“YA Allah ya Tuhanku, aku ini sudah puas hidup susah, aku minta satu sahaja ya Allah, berikanlah aku kasih sayang, martabat yang mulia, petunjuk ke jalan yang benar dan aku ingin menjadi yang terbaik.
“Sekiranya Engkau berikan ya Allah, akan aku bantu wanita dan fakir miskin yang senasib dengan aku dahulu.”
Bagi pengasas produk kesihatan dan kecantikan, Sendayu Tinggi, Rozita Ibrahim, beliau tidak pernah melupakan janji-janji yang dibuat kepada Tuhan.
Malah sehingga kini, setiap malam ketika menunaikan solat tahajud, beliau masih terus berdoa tentang perkara yang sama.
Menurut Rozita, doa tersebut bukan bermakna beliau cemburu dengan kejayaan orang lain tetapi kerana berhasrat menjadi yang lebih baik daripada yang terbaik.
“Saya mengaku saya bukan alim. Apa yang saya buat adalah kerana Allah. Saya pernah cuba meninggalkan janji-janji saya, tetapi jiwa saya keluh kesah,” akuinya ketika ditemui sebaik sahaja merasmikan cawangan terbarunya di Kuala Lumpur.
Selain cawangan tersebut, Rozita, seorang wanita yang asalnya tidak punya apa, kini telah mempunyai dua cawangan perniagaan Sendayu Tinggi, masing-masing di Bukit Tinggi dan Bukit Raja, kedua-duanya terletak di Klang. Selain turut mempunyai sebuah kilang sendiri di Pelabuhan Barat.
Berpegang kepada pepatah “Hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat,’‘ Rozita tidak seperti kebanyakan wanita lain yang hanya berserah kepada nasib tetapi bangun melawan kemiskinan yang melingkungi hidupnya sehingga kini muncul sebagai antara wanita paling berjaya.
Kepada wartawan SITI MARIAM MD. ZAIN, ibu cekal berusia 40 tahun ini menceritakan kisah suka duka hidup dalam usaha menjadikan impiannya satu realiti.
Apa perasaan puan sekarang?
Sebenarnya saya macam tidak percaya rezeki yang Allah beri. Tetapi jauh di sudut hati, semakin hari saya semakin takut dan berdebar. Tak tahu kenapa. Mungkin takut orang kata. Kita ini hendak mendapat sebuah kejayaan memang susah. Tetapi untuk mengekalkannya lebih susah. Mampukah saya mengekalkannya?
Pernah terfikir sampai ke tahap hari ini?
Tidak pernah termimpi atau terkeluar dari mulut yang saya akan ada walau RM1 juta kerana apa yang saya harapkan ialah dapat keluar daripada belenggu kemiskinan yang menyebabkan saya hidup melarat.
Bagaimana puan melihat kejayaan ini?
Kalau kata bersyukur ya. Tetapi hendak kata bangga tidak. Kalau sebelum ini saya belum naik, saya buat ucapan tanpa membaca skrip, tetapi bila ada cawangan begini, macam-macam bermain di fikiran. Mampukah saya mempertahankan perniagaan ini? Mampukah saya membayar hutang dan buat yang lebih baik lagi?
Apa yang membimbangkan puan?
Saya tidak mahu orang cakap peniaga Melayu ini `hangat-hangat tahi ayam.’ Saya juga takut saya mungkin jadi riak. Saya hendak menjadi seorang ikon. Saya pernah ditawarkan gelaran Datuk tetapi kurang berminat kerana niat saya buat bisnes, bukan hendak menjadi ahli politik atau hendak terkenal atas nama Da-tuk. Saya hendak orang kenal saya sebagai seorang perempuan yang susah, yang prihatin tetapi mempunyai semangat tinggi dan boleh membimbing perempuan lain melalui perniagaan Sendayu Tinggi.
Usaha ini merupakan satu perjuangan?
Pada saya ini satu jihad kepada diri sendiri. Pada saya, tanpa rezeki, tanpa kesihatan, kecantikan dan pelajaran, martabat itu tidak akan wujud. Dalam keluarga, saya rasa kalau suami tidak boleh pandang kita, kita pun tidak boleh menyumbang banyak kepada keluarga, saya rasa rugi hidup sebagai perempuan.
Kalau perempuan zaman Rasulullah atau perempuan yang berfikiran secara kampung, mereka kata, tidak apa, suami ada, dia boleh sara, anak-anak akan beri duit. Konsep hidup saya, tidak pernah mengharapkan bila tua nanti anak-anak jaga, saya tua nanti, suami ada. Dari dulu saya tidak reti hendak meminta-minta.
Dari mana puan dapat kekuatan ini?
Saya pernah bercerai. Saya pernah mengalami kehidupan yang teramat susah. Tiada siapa pandang saya. Saya sendiri kata, kenapa saya mesti menjadi seorang petani? Saya rasa saya muda, bertungkus-lumus membanting tulang, bersengkang mata untuk hidup. Anak dalam keadaan bahaya kerana ditinggalkan untuk mencari rezeki sehingga tengah malam. Sampai bila saya harus begini? Mesin atau kereta sekalipun, kalau lasak sangat boleh rosak enjin. Walaupun saya tidak mempunyai pelajaran tinggi, tetapi kalau Lim Goh Thong boleh berjaya, kenapa saya tidak boleh menjadi sepertinya?
Saya bertanya sampai bila hendak jadi macam ini? Hidup melarat. Apabila fikir balik, saya bersyukur kenapa saya tidak disayangi oleh orang (sebak) sebab menganggap anak perempuan membawa malang. Disisihkan, dihina, dinista. Saya malah berterima kasih dengan seksaan yang diterima. Jika saya dimanja, dibelai, dipuja, saya tidak akan jadi seperti hari ini.
Saya senang bukan kerana peninggalan harta emak ayah, bukan kerana pelajaran, bukan kerana dorongan suami tetapi kerana kekuatan jiwa sebagai seorang ibu. Saya rasa bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak. Saya tidak mahu kerana kelemahan terlalu menaruh harapan – tak mengapa, suami sara saya. Tak mengapa anak-anak akan jaga saya, akhirnya masa depan anak-anak saya gelap.
Boleh gambarkan kesusahan masa lalu?
Saya pernah bersalin ketika itu ada duit hanya RM1.85 sen. Saya pernah bersalin (anak ketiga) tanpa ada bidan. Lahir sendiri, tidak ada lampin. Saya tidak pernah menangis kerana miskin. Tetapi sebab anak, saya menangis. Saya miskin dan tidak makan, saya tidak hairan. Saya minta kain buruk dari rumah orang, saya kata untuk buat kain lap (kesat) kaki. Sebenarnya saya hendak balut anak saya. Basuh pinggan pakai berus sabut. Setiap kali Hari Raya, saya tidak pernah tunjuk pada emak yang saya miskin, tidak pernah balik raya. Saya beli baju lelong 50 sen untuk anak-anak.
Pengalaman yang saya tidak boleh lupa ialah makanan saya kalau setakat nasi berlaukkan sayur atau tidak makan, sudah jadi macam lali, tidak rasa apa. Kalau orang tengok saya berimej korporat, sebenarnya saya tidak selesa berkawan dengan orang korporat. Saya lebih selesa berkawan dengan orang macam saya dulu. Sebab saya rasa itu adalah saya. Apa yang orang tengok saya sekarang, adalah sebagai pengasas sebenarnya. Saya terpaksa membawa diri saya – orang tengok nampak cantik tapi hakikatnya jiwa saya masih jiwa saya yang dulu.
Apa pengajaran yang puan belajar daripada pengalaman ketika hidup susah?
Bila saya pernah hidup susah, orang tidak menghiraukan saya, nyawa pun tidak ada nilai, sengsara dalam usia muda, saya kata, beri masa umur saya sebelum 40 tahun, saya mesti dapat sesuatu, sekurang-kurangnya rumah sebuah, kereta dan sedikit simpanan untuk hari tua.
Tetapi bila saya sudah berjaya, kalau hendak duduk senang lenang memang boleh, tetapi saya fikir balik, saya tidak boleh mengambil keputusan seperti itu, ramai perempuan lain yang boleh saya gilap. Mungkin kalau tidak jadi macam saya, dapat pendapatan antara RM50,000 atau RM100,000 sebulan pun sudah memadai.
Kebanyakan net working saya dapat angka itu. Saya rasa gembira. Saya selalu pesan pada net working saya, ingat asal-usul kita. Kekayaan, kemiskinan adalah ujian. Kalau niat untuk jihad, insya-Allah rezeki itu akan berkat, hati akan damai.
Puan belajar dari kehidupan sendiri?
Alam sekeliling adalah universiti saya. Kebanyakannya saya belajar daripada susah payah kehidupan. Saya sebenarnya tidak suka tengok sikap perempuan yang percaya perkahwinan adalah satu jaminan hidup. Pada saya perempuan ini sebenarnya bijak. Perempuan boleh berkembang. Walaupun tanpa pelajaran, banyak suri rumah berjaya buat jualan langsung.
Saya duduk dengan emak tidak lama, sebab berkahwin atas pilihan keluarga. Hidup saya tertekan. Sebab itu saya nampak setiap musibah yang datang adalah satu rezeki yang kita tidak tahu tetapi Allah turunkan. Kerana itu saya kata, kita patut belajar daripada musibah. Kita tidak boleh anggap sesuatu benda itu kemalangan, contoh macam anak saya meninggal dunia. Orang tuduh punca anak saya mati lemas kerana perceraian. Kita perlu menerima takdir dengan terbuka. Kita patut melihat kesilapan kita yang lepas mungkin Allah balas sebagai penyucian dosa. Dalam masa sama, kerana orang tuduh saya tidak bertanggungjawab, saya buktikan kerana sayalah, anak-anak saya hari ini mendapat yang terbaik.
Mengapa berlaku tuduhan begitu?
Mereka menyalahkan saya kerana sakit hati, saya bercerai. Masa itu, anak balik kampung, bercuti, saya pula bekerja di Kuala Lumpur. Jadi mereka menyalahkan saya, “itulah emaknya pergi cari duit, anak mati lemas sebab dia lah tu.” Lagi satu, saya tengok sikap orang yang berfikiran sempit. Mereka selalu memandang negatif kepada orang lain. Mereka menganggap perempuan yang menjadi ibu tunggal ini sebagai beban. Bagi saya, perempuan ini bersikap lemah, mereka perlu disayangi, diberi perhatian tetapi dalam masa yang sama juga, saya menyalahkan kaum perempuan itu sendiri.
Kenapa?
Kerana perempuan menggunakan kelemahan mereka untuk meraih simpati dan untuk menangis. Orang selalu berpandangan negatif kepada perempuan yang bercerai. Mereka kata, “baru kau tahu, baru kau rasa.” Kita patut beritahu pada diri sendiri, perceraian bukan satu benda yang sakit. Kita tidak akan mati kerana perceraian. Tetapi kita mesti buktikan walaupun bercerai, kita boleh hidup. Saya sering beritahu kepada ibu-ibu tunggal bahawa setiap perempuan itu mempunyai aura sendiri. Mereka mempunyai kekuatan tersendiri.
Bagaimana puan menghadapi tuduhan?
Saya tidak menyalahkan mereka. Orang boleh tuduh atau cakap apa sahaja. Saya kena buktikan, mungkin kalau bukan tahun ini, tahun yang akan datang.
Sebab di mana saya waktu itu? Saya mencari rezeki, anak saya meninggal masa dia tidak ada bersama saya. Tetapi saya lawan balik perasaan itu. Saya kata, ini adalah qadak dan qadar. Mungkin orang menuduh saya sebab Allah hendak menegur saya. Bila saya cakap begitu, maknanya, orang yang mengata saya tidak salah dan saya kata diri saya juga tidak bersalah. Jadi saya rasa ringan. Dan jalan terbaik ialah memperbaiki diri sendiri.
Apa yang berlaku selepas itu?
Dua tahun saya tidak boleh tengok air. Dalam masa yang sama anak itu meninggal, saya mengandung dua bulan. Tetapi saya kuatkan semangat. Saya cakap pada diri saya, hidup harus diteruskan. Kalau saya ikut tension, anak dalam perut mungkin akan menerima kesan. Saya dekatkan diri dengan Tuhan, cari rakan yang boleh dipercayai untuk beri saya ketenangan.
Apa tindakan puan selanjutnya?
Bila saya tengok orang banyak memandang remeh terutama apabila kita miskin, tiada pelajaran, hidup susah, saya cuba berjanji pada diri sendiri – saya hendak hidup seperti orang lain. Saya hendak ada maruah dan martabat diri sendiri, mahu jadi seseorang. Alhamdulillah, saya dapat kerja, sebagai pegawai pengurusan harta. Kemudian saya cakap pada diri hendak menjadi pemilik syarikat. Sekali lagi Allah tunaikan.
Satu pengajaran yang saya dapat ialah saya dapat mendidik orang yang memandang sinis terhadap saya sebelum ini, malah mereka semua baik dengan saya sekarang.
Puan tidak berdendam dengan orang yang memandang hina pada puan dahulu?
Tidak kerana bagi saya, memaafkan seseorang itu adalah saat-saat yang indah – kata Fauziah Latiff – Dendam Yang Terindah. Tetapi jauh di sudut hati saya ada rasa sedih, sebab orang sayang bukan kerana ikhlas tetapi sebab kejayaan saya sekarang.
Awal tadi puan kata tiada kelulusan, bagaimana boleh mendapat kerja yang baik?
Terus terang saya katakan, saya juga pernah bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan di sebuah syarikat percetakan selain bekerja di hotel. Saya sebenarnya bijak semasa sekolah. Peperiksaan tidak pernah dapat lebih daripada nombor empat. Memang saya pernah tinggal di Felda tetapi selepas bercerai saya duduk di bandar. Di bandar, saya nampak saya mesti ada sesuatu untuk memajukan diri. Saya perbaiki kehidupan dengan mengambil kursus-kursus tetapi hanya di peringkat asas. Saya belajar selok-belok komunikasi dengan pelanggan dan sebagainya.
Semasa bekerja sebagai pegawai pengurusan harta, saya melihat kelemahan mentaliti dan sikap orang Melayu. Saya mengkaji kelemahan mereka untuk dijadikan iktibar supaya saya tidak menjadi seperti mereka. Semasa saya minta kerja ini, saya beritahu saya pernah bekerja sekian, sekian, tetapi saya tidak bawa sijil kerana hilang. Walhal memang tiada sijil. Saya terpaksa menipu. Saya kata, beri saya peluang enam bulan. Kalau saya mampu buat kerja, ambil, jika tidak, buanglah saya. Alhamdulillah, saya dapat buktikan yang terbaik. Saya bertahan selama 10 tahun. Dalam masa yang sama, saya mula mencuba perniagaan Sendayu Tinggi.
Berapa modal permulaan puan?
Saya bermula dengan modal RM400, hasil gadaian barang kemas. Semasa di pengurusan harta, saya banyak terlibat di bahagian promosi dan operasi. Bila pelanggan datang, saya akan tanya, sudah kahwin ke belum atau mungkin ada masalah keluarga. Kemudian saya akan syorkan mereka menggunakan produk herba saya. Suami-suami yang datang jumpa saya selepas itu mengaku isteri mereka macam anak dara. Dari situ perniagaan saya berkembang.
Kemudian saya cuba pula menjual ubat menguruskan badan. Pada awalnya tidak laku kerana saya sendiri gemuk. Apabila saya kurus, saya keluarkan gambar semasa gemuk dan tunjuk perbezaan sebelum dan selepas makan ubat. Sebenarnya saya cuba buat pinjaman bank tetapi ketika itu bank tidak layan. Alasan mereka, belum ada perniagaan herba yang berjaya di Malaysia. Saya sakit hati. Saya kata pada diri sendiri, saya akan buktikan yang saya boleh berjaya. Saya tidak perlukan bank untuk berniaga. Dan saya semat dalam hati, mungkin satu hari nanti bank yang akan datang mencari saya. Betul. Sekarang semua bank cari saya.
Apa reaksi puan?
Biasa sahaja. Bagi saya bank mana yang boleh bagi kadar paling rendah saya ambil. Sebenarnya hendak berniaga kita tidak perlu ada modal banyak. Yang penting kita ada keyakinan diri, apa yang kita buat bagus dan jangan tipu. Buat ikhlas kerana Allah. Jadilah nanti.
Formula kejayaan puan?
Saya fokuskan minda saya dengan kata-kata. Dan saya akan berusaha ke arah itu.
Falsafah hidup puan?
Saya sentiasa ingat pesan bapa, jangan menipu, jangan rasuah dan jangan buat benda-benda bodoh – minum arak. Pesan saya pada diri saya – jangan riak dan takbur.
Bagaimana sikap puan sebenarnya?
Saya mempunyai banyak karakter. Saya boleh menjiwai sebagai seorang perempuan kampung, sebagai wanita korporat, ibu dan hakikat yang orang tidak tahu ialah orang nampak saya lemah lembut tetapi sebenarnya saya sangat tegas dan keras hati. Tiada apa yang boleh mengatakan tidak dalam kamus hidup saya.
Kalau saya hendak sesuatu, saya pasti akan dapat. Sebab pada saya, dalam dunia ini tiada perkara yang tidak boleh. Selagi tidak cuba, kita tidak akan tahu. Itu diri saya yang sebenar. Di rumah, saya adalah ibu dan isteri, seperti suri rumah yang lain.
Hobi puan?
Memasak dan tengok orang makan apa yang saya masak. Saya juga suka menghias. Semua pejabat saya, saya hias sendiri. Selain itu, saya suka melihat satu benda mustahil tetapi boleh menjadi kenyataan.
Apa yang pelik tentang diri puan?
Saya tidak suka pakai kasut. Saya biasa turun kereta, kejar orang dengan berkaki ayam semata-mata untuk memberi sedekah. Saya juga masih berkeliaran di pasar-pasar termasuk pasar borong dan pasar malam. Saya masih shopping di kedai-kedai bundle. Saya tak pernah rasa malu untuk berpakaian begitu sebaliknya saya rasa lebih cantik.
Puan seorang yang kedekut dan memakai pakaian berjenama?
Kalau saya kedekut saya tidak akan membantu wanita-wanita malang dan fakir miskin. Pada saya, daripada kita membazir duit tidak tentu fasal, membeli kereta mewah dan pakaian mahal, lebih baik kita sedekah duit buat amal jariah. Kita membeli pakaian berjenama, padahal kalau beli di Petaling Street, sama sahaja.
Orang kata puan pun semakin berubah?
Kalau orang kata kemewahan boleh mengubah saya, tidak. Orang nampak saya mungkin sebagai pengasas (Sendayu Tinggi) tetapi saya tetap saya yang seperti dulu.
Apa makna perkahwinan bagi puan?
Pada saya, tidak guna kalau kita berkahwin tetapi perasaan kita terseksa. Kita cuba mendapatkan kebahagiaan itu tetapi daripada kita kena pukul, sakit hati, tiada komitmen dalam kehidupan, saya rasa lebih selesa mengakhirinya, saya tak nak `sakit.’ Malangnya orang anggap saya berkahwin banyak kali kerana suka-suka. Saya sedar banyak kata-kata di luar tentang saya. Orang boleh bercakap apa sahaja. Tetapi saya yang melalui kehidupan, saya tahu apa yang berlaku dan apa perlu dibuat.
Ada orang kata puan gila glamor, suka promosi diri sendiri menerusi iklan?
Kalau saya guna model orang lain, dia tak pakai Sendayu Tinggi, dia cuma jual produk. Tetapi itulah diri saya sebenarnya – pergi ke hutan, berjumpa nenek kebayan yang mempunyai rahsia kesihatan terbaik. Saya daripada perempuan biasa yang tiada apa-apa, kemudian menjadi lebih berkeyakinan setelah menggunakan Sendayu Tinggi.
Iklan itu kisah benar?
Itulah apa yang berlaku sebenarnya. Ia kisah diri saya. Tetapi nenek tersebut bukan nenek kebayan, tetapi bidan tua yang uzur. Saya pembuat, saya pengarah dan saya pengasas. Mudahnya saya adalah Sendayu Tinggi dan Sendayu Tinggi adalah saya. Kalau ada orang kata saya cuba promosi diri semata-mata kerana mencari glamor, saya rasa saya boleh buat lebih daripada itu.
Apa harapan puan?
Saya hendak mendapat satu kebahagiaan hidup berkeluarga yang berkekalan dan penuh berkat. Sebab saya rasa kalau kaya sahaja, hati tidak tenteram, tidak guna.
No comments:
Post a Comment