Pages

Friday, January 22, 2010

Kajian bawa paderi kepada Islam - dipetik dari utusan malaysia

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

KALIMAH Allah bukanlah kalimah yang menjadi satu sebutan atau seruan mahupun satu panggilan bagi tuhan semata-mata. Ini kerana kita mesti sepakat bersetuju ia merupakan nama yang melambangkan akidah (iman kepercayaan) atau agama bagi orang yang menggunakannya.

Lantas apa layaknya kalimah itu menjadi satu bahan kontroversi sedangkan yang jelas jika mahukan Allah itu sebagai panggilan kepada tuhan yang disembah, maka jawabnya Islam, titik! Tidak perlu ada dakwa dakwi lagi terhadap itu.

Namun setiap yang berlaku, agenda 'perkongsian' nama Allah kebelakangan ini pasti ada hikmah yang tersendiri.

Ini kerana setiap kali apa juga mengenai Islam menjadi polemik kepada pelbagai pihak menyebabkan ramai yang ingin mengenali agama itu secara lebih dekat.

Akhirnya apabila mereka mendapati agama itu begitu rasional dan penuh dengan kebenaran yang tidak sekadar bersandarkan fakta-fakta dari hujah dan penyelidikan manusia tetapi sumber-sumber wahyu yang sangat sahih, iaitu al-Quran itu sendiri maka ramailah yang terbuka untuk menjadikan Islam itu sebagai agama untuk dianuti.

Sekalipun mereka yang sudah cukup alim dalam agama asal masing-masing, sama ada Nasrani, Yahudi, Buddha dan sebagainya sejak dahulu sehingga sekarang, akhirnya ramai yang tunduk kepada kebenaran Islam.

Sebagaimana yang terjadi pada Reverend David Benjamin Keldani yang lahir tahun 1867 di Urmia, Parsi (Barat Laut Iran). Setelah memeluk Islam, namanya ditukar kepada Abdul Ahad Dawud.

Beliau ialah mantan pendita (paderi) Roman Khatolik dan pernah menjadi tenaga pengajar paderi-paderi utama (Arbischop) Misi Canterbury untuk Kristian Syria (Nestorian) di Urmia.

Sebelum menemui cahaya Islam dan memeluk agama itu secara rasmi pada tahun 1903 pada usia 37 tahun, Keldani begitu membuktikan pencapaian yang tinggi sebagai paderi.

Pada tahun 1892 beliau satu-satunya paderi yang mampu menulis rangkaian makalah agama di The Tablet iaitu mengenai Pentateuch yang sahih.

Pentateuch adalah nama bagi lima buku (kitab) Pertama dalam Perjanjian Lama, iaitu Kejadian, Keluaran, Imamat, Bilangan dan Ulangan.

Lalu beliau menikmati pelbagai anugerah, menjadi duta dan wakil gereja serta sentiasa dijadikan rujukan utama dan menulis pelbagai risalah, makalah termasuk di akhbar seperti The Levant Herald dan majalah berkala dalam bahasa Syria, Qala-la-Syara (Suara Kebenaran).

Sehinggalah beliau menyampaikan khutbah terakhirnya di Katedral Khorovabad St. George pada tahun 1900.

Ini kerana hakikat yang tidak boleh dinafikan, terlalu banyak keistimewaan Keldani terhadap perkembangan dan ajaran agama Kristian sepanjang bergelar paderi.

Pengetahuan dan kepakaran yang beliau miliki dalam mempertahankan ajaran-ajaran Kristian begitu disegani lawan dan kawan.

Namun ada kalanya meninggalkan rasa tidak senang hati kepada pihak-pihak tertentu. Ini apabila Keldani akhirnya dapat mencium banyak kepincangan dan penyelewengan ajaran-ajaran Kristian yang dilakukan oleh pihak gereja itu sendiri.

Beliau mula dihurung dengan pelbagai pertanyaan dan pertanyaan besar yang kian berkecamuk dalam benak pendeta ini semakin ke kemuncaknya apabila beliau tidak dapat menahan persoalan: "Apakah agama Kristian, dengan banyak sekali bentuk dan warnanya dan dengan naskhah-naskhah sucinya yang tidak autentik, palsu dan menyimpang, adalah agama Tuhan yang sejati?"

Ini menyebabkan selama sebulan beliau menghabiskan dengan melakukan sembahyang, meditasi, membaca berulang-ulang naskhah suci dan teks-teks aslinya.

Maka krisis dalaman beliau itu berakhir dengan surat pengunduran secara rasmi dikirimkan kepada Uskup Agung Urmia bagi melepaskan fungsi beliau sebagai paderi.

Pada tahun 1903 ketika mengunjungi Istanbul, Turki yang memberikannya peluang bertemu dan serius berbicara dengan seorang ulama Islam yang bernama Jamaluddin Effendi dan beberapa ulama yang lain, secara rasminya bekas paderi ini akhirnya memeluk Islam.

Menurut Abdul Ahad, perpindahan beliau kepada Islam tidak lain kerana hidayah Allah.

"Tanpa bimbingan-Nya, semua pengetahuan, penelitian untuk menemui kebenaran ini mungkin hanya akan membawa kepada kesesatan sahaja." katanya.

Begitu juga beliau juga mengakui keesaan mutlak tuhan, maka Nabi Muhammad SAW pun menjadi pola dan contoh sikap dan perilakunya dalam hidup.

"Tindakan saya memeluk Islam ini sama sekali bukan bertujuan atau mempunyai niat menyakiti sahabat-sahabat kalangan beragama Kristian.

"Ini kerana saya turut mengasihi Jesus (Nabi Isa), Moses (Musa) dan Abraham (Ibrahim) sebagaimana saya mengasihi Nabi Muhammad dan kesemua nabi yang dilantik oleh Allah," katanya.

Menurutnya, selagi umat Kristian tidak dapat mengakui keesaan Allah, Allah yang satu atau menafikan tuhan itu satu, malah sebenarnya dua dan tiga (Anak Tuhan dan Ruhul Kudus) maka selagi itulah penyatuan ummah antara Kristian dan Islam tidak akan berlaku sampai bila-bila.

Kata beliau, jika ke-Esaan Allah dapat diterima dalam hakikat yang sebenar dan diiktiraf maka segala perbezaan antara dua kepercayaan ini dapat ditemui jalan penyelesaiannya.

"Ini kerana, kita hanya akan membuang masa andai hendak menentukan atas nama Allah, tuhan siapa yang benar, milik Islam atau Kristian?

"Ini kerana jika mereka mengetahui melalui Scriptures dari Original Hebrew, mereka dengan jelas mendapati bahawa Allah di sini adalah yang sama, iaitu bahasa Semitik purba iaitu nama Tuhan Yang Maha Agung yang menyampaikan wahyu dan bercakap kepada Nabi Adam dan nabi-nabi yang lain juga.

"Ini bermakna kita menyembah tuhan yang sama, tetapi Allah hanya satu-satunya yang keberadaannya tunggal untuk disembah. Maha Mengetahui, Maha Berkuasa yang kekuasaannya meliputi segala penjuru alam. Allah adalah Maha Pencipta, Pengatur Alam dan Pemerintah seluruh alam semesta," jelasnya.

Inilah kata Abdul Ahad yang dilakukan selama 17 abad lamanya bagi pihak Gereja Kristian untuk menubuhkan cawangan The Trinitarian (Tritunggal), memerah segala pemikiran dan tenaga bagi mendefinisikan pati dan tubuh 'tuhan'.

"Tetapi apa yang mereka dapat?," soal beliau.

"Saya hanya ingin mengingatkan kepada umat Kristian tiada maknanya mengakui bahawa Allah itu sebagai tuhan walaupun mereka mendakwa mempercayai sepenuhnya keesaan tuhan.

"Tetapi dalam masa yang sama mempunyai kepercayaan terhadap tiga tuhan. Mereka sebenarnya masih tidak mempunyai kepercayaan yang benar-benar suci terhadap Allah," katanya.

Jelas Abdul Ahad, Allah tetap tuhan yang satu, Nabi Isa hanyalah nabi suruhan Allah dan pihak ketiga merupakan salah satu dari roh suci yang melaksanakan perintah dan suruhan dari Allah.

(Dalam satu dialog lain bersama paderi Kristian, Abdul Ahad menyifatkan Ruhul Kudus sebagai atribut yang suci tetapi tidak pernah sebagai seorang peribadi yang suci)

Mungkin anda perlu mendapatkan karya Abdul Ahad yang paling popular, yang diterbitkan pada tahun 1928; Menguak Misteri Muhammad (Muhammad in the Bible) bagi mendapatkan lebih banyak pengetahuan dari bekas paderi ini.

Mungkin penghijrahan seperti inilah. ada pihak tidak mahu lagi disifatkan mereka sebagai memeluk Islam (convert).

Mereka bukannya memeluk agama yang baru, mereka mahu dikenali sebagai revert (kembali) iaitu kembali kepada ajaran yang benar.

Mereka yang dahulunya Kristian dan kini menerima Islam kerana kepatuhan kepada ajaran nabi Isa a.s itu apabila di dalam kitab Injil itu sendiri disebutkan mengenali kehadiran Ahmad atau Muhammad (nabi) yang meneruskan ajaran dari tuhan yang sama, iaitu Allah!
Add to Google

No comments: