Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my
2010/01/18
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SABAN tahun, ada sahaja laporan kes buli di sekolah. Perbuatan itu bukan setakat memaksa membasuh baju atau mengemas katil senior, tetapi ke tahap sepak terajang, pukul memukul dan membawa kematian.
Tahun lalu, seorang pelajar mangsa buli meninggal selepas koma beberapa hari diserang sekumpulan pelajar senior. Ia diikuti kes buli sembilan pelajar senior sebuah sekolah menengah berasrama yang mendera tiga pelajar junior termasuk menggunakan seterika. Imej bersih pelajar perempuan yang dikatakan lemah-lembut dan bersopan santun tercalar selepas 'samseng betina' memukul pelajar perempuan lain.
Insiden ini membuatkan pelajar gerun dan cuak memasuki sekolah berasrama penuh atau tinggal di asrama sekolah.
Malah, ibu bapa turut bimbang keselamatan anak mereka yang tinggal di asrama sekolah.
Seorang bapa kepada tiga anak lelaki, Mohd Yusrie Salleh, 48, tidak yakin menghantar anak ke sekolah berasrama berikutan banyak laporan kes buli.
"Menghantar anak ke sekolah berasrama dengan kes buli yang semakin berleluasa ibarat menghantar anak ke gelanggang gusti.
"Jika setakat didenda membasuh baju atau mengemas katil senior, ia perkara biasa, tetapi sampai sepak terajang dan kes bunuh, itu berbahaya serta melampau," katanya.
Katanya, dia akan menyiasat latar belakang sesebuah sekolah sebelum membenarkan anaknya tinggal di asrama.
"Tinggal di asrama memang baik kerana anak kita belajar hidup berdikari dan waktu belajar serta bermain mengikut jadual bagi melahirkan pelajar cemerlang.
"Tetapi, apabila teringatkan kes buli yang dilaporkan media massa, kecut perut juga kerana mereka tergamak melakukan sedemikian," katanya.
Kebimbangan ibu bapa setiap sesi persekolahan baru terutama jika anak-anak tinggal di asrama memang ketara.
Persoalannya, selepas beberapa kejadian dilaporkan mengapa masih berlaku kes buli di sekolah berasrama? Apakah pihak sekolah dan kementerian pelajar tidak mengambil iktibar dan langkah pencegahan untuk mengelak kejadian itu berulang? Ketua Warden Sekolah Menengah Agama Bestari (SMAB), Subang Jaya, Abdul Raouf Dahlan, berkata kes buli memang sukar dihapuskan kerana ia berlaku di luar kawalan pihak sekolah.
Namun, katanya, pihak sekolah sentiasa mengawasi perbuatan itu dan mengambil tindakan tegas jika sesiapa yang melakukannya.
"Cuma, kita minta ibu bapa beri kepercayaan kepada pihak sekolah untuk menjaga pelajar dan meningkatkan sahsiah mereka.
"Ibu bapa jangan mudah percaya dengan anak-anak kerana di hadapan orang tua, mereka bijak berlakon.
"Jika anak melakukan kesalahan, jangan cepat melatah dan melenting. Selidik dulu atau datang ke sekolah untuk berbincang.
"Guru bukan seorang polis, tetapi mereka bertugas mendidik pelajar," katanya.
Buli terbahagi kepada dua iaitu buli mental dan fizikal.
Jika bergaduh, tunjuk isyarat lucah dan dera adalah buli bentuk fizikal manakala emosi, jelingan dan bahasa tubuh adalah buli mental.
"Kebanyakan kes yang berlaku adalah buli fizikal dan ia mudah dikenal pasti, tetapi yang bahaya buli mental kerana ia membabitkan emosi pelajar.
"Pelajar yang menjadi mangsa buli biasanya menunjukkan perubahan seperti murung dan suka bersendiri," katanya.
Justeru, bagi mengelak kes buli, pihaknya sering mengadakan sesi taklimat dengan ibu bapa dan guru.
Selain itu, bermula 1 Januari lalu, beliau merombak sistem penempatan pelajar di asrama seratus peratus.
"Dalam satu bilik dan blok asrama, pelajar diasingkan mengikut tingkatan. Contohnya, blok A dihuni pelajar tingkatan satu, blok B pelajar tingkatan dua dan seterusnya.
"Selain itu, ketua bilik adalah pelajar tingkatan lima dan mempunyai seorang pengawas," katanya.
Pelantikan pelajar tingkatan lima sebagai ketua bilik bagi memastikan pelajar tidak melakukan salah laku.
"Sistem ini memudahkan kita mengesan pelajar yang melakukan kesalahan selain memastikan keselamatan pelajar di bilik terjamin," katanya.
No comments:
Post a Comment