Pages

Tuesday, December 24, 2013

Arca gergasi salji dipamer di Harbin

Beberapa pekerja tekun menyiapkan ukiran arca daripada salji di tapak Expo Seni Arca Salji Antarabangsa Harbin di wilayah Heilongjiang, China yang bersempadan dengan Rusia, baru-baru ini. - AGENSI


HEILONGJIANG 23 Dis. - Berpuluh-puluh arca gergasi yang diukir dengan menggunakan ketulan bongkah salji, bakal dipamerkan kepada pengunjung sempena Expo Seni Arca Salji Antarabangsa Harbin yang akan berlangsung tahun depan.
Arca yang dihasilkan oleh beratus-ratus orang pekerja mahir itu, mempunyai pelbagai saiz dan bentuk dengan ada di antaranya berukuran 26 meter tinggi dan 117 meter lebar.
Setiap Januari, ibu kota wilayah Heilongjiang akan menganjurkan festival musim sejuk itu yang berlangsung di antara sempadan China dan Rusia.
Memasuki tahun ke 29 penganjuran, festival tahun ini dijangka bakal menjadi festival terbaik pernah diadakan.
Buat masa ini, para pekerja sedang sibuk menjalankan persiapan akhir bagi penganjuran program tahunan itu, dengan kebanyakan daripada mereka menggunakan penyodok dan pahat untuk membentuk hasil seni ukiran yang menakjubkan.
Selain menikmati ukiran arca yang menarik, para pengunjung yang hadir juga boleh mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti lain yang disediakan seperti Parti Taman Tanglung Ais, permainan ski dan persembahan teater.
Expo Seni Arca Salji Antarabangsa Harbin merupakan satu daripada empat festival ais terbesar dunia selain Festival Salji Sapporo di Jepun, Karnival Musim Sejuk Quebec di Canada dan Festival Ski Norway.
Festival tersebut bakal berlangsung pada 5 Januari ini dan kebiasaannya akan berakhir pada penghujung Februari mengikut keadaan cuaca. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131224/lu_07/Arca-gergasi-salji-dipamer-di-Harbin#ixzz2oMf6qbSC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: