayu merupakan majaz ( perkataan yang dipinjam bukan dengan makna asal atau hakiki) di dalam pengajian ilmu balaghah bahasa arab.
Sebagai contoh di dalam bahasa melayu kita juga ada menggunkan simpulan bahasa seperti “Abu seorang yang panjang tangan” Apakah ia bermaksud tangan Abu benar-benar panjang atau ia simpulan bahasa untuk menyatakan Abu seorang pencuri? Sudah tentu jawapannya ialah untuk menunjukkan makna Abu seorang pencuri bukan bermaksud tangan dia benar-benar panjang.
Simpulan bahasa ini bukan merujuk kepada majaz di dalam bahasa arab kerana majaz itu seperti kita katakan bulan tersenyum atau ombak memeluk pantai tetapi simpulan ini untuk menunjukkan perkataan tangan di sini bukan bermaksud tangan yang hakiki seperti zahirnya.
Jika orang melayu tidak memahami simpulan bahasa ini, menunjukkan kejahilan dia terhadap bahasa melayu dan orang yang tidak memahami majaz ini menunjukkan kejahilan dia terhadap balaghah bahasa arab. Al-Quran merupakan kalamullah. Bahasanya disebut sebagai “ablagh” (balaghah yang paling tinggi) sehingga cabaran Allah Ta’ala kepada orang kafir untuk membuat satu surah seumpaman surah Al-Kauthar pun mereka tidak mampu. Apatah lagi kita orang melayu dalam memahami kalamullah ini.
Oleh sebab itu berkata Mujahid dalam mentafsirkan ayat ini;
قال مجاهد : اليد ها هنا بمعنى التأكد والصلة ، مجازه لما خلقت أنا كقوله : ” ويبقى وجه ربك ” [ الرحمن : 27 ] أي يبقى ربك
Tangan di sini dengan makna penguat dan kaitan. Majaznya ( perkataan yang dipinjam bukan dengan makna asal atau hakiki) bagi apa yang aku (Allah) jadikan. Seperti Firman Allah Ta’ala : Kekal wajah Tuhan kamu [ ar-rahman : 27 ] bermaksud kekal Tuhan kamu.
10) Berkata As-Shahrastani di dalam kitab Milal Wa Nihal:
إن الأئمة مالكا والشافعي وأحمد قالوا : من حرك يده عند قراءة قوله تعالى ( لما خلقت بيدي ) وأشار بإصبعه عند رواية قلب المؤمن بين أصابع الرحن… الحديث وجب قطع يده وقطع أصبعه
Sesungguhnya imam-imam, Malik, Syafie dan Ahmad berkata : Sesiapa yang menggerakkan tangannya ketika membaca firman Allah Ta’ala (ayat 75 surah mujadilah) dan mengisyaratkan jarinya ketika membaca riwayat “Hati manusia di antara jari-jari Allah”- Al-Hadis, wajib dipotong tangan dan jarinya. (Di naqalkan daripada kitab syarah jauharatul tauhid bagi Imam Al-Bajuri mukasurat 166).
11) Cuba lihat tafsiran sahabat seperti Ibnu Abbas yang di doakan oleh Nabi SAW “ Ya Allah, Faqihkan dia ( ibnu Abbas) di dalam agama dan ajarkan dia takwil” dan tafsiran Mujahid, Qatadah, At-Thauri dan lain-lain di dalam mentafsirkan ayat;
والسماء بنيانها بأيد
Tafsiran mereka “Kami menjadikan langit dengan (qudrat) kuasa kami”. ( Tafsir Ibnu Kathir Juz : 4 Mukasurat : 237 )
Bagaimana untuk menolak pandangan yang mengatakan jika kita takwilkan “yadun” kepada makna kuasa bermaksud ada dua kuasa?
1) Tanya kembali kepada dia, Allah Ta’ala menjadikan Adam dengan dua tangan atau dengan kuasa Allah Ta’ala?
Jika dia tidak mahu menta’wil ayat ini kepada kuasa bermaksud dia menafikan sifat kuasa Allah untuk menjadikan Adam. Sedangkan kita faham bahawasanya setiap mumkinat ( perkara yang harus ada) itu ta’luq dengan sifat qudrat (kuasa) Allah. Dengan perkataan yang lain semua perkara yang dijadikan oleh Allah dengan sifat kuasa Allah Ta’ala bukan dengan tangan yang kita fahami. Jika kita katakan yadun dengan maksud tangan secara langsung kita telah menafikan kuasa Allah Ta’ala menjadikan dengan sifat kuasa. Sedangkan sifat kuasa merupakan sifat yang wajib bagi Allah Ta’ala. Sesiapa yang menafikan Allah Ta’ala bersifat dengan sifat kuasa hukumnya kufur. Dalil Allah Ta’ala berkuasa ialah firman Allah Ta’ala ;
إن الله على كل شيء قدير
“Sesungguhnya Allah berkuasa di atas setiap sesuatu”
2) Di dalam Al-Quran Allah menggunakan kalimah satu tangan, dua tangan, dan tangan-tangan. Jika kita katakan Allah ada dua tangan. Bagaimana dengan ayat yang mengatakan satu tangan dan ayat yang mengatakan tangan-tangan yang lebih daripada dua?
3) Tanyakan juga kepada mereka bagaimana ayat yang Allah Ta’ala menggunakan perkataan “nahnu” (kami). Apakah itu menunjukkan kepada Allah ramai?
Ayat-ayat yang menyebut perkataan tangan tetapi bukan dengan maksud tangan ;
1) (Surah Al-Mujadilah : 12) فقدموا بين يدي نجواكم صدقة
Di dalam ayat ini Allah menyandarkan perkataan tangan kepada “najwa”. Najwa bermaksud perbualan rahsia. Apakah perbualan rahsia juga ada tangan? Jadi tangan di sini bukan bermaksud tangan seperti zahirnya tetapi hanya majaz seperti yang telah dijelaskan di atas.
2) (Surah Al-A’raaf : 57) وَهُوَ الَّذِي يُرْسِلُ الرِّيَاحَ بُشْراً بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ
Di dalam ayat ini disebut tangan rahmat. Rahmat di sini bermaksud hujan. Apakah hujan ada tangan?
Dua ayat di atas menafikan pandangan wahabi yang mengatakan tangan Allah dengan maksud hakiki bukan majazi. Padahal jika diletak makna hakiki kepada dua ayat di atas amatlah menyimpang daripada maksudnya. Justeru itu, ulama’ memahami makna yadun kepada Allah bukan dengan makna tangan yang hakiki tetapi majazi sahaja yang perlu ditakwil kepada makna yang selayaknya seperti kuasa, ni’mat, pahala, pertolongan dan lain-lain sepertimana takwilan ahli sunnah wal jamaah daripada ulama’ khalaf dan salaf demi menjaga kemurniaan akidah umat Islam.
Jika Allah ada tangan bagaimana golongan wahabi ingin menjawab kepada persoalan ayat ini. Firman Allah Ta’ala;
كل من عليها فان ويبقى وجه ربك ذو الجلال والاكرام
“Semua yang ada di atas dunia akan binasa dan yang kekal wajah Tuhan kamu yang mempunyai ketinggian dan kemuliaan”
Ayat ini menyatakan semua akan binasa kecuali wajah Allah. Di mana tangan Allah? Apakah tangan Allah juga binasa? Dangkal sungguh fahaman yang mengatakan Allah bertangan seperti mana akidah golongan yahudi.
Wajah di sini bermaksud zat Allah yang tidak bertangan dan berwajah seperti fahaman wahabi atau salafi yang mendakwa mengikut salaf tetapi menyimpang daripada akidah salaf yang sebenar. Jika Allah bertangan sudah tentu Allah akan menyebut di dalam ayat di atas tangannya juga kekal. Mana mungkin tangan Allah juga binasa. Diakan Allah yang bersifat dengan sifat baqa’ (tidak binasa dan kekal selama-lamanya).
Kesimpulannya :
1) Tidak salah kita mentakwilkan ayat dua tangan dengan maksud kuasa sepertimana kenyataan ulama’ yang telah ana bawakan. Dua tangan tidak merujuk kepada bilangan dua kuasa kerana sememangnya tangan itu dua. Mewakili Kiri dan kanan. Seperti kita katakan melihat dengan dua mata. Sememangnya melihat dengan menggunakan dua mata bukan dengan dua telinga tetapi ia sebagai jalan taukid (menegaskan) lagi kita benar-benar melihat. Menggunakan dua tangan menunjukkan kita benar-benar buat dalam keadaan bersungguh.
2) Kuasa merupakan sifat wajib bagi Allah adapun tangan merupakan sifat yang mustahil bagi Allah kerana bersalahan dengan sifat mukhalafatuhul lilhawadith.
3) Mengisbatkan tangan bagi Allah boleh menyebabkan kufur dan murtad kerana menyandarkan sifat yang tidak layak bagi Allah dan mensyirikan (menyekutukan) Allah dengan makhluk.. Nauzubillahi min zaalik. Awasi dan jauhi daripada i’tiqad sebegini.
http://al-amindaud.blogspot.com

No comments: