Pages

Sunday, March 7, 2010

Benarkah Syaitan Dibelenggu?

“Apabila masuk bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahannam, serta dibelenggu syaitan-syaitan”

Hadis diatas amat popular bila kita melangkah sahaja ke bulan Ramadhan tambah pula ianya adalah hadis sahih riwayat daripada Abu Hurairah. Walaupun begitu timbul juga persoalan kepada sesetengah orang apakah syaitan itu benar-benar dibelenggu kerana segala macam maksiat masih juga berlaku pada bulan yang mulia ini. Mungkinkah ianya hanya sekadar simbolik kepada kita apabila melangkah ke bulan Ramadhan yang mana ramai umat islam pada ketika ini begitu bersemangat untuk lakukan ibadah hingga menjadikan usaha para iblis dan syaitan ini agak terbatas.

Ada dua pendapat dalam membahaskan hal ini iaitu:

1. Pendapat pertama mengatakan, pembelengguan syaitan pada bulan Ramadhan sebenarnya hanyalah satu kiasan.Ertinya, syaitan bukannya benar-benar dibelenggu ataupun diikat.Ungkapan “syaitan dibelenggu” digunakan hanya sebagai kiasan untuk merujuk kepada makna lain. Ia sama dengan ungkapan “pemandu yang tidak beretika digantung lesennya”.Perkataan “digantung” disini hanyalah sekadar kiasan.Ia tidak membawa maknanya yang sebenar iaitu lesen diikat dengan tali, kemudian digantung pada tiang.Sebaliknya, ia adalah kiasan kepada pembatalan ke“sah”an lesen tersebut.

Pendapat inilah yang berada di minda ramai orang bilamana melihat maksiat yang masih berleluasa di bulan yang mulia ini.

2. Pendapat kedua mengatakan, “pembelengguan syaitan pada bulan Ramadhan” membawa maksudnya yang asal.Iaitu, syaitan benar-benar dibelenggu dengan makna diikat atau diberkas.Ertinya, ia bukan satu kiasan.

Pendapat ini memerlukan lebih penjelasan oleh itu ada dua pandangan dari para ulamak

Pendapat pertama mengatakan, yang dibelenggu hanyalah sebahagian syaitan sahaja iaitu pencuri berita-berita dari langit ataupun “pelampau-pelampau” syaitan.

Pendapat yang kedua pula mengatakan kesemua syaitan diikat tanpa terkecuali.

Di antara ulama yang berpegang kepada pendapat kedua ini ialah Imam Qurtubi dan berhubung dengan persoalan yang ditimbulkan jawabnya pembelengguan kesemua syaitan tidak membawa makna tidak akan berlaku kejahatan dan maksiat kerana ada sebab-sebab lain berlakunya maksiat dan kejahatan seperti hawa nafsu yang jelek, adat kebiasan yang buruk dan syaitan-syaitan manusia.

Boleh disimpulkan bahawa Syaitan yang dibelenggu itu adalah dari kalangan Jin manakala bagi manusia yang fitrahnya mempunyai nafsu, mereka dengan sendirinya menjadikan diri mereka tergolong dikalangan syaitan yang berupa bentuk manusia apabila nafsu yang ada dalam diri tidak terkawal sehingga hilang rasa bersalah dan malu untuk terus melakukan perkara-perkara yang menyalahi agama di bulan Ramadhan yang mulia ini. Moga kita semua tidak tergolong dikalangan mereka.

No comments: