Pages

Friday, January 22, 2010

Terpisah: Suri rumah temui harapan baru



Noraeni menunjukkan gambar mendiang ibu kandungnya, Goh Moi Kia di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Hajat seorang suri rumah, Noraeni Mohamed, 52, untuk bertemu semula dengan keluarga kandungnya yang berketurunan Cina setelah terpisah sejak dilahirkan, kini menampakkan harapan baru.

Ini kerana hasil usaha dan kesungguhan Noraeni berjaya menemui seorang lelaki yang dikenali sebagai 'Uncle Lee' di Pusat Kawalan Kusta Negara, Sungai Buloh baru-baru ini.

'Uncle Lee' adalah rakan kepada ibunya dan menetap di sekitar pusat tersebut sejak 1950-an lagi.

Tetapi Noraeni pasrah kerana ibu kandungnya, Goh Moi Kia, dikatakan telah meninggal dunia pada 24 April 1970, ketika usianya 40-an kerana terlibat dalam kemalangan.

Maklumat kematian Moi Kia diperoleh daripada buku rekod Pusat Kawalan Kusta Negara, Sungai Buloh.

Status bapanya, Cheong Yen, pula tidak diketahui, namun sekiranya masih hidup, dia kini berusia dalam lingkungan 100 tahun.

Namun di sebalik itu, sesuatu menceriakan Noraeni apabila mendapat tahu dia mempunyai kakak kandung yang turut menerima nasib sama apabila diserahkan kepada keluarga angkat selepas dilahirkan.

Mengenai latar belakang keluarga, Noraeni diberitahu bahawa Moi Kia yang mempunyai tanda-tanda penyakit kusta, telah ditempatkan oleh kerajaan yang ketika itu ditadbir British, di penempatan Sungai Buloh pada pertengahan tahun 1950-an.

Katanya, pada masa sama, pasangan Cheong Yen dan Moi Kia telah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan dua cahaya mata termasuk dirinya.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kakak kandung Noraeni diminta menghubungi Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di talian 03-21618044.

No comments: