Benn dakwa boleh nampak hantu selepas terkena buatan orang 17 tahun lalu.
BENN tidak menganggap kuasa deria keenam yang dimilikinya sebagai satu keistimewaan.
SEMASA bergelar penuntut di sebuah kolej di Pahang, Benn pernah ditempatkan di sebuah bilik asrama. Bukan bilik biasa, sebaliknya ia bilik tinggal ekoran satu kejadian bunuh diri.
Melihat kepada habuk dan sawang yang ada, tidak mustahil bilik usang itu telah ditutup selama lebih setahun.
Rakan-rakan sebilik Benn merasakan bilik mereka berhantu, tetapi Benn mempunyai jawapan pasti – memang ada hantu!
Hampir setiap malam, mata Benn menyaksikan lembaga kurus di luar tingkap bilik tanpa balkoni mereka yang terletak di tingkat tiga itu. Seekor lagi lembaga kerap kelihatan bertenggek di atas katil rakannya.
Pada mulanya Benn berasa takut. Namun, lama-kelamaan dia sudah boleh menerima kenyataan yang dia tinggal sebilik dengan hantu.
Rakan-rakan saya selalu rasa seram dan mendengar bunyi-bunyi aneh seperti orang bergaduh. Ada juga yang mendakwa pernah melihat entiti itu sedangkan saya betul-betul nampak.
Mula-mula takut, lama-lama malas nak hirau, kata Benn, 30, kepada Jurnal saat berkongsi cerita tentang keupayaan deria keenamnya melihat makhluk halus.
Benn yang kini bekerja sendiri berkata, dia boleh melihat makhluk halus di mana-mana sahaja terutama pada waktu malam.
Pada waktu siang, makhluk halus masih boleh dilihat tetapi biasanya di dalam bangunan.
Semasa berkhemah di hutan atau berlibur di gunung, dia juga boleh melihat bermacam-macam jenis makhluk halus termasuk yang melompat dari pokok ke pokok.
Pernah dalam satu kejadian dia membuatkan rakannya kecut perut apabila berjaya menggambarkan rupa seorang lelaki tua yang mati bunuh diri di apartmen rakannya sedangkan rakannya yang menyaksikan mayat itu tidak menceritakan bagaimana rupa lelaki tua itu.
Kawan-kawan memang sudah maklum tentang keupayaan saya ini.
Tetap takut
Mereka selalu pesan, kalau nampak hantu beritahu mereka. Tapi bila saya beritahu, saya yang kena maki kerana menakutkan mereka, kata Benn mengenang telatah rakan-rakannya.
Lelaki berasal dari Johor Bahru ini memberitahu, walaupun dia sudah biasa dengan keadaan itu, adakalanya dia masih terkejut.
Bila celik sahaja mata nampak hantu depan kita, siapa yang tak terkejut? ujarnya.
PENULIS (kanan) menemu bual Benn di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Benn menceritakan, kuasanya itu mula diperoleh sejak dia terkena buatan orang pada usia 13 tahun.
Ceritanya, orang yang berniat jahat itu sebenarnya hendak melakukan sihir ke atas salah seorang ahli keluarganya tetapi ia telah terkena kepada Benn.
Malang sungguh Benn yang ketika itu baru berada di tingkatan satu sudah berdepan dengan derita sihir.
Ketika itu waktu rehat di sekolah baru sahaja tamat. Tiba-tiba tubuhnya berasa begitu panas seperti disalai.
Rakan-rakan menegur apabila melihat matanya merah menyala. Kemudian tubuhnya tiba-tiba berubah menjadi terlalu sejuk sampai menggigil.
Bila pulang, saya lihat rumah saya dipenuhi makhluk yang menakutkan. Ada hantu hijau yang berterbangan dan gambaran mayat-mayat di dinding. Selama dua bulan saya sakit. Saya rasa macam nak gila, katanya.
Setelah doktor pun tidak dapat mengubatinya, keluarganya berikhtiar membawa Benn berjumpa bermacam-macam bomoh, pawang dan dukun.
Ketika menemui seorang pawang yang mengubat secara menurun di Pasir Gudang, dia telah dipelawa oleh pawang tersebut untuk berkawan dengan seseorang.
Bunian
Kawan saya itu bunian. Namanya Mansur. Mula-mula saya fikir pawang itu mengarut.
Tetapi apabila saya panggil namanya, Mansur betul-betul muncul dengan pakaian seperti lelaki jawa kuno.
Mansur menjadi teman berbual sepanjang saya terkena sihir itu. Saya berkomunikasi dengan hati dan boleh mendengar bisikan suaranya.
Saya kekal berinteraksi dengan Mansur sehingga berusia 17 tahun. Selepas itu saya jarang memanggilnya. Kini saya sudah tidak menemuinya lagi.
Mungkin juga sebab bunian ini golongan yang alim. Mereka hanya ingin bersama kita apabila kita bersih.
Apabila makin dewasa dan dosa bertambah, mereka menjauhi kita, katanya yang mengakui berasa rugi kerana kehilangan Mansur.
Menurut Benn, dia tidak pernah meminta pertolongan Mansur melainkan untuk mencari barang yang hilang atau ingin mengetahui apa yang berlaku.
Misalnya, saya pernah rasa tidak sedap hati semasa memandu kereta dalam hujan lebat. Jadi saya panggil Mansur dan tanya apa yang berlaku di hadapan.
Dia beritahu saya ada seorang perempuan ditimpa kecelakaan.
Dan betul memang ada kemalangan melibatkan seorang perempuan, ujarnya sambil memberitahu Mansur bercakap dengan berbahasakan saya dan awak.
Ditanya bagaimana rupa hantu yang biasa dilihatnya, Benn berkata, dia jarang melihat muka hantu.
Ujar Benn, dia sebenarnya tidak pernah melihat sebarang hantu dari kepala ke kaki. Ia mesti separuh atau celahan.
Apa yang saya boleh katakan, wajahnya tidaklah berdarah seperti yang selalu digambarkan.
Namun ia kebiasaannya berpakaian putih sama ada kotor atau sangat bersih, ujarnya yang tidak menganggap kuasa yang dimilikinya satu keistimewaan.
Seorang pekerja hotel, Nani (bukan nama sebenar) turut memiliki keupayaan melihat makhluk halus seperti Benn.
Kata Nani, 26, kemampuannya itu mula disedari sejak lima tahun lalu.
Hanya perhati
Saya boleh nampak hantu di mana-mana. Semasa memandu di jalan raya pun saya boleh nampak mereka di merata tempat. Kebanyakannya puntianak.
Di hotel tempat saya bekerja, saya lihat ia ada di dalam sebuah tandas.
Ia terus memerhati dan masih kekal di situ! ujar Nani yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor.
Nani bingung. Kadang-kadang dia terfikir adakah ia cuma mainan perasaannya atau memang benar apa yang dilihat.
Saya tanya kawan-kawan adakah mereka nampak apa-apa di situ, mereka kata tak nampak.
Tapi bila saya kata ada sesuatu di situ, mereka akan kata, padanlah bila pergi ke situ rasa semacam dan meremang bulu roma, ujarnya.
Sejujurnya, Nani merasakan keupayaan itu menjadikan dirinya tidak selesa.
Kalau tidak dapat kuasa ini pun tidak mengapa. Masa awal-awal dulu memang takut, tapi sekarang saya beranikan diri untuk tengok semula, ujarnya.
COLE SEAR yang dilakonkan oleh Haley Joel Osment yang memiliki kuasa deria keenam dalam filem Sixth Sense pada tahun 1999. |
Nani memberitahu, berkemungkinan kemampuan itu diwarisi daripada bapanya.
Kata, Nani bapanya boleh melihat makhluk halus, dapat membaca niat seseorang dan merasakan apa yang akan berlaku.
Bahkan, dua orang kakaknya turut mempunyai kebolehan yang sama.
Saya baru lima tahun kebelakangan ini mempunyai kuasa ini, ujarnya.
Nani mengakui sekiranya sesuatu yang buruk berlaku, gerak hatinya telah mengetahuinya terlebih dahulu.
Pernah sekali dia berasa sesuatu yang tidak baik akan terjadi kepada seorang rakannya dan memang pada minggu itu rakannya itu menjadi mangsa ragut.
Saya cuma tidak boleh memberitahunya terlebih dahulu, kata Nani.
kredit : kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment