Pages

Thursday, February 23, 2012

Dua kali lara

USUNG...jenazah Mohamad Al-Amin diangkat selepas ditemui mati lemas  di Sungai Kambus, Kampung Sungai Belacan, semalam.
USUNG...jenazah Mohamad Al-Amin diangkat selepas ditemui mati lemas di Sungai Kambus, Kampung Sungai Belacan, semalam.
DITEMUI...basikal mangsa ditemui dalam semak di tepi sungai.
DITEMUI...basikal mangsa ditemui dalam semak di tepi sungai.
KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal yang baru pulang dari majlis pengebumian ibu saudaranya terpaksa menerima berita memilukan apabila anaknya mati lemas di Sungai Kambus, Kampung Pulau Belacan, Pengkalan Chepa, pagi semalam.
Mangsa, pelajar Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Tarbiah Mardziah, Mohamad Al-Amin Muradi, 15, dikatakan hilang apabila tidak pulang ke rumah sebaik selesai kelas mengaji al-Quran terletak berhampiran rumahnya di Kampung Alor Tok Aji, di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa yang mendapat maklumat jam 8 pagi semalam, kemudiannya melakukan gerakan mencari sebelum menemui mayat mangsa hampir dua jam kemudian.
Difahamkan, ibunya, Habsah Daud, 45, dimaklumkan mengenai kehilangan anaknya oleh ahli keluarga sebaik pulang dari menziarahi ibu saudara yang meninggal dunia.

Habsah yang bekerja sebagai tukang cuci di sekolah, dikatakan keluar mencari anaknya selepas solat Asar namun gagal menyebabkannya berusaha ke tempat kejadian sekali lagi dan menemui basikal serta selipar milik anaknya, kira-kira jam 12 tengah malam.

Bagaimanapun, Habsah yang ditemui semalam, enggan ditemu bual wartawan.
Rakan karib Habsah, Kamariah Said, 48, berkata dia dihubungi rakannya itu pada jam 10 malam sambil memberitahu tidak sedap hati memandangkan Mohamad Al-Amin tidak pulang sejak petang kelmarin.

Katanya, dia kemudian menghubungi Habsah semula pada tengah malam dan diberitahu berada di sungai mencari anaknya.
“Saya tidur sekejap dan bangun pada tengah malam kerana ingin mengetahui keadaannya.

“Dia ketika itu sedang mencari anaknya di sungai, tetapi cuma menemui basikal dan selipar.

“Pagi tadi (semalam) saya ke rumahnya dan selepas itu dia memberitahu ingin ke Kampung Pulau Gajah pula mencari anaknya,” katanya. Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata seramai lima anggota Unit Skuba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat.

Katanya, mayat mangsa berjaya ditemui jam 9.45 petang semalam kira-kira 50 meter dari tebing sungai.

myMetro | Dua kali lara:

'via Blog this'

Mentua paksa langkah al-Quran

BUKTI...Mohd Ikmal menunjukkan tiga laporan kepada Jais dan polis yang dibuatnya.
BUKTI...Mohd Ikmal menunjukkan tiga laporan kepada Jais dan polis yang dibuatnya.

KUCHING: Tidak sanggup menanggung dosa besar angkara syarat pelik keluarga mentua yang memaksa melangkah al-Quran sebelum dibenar mendapatkan kembali isteri dan anak-anak, seorang saudara baru mengadu kejadian itu kepada Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais), selain membuat laporan polis.

Sebelum ini, Mohd Ikmal Hakimie Abdullah, 32, sudah tujuh kali melangkah al-Quran di depan pintu utama rumah mentuanya selepas dipaksa berbuat demikian oleh keluarga mentuanya yang beragama Islam.

Dia mendakwa, setiap kali berbuat demikian kejadian itu turut disaksikan dua penduduk kampung mentuanya di Trusan Jaya, di sini, termasuk seorang daripadanya berbangsa Cina.

Mohd Ikmal mendakwa, syarat pelik keluarga mentuanya itu kali pertama berlaku pada Disember 2008 ketika dia bertandang ke rumah mereka bagi menjemput isteri berusia 27 tahun dan dua anak lelaki berusia tiga serta lima tahun selepas wanita berkenaan melarikan diri dari rumahnya di Sematan.


“Saya dipaksa melakukan perbuatan itu sebagai syarat mendapatkan semula isteri dan anak serta membuktikan saya tidak mengamalkan sihir. Ini kerana keluarga mentua menuduh saya mengamalkan sihir ketika datang mengambil isteri dan anak di rumahnya.


myMetro | Mentua paksa langkah al-Quran:

'via Blog this'

Koleksi komik dijangka dilelong lebih RM6.06 juta





DALLAS, Amerika Syarikat (AS) - Satu koleksi komik termasuk beberapa edisi yang paling berharga pernah diterbitkan dijangka dilelong lebih AS$2 juta (RM6.06 juta) pada satu lelongan di AS dalam minggu ini.

Sebanyak 345 naskhah komik itu dikumpulkan oleh Billy Wright semasa di zaman mudanya dan disimpan sehingga kematiannya pada tahun 1994.

Michael Rorrer berkata, dia menemui koleksi komik simpanan bapa saudaranya semasa membersihkan rumah ibu saudaranya.

Ibu saudara Rorrer meninggal dunia pada Februari tahun lalu.

Antara naskhah komik yang dikumpulkan itu ialahAction Comics No. 1 yang menampilkan kemunculan pertama Superman.

Koleski itu turut mempunyai naskhah Detectives Comics No.27 yang menampilkan Batman buat kali pertama dan Captain America No.2 yang menampilkan pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler. - AGENSI

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Saintis India temui haiwan seperti ular



Gambar yang disiarkan www.frogindia.org semalam menunjukkan seekor chikilidae dewasa bersama anaknya yang baru menetas.


NEW DELHI - Sejak sebelum era dinosaur lagi satu spesies amfibia yang tidak berkaki hidup bebas di bawah tanah yang beriklim monsun di pedalaman utara India tanpa diketahui saintis.

Sekumpulan saintis India yang menemui spesies baharu amfibia memberikan ia nama chikilidae setelah menggali tanah untuk mencari haiwan berkenaan di hutan selama lima tahun.

Ketua kajian tersebut, Profesor Sathyabhama Das Biju dari Universiti New Delhi berkata, chikilidae tergolong dalam keluarga caecilian iaitu yang paling primitif antara tiga kumpulan amfibia termasuk juga katak dan salamander.

Disiarkan dalam jurnal Royal Society of Londonsemalam, penemuan mereka mengukuhkan lagi bukti bahawa India dipenuhi hidupan amfibia dengan habitat yang perlu dilindungi.

Menurut Sathyabhama, chikilidae bukan sahaja tidak berbahaya tetapi ia turut membantu petani dengan memakan ulat dan serangga yang merosakkan tanaman manakala pergerakan spesies itu di bawah tanah dapat membantu menyuburkan tanah.

Namun, penduduk tempatan kerap membunuh chikilidae kerana tersilap anggap bahawa amfibia itu merupakan seekor ular berbisa. - AGENSI


Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Jepun mahu bina lif ke angkasa



TOKYO - Sebuah firma pembinaan Jepun mendakwa semalam ia mampu melaksanakan rancangan luar biasa untuk meletakkan pelancong di angkasa lepas dalam tempoh 40 tahun dengan membina sebuah lif setinggi 96,000 kilometer (km) atau suku jarak Bumi ke bulan.

Firma Obayashi Corp mendakwa lif itu boleh dibina dengan menggunakan teknologi karbon nanotube yang lebih 20 kali ganda lebih kuat daripada besi.

Menurut firma berkenaan, lif itu dapat membawa sehingga 30 penumpang pada sesuatu masa dan bergerak pada kelajuan 200 kilometer sejam selama seminggu sebelum berhenti di sebuah stesen pada jarak 36,000km.

Ketua projek itu, Satomi Katsuyama berkata, pelancong akan tinggal di stesen berkenaan manakala kumpulan penyelidik dan pakar akan meneruskan perjalanan.

"Manusia sejak dahulu lagi kagum dengan menara tinggi. Kami akan membina lif ini dari angkasa lepas dan bukan Bumi," katanya.

Walaupun Katsuyama yakin pelan tersebut akan berjaya, beliau belum menetapkan anggaran kos, lokasi dan pembiaya bagi membina struktur berkenaan.

Firma itu membina bangunan tertinggi di Jepun, Tokyo Sky Tree, yang setinggi 634 meter.

Antara penglibatan syarikat itu dalam pembinaan bangunan ialah Dubai Metro di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Studio Universal Osaka, Jepun dan Stadium Australia yang digunakan untuk Sukan Olimpik Sydney. - AFP


Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Berlian merah jambu ditemui


BERLIAN merah jambu diletakkan di hujung mata sebatang pen.


SYDNEY - Gergasi perlombongan Rio Tinto semalam menyatakan pihaknya menemui batu berlian merah jambu 12.76 karat di Australia.

Ia merupakan berlian merah jambu terbesar pernah ditemui di negara berkenaan.

Dinamakan Argyle Pink Jubilee, batu berlian besar itu ditemui di lombong berlian merah jambu Argyle di Kimberley, Australia Barat.

Rio Tinto dalam satu kenyataan memberitahu, masa selama 10 hari diperlukan bagi memotong dan mengilat batu permata berkenaan.

"Kami semua teruja dengan penemuan berlian ini yang jarang-jarang ditemui," kata Ketua Divisyen Berlian Merah Jambu Argyle, Josephine Johnson.

"Berlian seperti ini ditemui sekali dalam tempoh 26 tahun dan mungkin tidak akan ditemui lagi.

"Individu yang dapat memakai berlian merah jambu ini sudah tentu amat bertuah," tambahnya.

Menurut kenyataan Rio lagi, harga berlian Argyll tersebut dianggar lebih AS$10 juta (RM30.3 juta) berdasarkan berlian merah jambu berkualiti tinggi yang dijual pada harga AS$1 juta (RM3 juta) untuk setiap karat. - AFP


Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Wednesday, February 22, 2012

GADIS 17 TAHUN – BERAT 254 KG


BENTUK tubuh Georgia Davis yang mempunyai berat sehingga 254 kilogram.
BENTUK tubuh Georgia Davis yang mempunyai berat sehingga 254 kilogram.
ABERDARE, Wales – Berat seorang gadis berusia 17 tahun, Georgia Davis mencecah sehingga 254 kilogram (kg), lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut Georgia, punca dia gemuk adalah kerana tekanan yang menyebabkan dia makan terlalu banyak.

Gadis itu akan meninggal dunia jika dia terus dengan tabiat pemakanannya.

Bagaimanapun, kata Georgia, dia kini berusaha untuk mengurangkan berat badannya.

“Saya tidak berusaha untuk memikirkan mengenai berat badan saya kerana ia akan menyebabkan saya berasa panik dan ia membuatkan masalah pemakanan saya akan menjadi lebih serius,” katanya.

Georgia akan menutup cermin dengan kain di bilik tidurnya bagi mengelak dia melihat tubuhnya.


Di sini Di Himpunkan Kisah Pelik dan Lucu, Anda Pasti terhibur...
Dapatkan info terkini dengan klik link ini

Gadis itu cuma keluar sehari seminggu dan kerap makan makanan segera pada waktu tengah hari.

Berat badan Georgia bertambah 44.45kg semasa dia berumur 15 tahun menyebabkan beratnya menjadi 209.55kg.

Menurut gadis itu, berat badannya berkurangan 95.25kg pada 2009 selepas mengikuti program diet di sebuah akademi di Carolina Utara, Amerika Syarikat.

Namun, berat badannya bertambah apabila kembali pulang ke sini kerana dia tidak lagi memakan makanan kurang berlemak disebabkan ibunya tidak mempunyai masa untuk memasak.

Dia kini berharap Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan milik kerajaan dapat membantunya untuk menguruskan badan. – Agensi

GADIS 17 TAHUN – BERAT 254 KG:

'via Blog this'

'Tak sedar kaki abang ipar putus'

Pesara tentera meninggal dalam perjalanan ke hospital

JELI: “Saya memeluknya tapi langsung tidak sedar yang sebelah kaki abang ipar sudah terputus selepas motosikal ditunggangnya bersama isteri dirempuh sebuah Hilux,” kata Shapei Mamat, 47, adik ipar mangsa kemalangan di Kilometer 35.5 Jalan Jeli Dabong, Kuala Balah di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa Mohamad Yusuff, 59, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Kuala Balah selepas kaki kanannya terputus, manakala isterinya, Fatimah Yakub, 52, patah kedua-dua kaki turut dikejarkan ke klinik sama sebelum dipindahkan ke Hospital Kota Bharu.
Mohamad yang juga bekas tentera dari Batalion 301 dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menoreh getah bersama isterinya tidak jauh dari tempat kejadian.

“Saya ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan oleh anak, dan mendapati arwah berada di bahu jalan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Sebaik tiba di klinik berkenaan barulah saya menyedari kaki kanannya terputus sebelum bergegas ke lokasi kejadian bagi mencari semula kaki terbabit.

“Kami menemui semula kaki terbabit berhampiran kawasan kemalangan sebelum membawanya semula ke klinik berkenaan,” katanya ketika ditemui malam kelmarin.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara ketika berkunjung ke kedai makan saya malam sebelum kejadian cuma mangsa ada mengatakan dia akan pergi mengail untuk kali terakhir pada keesokan harinya.
“Saya pun tidak menyangka kata-kata arwah ketika mengunjungi kedainya itu adalah yang terakhir sebelum arwah pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan, Sheik Azhar Sheik Omar, mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan kes ini disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian Online | 'Tak sedar kaki abang ipar putus':

'via Blog this'

Temui manusia tertinggi dunia

manusia tertinggi di dunia
KUALA DUNGUN – Penduduk di sini teruja menemui manusia tertinggi di dunia sempena Pesta Gegar Riuh yang diadakan di Padang Astaka, dekat sini, petang kelmarin.

Ijaz Ahmed, 29, dari Pakistan memiliki ketinggian 2.56 meter yang disifatkan sebagai manusia tertinggi di dunia itu tiba untuk menemui warga komuniti dekat sini.

Ijaz yang sempat ditemui Sinar Harian berkata, dia mempunyai 12 adik beradik, namun semuanya mempunyai fizikal normal melainkan dirinya.

Walaupun mempunyai sifat fizikal yang jauh berbeza dengan manusia normal, namun Ijaz yang memakai kasut saiz 22 hanya mengambil makanan seperti manusia normal lain.

Ijaz yang sudah tiga kali datang ke Malaysia akan berada di sini selama tiga hari bagi memberi peluang masyarakat di sini merakam gambar kenangan dengan bayaran RM10 seorang sebagai derma mengisi tabung amal.

Temui manusia tertinggi dunia - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lori tangki bawa muatan petrol terbalik


lori terbalik
LUKUT – Dua beranak yang sedang memasak untuk menyediakan makan tengah hari di bahagian dapur berhadapan detik cemas apabila sebuah lori tangki dengan muatan 21, 840 liter petrol menghempap garaj rumahnya di Kampung Sungai Sendayan kira-kira jam 11.40 pagi, semalam.

Sinar Harian difahamkan kejadian itu berlaku apabila pemandu lori berkenaan yang berusia lingkungan­ 40-an terlepas simpang untuk menghantar minyak ke sebuah stesen minyak di Sendayan jalan Port Dickson-Seremban.

V Tamil Selvi, 35, berkata, selepas terdengar bunyi seperti letupan kuat, dia bersama ibunya berlari keluar.

Menurutnya, mereka sangat terkejut apabila melihat sebuah lori tangki sudah menghempap garaj rumah.

“Ketika itu, saya lihat tangki lori tersebut sudah bocor dan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, saya meminta bantuan daripada beberapa orang awam yang berada di sebuah kedai makan berhampiran untuk mengalihkan tiga lori serta dua kereta dari halaman rumah.

“Selepas itu, kepulan asap putih keluar dan menyelubungi seluruh kawasan rumah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Tamil Selvi berkata, ketika itu, dia terdengar pemandu lori berkenaan menjerit meminta tolong sebelum membantunya keluar.

“Pemandu lori itu hanya mengalami luka ringan,” katanya.

Katanya, ini adalah insiden yang pertama kali berlaku dan ia sangat menakutkan mereka sekeluarga.


Hari pertama pemandu lori bekerja

Sementara itu, pemandu lori berkenaan yang tidak mahu dikenali berkata, dia memandu dari Pelabuhan Klang dan keluar di lebuhraya Lukut menuju ke Jalan Sendayan.

Menurutnya, bagaimanapun dia terlepas untuk masuk ke simpang stesen minyak yang dituju dan cuba untuk berpatah balik dengan memasuki jalan kampung di Kampung Sendayan tidak berapa jauh dari stesen minyak itu.

“Keadaan jalan itu berbukit dan saya cuba untuk mengundurkan lori, namun tidak dapat mengawalnya mengakibatkan tayar depan lori termasuk ke dalam longkang sebelum menghempap garaj sebuah rumah yang paling hampir dengan jalan,” katanya.

Difahamkan, semalam adalah hari pertama pemandu lori berkenaan­ bekerja sebagai pemandu lori di syarikat tempatnya bekerja.


Ambil beberapa tindakan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Yahya Jaffar berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan, pasukannya bergegas ke lokasi dan beberapa tindakan dilakukan bagi memastikan tumpahan minyak dapat diatasi tanpa sebarang kejadian buruk.

Menurutnya, pihaknya memasang alat penahan yang dikenali sebagai boom untuk menghalang minyak yang tumpah ke longkang daripada terus mengalir ke tempat lain.

“Manakala minyak dari lori tangki tersebut dipindahkan ke sebuah lagi lori selain menabur pasir di atas jalan yang terdapat kesan tumpahan minyak dan meletakan papan tanda larangan merokok.

“Kami juga melakukan semburan­ air ke bahagian tangki lori yang baru semasa pemindahan minyak dilakukan kerana semasa proses berkenaan (pemindahan minyak) dikhuatiri ada penggalak haba,” katanya.

Dalam operasi itu, seramai 20 anggota bomba dan tiga jentera melibatkan Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan Seremban 2.
Lori tangki bawa muatan petrol terbalik - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Denda berlengan pendek

Denda

KOTA BHARU - “Saya tak tahu kalau pakai baju pendek dan tidak menutupi lengan salah di sisi undang-undang di Kelantan.”

Demikian kata seorang remaja perempuan selepas dikompaun RM500 dalam operasi Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), semalam.
Gadis itu adalah antara lima individu yang dikompaun kerana tidak menutup aurat, membuang puntung rokok di kawasan terbuka di samping tidak mempunyai lesen berniaga di kaki lima dan tidak menjaga kebersihan premis.
Operasi pembersihan yang diketuai Inspektor Bahagian Penguatkuasaan MPKB-BRI, Mohamad Ali bersama empat pegawai itu bermula pada jam 10 pagi dan tamat pada jam 1 petang.
Kompaun yang dikenakan termasuk kesalahan tidak tutup aurat dan berniaga di kali lima tanpa lesen dikenakan denda RM 500 maksimum di bawah undang-undang kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian 27 (A) dan buang puntung rokok di tempat awam di bawah seksyen 10 (d) 1983 pindaan 1987.
Yang Dipertua MPKB-BRI, Fauzi Mat berkata, sepanjang tahun lalu, MPKB-BRI berjaya mengumpul RM 70,000 daripada 460 kompaun yang dikeluarkan iaitu 330 kes merupakan kesalahan membuang sampah di merata tempat yang dilakukan premis perniagaan dan 130 merupakan kesalahan individu.
Denda berlengan pendek - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

SU Pertahanan AS minta maaf isu bakar al-Quran

bakar quran

KABUL - Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Leon Panetta memohon maaf kepada rakyat Afghanistan berhubung insiden beberapa naskhah al-Quran didapati dibuang dan dibakar, kelmarin.

Laporan BBC memetik Panetta berkata, tentera AS menghormati amalan agama rakyat Afghanistan tanpa "sebarang pengecualian."

Panglima tentera Nato di Afghanistan, Jeneral John R Allen dari AS sudah pun mengumumkan bahawa satu siasatan akan diadakan berkenaan insiden itu.

Laporan-laporan awal menunjukkan AS merampas bahan-bahan yang dipercayai digunakan tahanan Taliban untuk menghantar mesej.

Berita berkenaan insiden itu mencetuskan kemarahan di luar pangkalan tentera AS di Bagram, utama Kabul.

Laporan BBC juga menyebut seorang cedera dan lima lagi ditahan apabila tentera Nato melepaskan peluru getah ke arah kumpulan yang mengadakan demonstrasi di luar pangkalan tentera itu.


SU Pertahanan AS minta maaf isu bakar al-Quran - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pakistan siasat isu persembunyian Osama


Pemandangan kawasan persembunyian Osama bin Laden di Abbotabad yang terbunuh dalam serangan komando tentera Amerika Syarikat di sebuah rumah di pekan itu pada 2 Mei lalu. – AFP


WASHINGTON 21 Feb. – Hampir 10 bulan sudah berlalu sejak ketua al-Qaeda, Osama bin Laden dibunuh oleh komando Amerika Syarikat (AS) di Abbottabad, tetapi satu persoalan yang masih belum terjawab ialah bagaimana dia boleh bersembunyi di bandar garison tentera dekat Islamabad itu, selama enam tahun tanpa diketahui oleh sesiapa.
Mengajukan soalan itu bukan bermakna menuduh tentera atau perkhidmatan perisikan Pakistan terlibat dengan salah laku, kerana sehingga kini belum ada bukti kukuh yang muncul.
Namun, terdapat banyak isu yang menimbulkan tanda tanya berhubung tempoh enam tahun Osama tinggal di Abbottabad.
Semua pihak mahukan jawapan, lebih-lebih lagi Ketua Staf Tentera, Jeneral Ashfaq Kayani yang akan meningkatkan kredibilitinya di dalam dan luar negara jika beliau membenarkan siasatan dijalankan.
“Tanpa menuduh sesiapa, saya fikir adalah demi kepentingan Pakistan untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku,” kata Bekas Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Jeneral Mike Hayden yang menggambarkan sentimen meluas di kalangan rakyat AS dan Pakistan.
Walaupun sukar dipercayai, pegawai AS mendakwa mereka tidak mempunyai bukti bahawa Kayani atau pegawai tinggi Pakistan yang lain tahu tentang kehadiran Osama di Abbottabad, sebelum dia ditembak mati oleh komando AS dalam serbuan di sebuah rumah di pekan itu pada 2 Mei lalu.
Pandangan ini dibuat berdasarkan siasatan mengenai bahan-bahan yang diambil dari tempat persembunyian Osama serta reaksi Kayani serta pegawai lain pada malam serangan itu.
Faktor yang memungkinkan siasatan dijalankan sekarang ialah kerajaan Pakistan yang selama ini kerap berada di bawah telunjuk tentera semakin tegas memperlihatkan kebebasannya.
Selain itu, Parlimen sedang menimbangkan cara untuk memulihkan hubungan AS-Pakistan, manakala Mahkamah Agung sudah mendakwa Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani atas tuduhan menghina mahkamah kerana gagal membuka semula kes rasuah membabitkan Presiden Asif Ali Zardari.
Asif sendiri masih mengekalkan kuasa walaupun khabar angin terus tersebar bahawa tentera mahu menyingkirkan beliau.
Bagi membawa Pakistan keluar daripada segala kekaburan, Ketua Hakim Iftikhar Mohammed Chaudhry perlu menubuhkan sebuah suruhanjaya khas untuk menyiasat pelbagai persoalan yang belum terjawab berkaitan kisah Osama. – AGENSI
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Rakyat Yemen mengundi pilih Presiden baru


Sebahagian penduduk Yemen beratur di luar pusat pengundian sempena pilihan raya Presiden Yemen di Sanaa, semalam. - AFP


SANAA 21 Feb. - Rakyat Yemen mengundi hari ini untuk memilih Presiden bagi menggantikan Presiden Ali Abdullah Saleh dalam satu pilihan raya yang diharapkan oleh kebanyakan pihak bakal membawa perubahan di negara ini.
Walaupun, Naib Presiden Abdrabuh Mansur Hadi adalah satu-satunya calon yang bertanding, pilihan raya Presiden ini merupakan cubaan untuk membantu Yemen membuka lembaran baru selepas diperintah secara kuku besi selama 33 tahun.
Pilihan raya itu turut menyaksikan Saleh, yang kini berada di New York untuk menjalani rawatan, menjadi pemimpin autokrat Arab keempat digulingkan dalam kebangkitan rakyat.
Barisan panjang kelihatan di pusat-pusat mengundi di ibu negara Sanaa sejak awal pagi ekoran kawalan ketat tentera, selepas satu letupan menggegarkan satu tempat pengundian di selatan bandar pelabuhan Aden menjelang hari pengundian.
Sebuah kereta tentera dengan senjata anti-pesawat dan barisan tentera turut kelihatan mengawal keselamatan di pusat pengundian ketika beratus-ratus orang beratur untuk mengundi.
"Kami kini mengisytiharkan tamatnya pemerintahan era Saleh dan akan membina negara Yemen yang baru," kata Pemenang Anugerah Nobel Keamanan warga Yemen, Tawakul Karman ketika menunggu giliran mengundi di sebuah universiti di Sanaa.
Jumlah undi yang besar adalah penting bagi Hadi untuk mendapatkan pengesahan pemerintahan bagi membentuk Perlembagaan baru dan menyusun semula pasukan tentera yang sebelum ini dikuasai Saleh.
Pilihan raya itu mendapat sokongan Amerika Syarikat dan Arab Saudi, yang menaja perjanjian damai bagi penyerahan kuasa Saleh kepada Hadi yang ditandatangani pada November lalu. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Thai kesan suspek militan keenam


Anggota polis Thai mengawal suspek militan warga Iran, Mohammad Kharzei (tengah) ketika polis melakukan siasatan di rumah sewanya di Bangkok, kelmarin. - AFP


BANGKOK 21 Feb. - Polis Thailand menamakan suspek keenam dalam komplot serangan bom ke atas diplomat Israel dipercayai didalangi rakyat Iran di sini.
Lelaki itu, Norouzi Shaya Ali Akbar, 57, dikehendaki kerana disyaki memiliki dan membuat bahan letupan.
Timbalan Ketua Polis Thailand, Pansiri Prapawat berkata, Norouzi dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) meninggalkan rumah yang disewa suspek-suspek lain.
''Dia dipercayai telah melarikan diri ke Iran,'' katanya yang dipetik oleh AFP.
Tiga suspek lelaki kini berada dalam tahanan di Thailand dan Malaysia, manakala dua lagi iaitu seorang lelaki dan seorang wanita kini dijejaki selepas kejadian letupan di sebuah rumah yang disewa rakyat Iran di sini pada minggu lepas.
Polis membawa seorang suspek, Mohamad Khazaei ke tempat kejadian semalam.
Kejadian letupan pada Selasa lalu menyebabkan kesemua suspek cuba melarikan diri dari Thailand di mana suspek kedua, Saeid Moradi terputus satu daripada kakinya dalam insiden itu.
Mohamad Khazaei ditahan di lapangan terbang antarabangsa di sini, manakala suspek ketiga, Masoud Sedaghat Zadeh ditahan di Kuala Lumpur dan kini menunggu arahan untuk diekstradisi ke Thailand.
Dua lagi suspek adalah seorang wanita Iran, Leila Rohani yang dipercayai sudah pulang ke Iran dan seorang lelaki, Nikkhahfard Javad yang kewarganegaraannya masih belum diketahui.
Polis sedang melihat kemungkinan terdapat kaitan kejadian letupan itu dengan sejumlah pelekat yang memaparkan mesej perkataan yang membingungkan polis iaitu 'Sejeal' dan ditampal di sekitar bandar raya ini. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Tentera asing bakar al-Quran


Penduduk Afghanistan yang mengadakan tunjuk perasaan dan membalingkan bom api sambil melaungkan slogan anti-AS di hadapan pintu pagar pangkalan tentera AS di Bagram membantah tindakan tentera asing membakar kitab al-Quran di pangkalan itu, semalam. - AFP


KABUL 21 Feb. - Satu protes tercetus di luar sebuah pangkalan utama tentera Amerika Syarikat (AS) di Pakistan dan Kabul, hari ini ekoran dakwaan tentera asing membakar bahan bacaan Islam termasuk kitab suci Al-Quran.
Menurut seorang jurugambar AFP, kira-kira 2,000 penunjuk perasaan mengepung pangkalan udara Bagram, utara Kabul. Mereka turut melemparkan bom petrol ke arah pagar pangkalan tersebut.
Komander AS di Afghanistan, Jeneral John Allen berkata, beliau ada menerima laporan tentang tindakan tentera melupuskan bahan bacaan Islam termasuk al-Quran dengan cara yang tidak sepatutnya.
Beliau juga katanya telah mengarahkan satu siasatan dijalankan berhubung kejadian tersebut yang dilakukan tentera di Bagram.
"Selepas mengetahui tentang perkara itu, kami segera menghentikannya. Semua bahan bacaan itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa agama untuk diuruskan dengan betul.
"Saya meminta maaf bagi setiap kesilapan yang mungkin berlaku kepada Presiden Hamid Karzai, Republik Islam Afghanistan dan yang paling penting kepada semua rakyat negara ini," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Penjara Bagram, Ahmad Kabir berkata, kebanyakan penunjuk perasaan merupakan pekerja di pangkalan tentera terbabit dan sebahagiannya mendakwa ternampak cebisan al-Quran dibakar di pangkalan itu.
"Saya tidak nampak kejadian itu, jadi siasatan perlu dilakukan untuk mendapatkan kepastian," katanya.
Jurucakap polis Ashamat Estanakzai pula berkata, satu lagi protes disertai 500 penunjuk perasaan turut diadakan di daerah Pul-e-charkhi, berhampiran pangkalan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Jalalabad.
Beberapa protes sama sebelum ini bertukar ganas di Afghanistan, sebuah negara Islam yang memperuntukkan hukuman mati bagi kesalahan menghina agama. - AFP/AP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Nurul Zakiah dirayu pulang ke pangkuan keluarga

Nurul Zakiah

KUALA LANGAT 21 Feb. - Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi dirayu pulang ke pangkuan keluarga setelah dipercayai melarikan diri bersama teman lelakinya sejak 14 Februari lalu.
Nurul Zakiah Hidayah Azman, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Banting dikatakan tidak pulang ke rumahnya di Jalan Masjid, Kanchong Darat selepas keluar untuk ke sekolah pada hari tersebut.
Ibu saudaranya, Norlaila Saad, 43, berkata, setelah menyedari kehilangan Nurul, bapa remaja itu, Azman Saad, 51, telah menghubungi pihak sekolah tetapi diberitahu anak perempuannya itu tidak hadir ke sekolah pada hari tersebut.
Katanya, pihak keluarga mengesyaki remaja berkenaan telah melarikan diri bersama seorang lelaki warga Pakistan yang dikenali sebagai 'Samer Khan' yang sebelum ini bekerja di sebuah kedai borong di pekan Banting di sini.
"Sebelum menghilangkan diri, Nurul Zakiah menunjukkan perubahan sikap dan dikatakan ada menjalinkan hubungan dengan lelaki warga asing itu ketika bekerja sementara di sebuah pasar raya di sini.
"Saya sudah puas memberikan nasihat kepada Nurul dan cuba menghalangnya daripada meneruskan perhubungan dengan lelaki itu memandangkan dia masih belajar dan bakal menduduki peperiksaan SPM," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Norlaila yang memelihara anak saudaranya itu sejak berusia 12 tahun selepas ibu kandungnya meninggal dunia memberitahu, dia berasa sungguh risau kerana Nurul Zakiah sebelum ini pernah menyatakan hasrat ingin berkahwin dengan lelaki tersebut tetapi pihak keluarga mengambil sikap mendiamkan diri sahaja.
"Tidak sangka pesanan terakhir Nurul yang disampaikan kepada pemandu sekolah agar mengambilnya di sekolah pada pukul 4 petang (14 Februari) sekadar taktik untuk menghilangkan diri.
"Saya risau sekiranya anak saudara saya dipermainkan atau dibawa lari oleh lelaki Pakistan tersebut. Ini kerana pengusaha kedai borong tersebut memberitahu lelaki itu sudah tidak lagi bekerja di kedainya sejak 14 Februari lalu.
"Dia juga telah membawa barang-barangnya tanpa sebarang notis dan hari tersebut adalah tarikh yang sama Nurul menghilangkan diri," katanya.
Azman berkata, pihaknya telah membuat laporan polis pada 15 Februari lalu berhubung kehilangan anak perempuannya itu dan berharap pihak berkuasa dapat membuat siasatan.
"Saya amat berharap Nurul dapat pulang ke pangkuan keluarga dan berbincang kalau dia ada masalah. Lagipun Nurul akan menduduki peperiksaan yang bakal menentukan masa depannya nanti," katanya.
Orang ramai yang pernah terlihat gadis tersebut diharap tampil membantu dengan menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Azman di talian 019-2959178 atau 012-9121072 (Za).

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

15,000 mati dilanggar kereta api setiap tahun

NEW DELHI: Satu panel keselamatan kerajaan berkata, kira-kira 15,000 orang terbunuh setiap tahun ketika melintasi landasan kereta api di seluruh India.

Sehubungan itu, panel berkenaan mencadangkan supaya lebih banyak jambatan dibina segera bagi mengatasi masalah itu.


Kebanyakan kematian berlaku di lintasan yang tidak dikawal. Di Mumbai saja, 6,000 orang mati setiap tahun. Kira-kira 1,000 lagi mati kerana terjatuh dari gerabak yang penuh sesak, akibat pelanggaran atau kerana kereta api tergelincir.

Panel itu ditubuhkan oleh kerajaan September lalu berikutan beberapa kemalangan kereta api di negara yang mempunyai rangkaian kereta api keempat terbesar di dunia. - AFP


myMetro | 15,000 mati dilanggar kereta api setiap tahun:

'via Blog this'

Jembalang babun serang sekolah menengah

BULAWAYO: Pelajar di sebuah sekolah menengah perempuan di selatan Zimbabwe diarah pulang minggu lalu selepas mereka mendakwa diganggu jembalang.

Terletak di kawasan kering di Sigangatsha, kira-kira 72 kilometer di selatan Bulawayo, Sekolah Menengah St Sebastian itu kini disiasat Kementerian Pendidikan selepas ramai pelajar ketakutan diserang jembalang berkenaan.


Menurut sumber, kejadian itu bermula sejak beberapa minggu lalu dan menyebabkan pelajar terbabit trauma.

Sekolah berkenaan juga terletak tidak jauh dari Taman Negara yang menempatkan kubur pengasas negara Rhodesia (kini dikenali sebagai Zimbabwe) dan syarikat berlian utama dunia De Beers, Cecil John Rhodes.


Ramai ibu bapa mendakwa, anak perempuan mereka diserang jembalang yang menyerupai babun dalam kelas masing-masing.


Pegawai pendidikan tempatan, Patrick Dube, mengesahkan sekolah berkenaan kecoh dengan kejadian itu.

“Di pihak kementerian, kami akan menyiasat setiap aduan dan setakat ini, belum dipastikan apa sebenarnya berlaku di situ,” katanya kepada media, semalam.


Sementara itu, seorang cendekiawan Zimbabwe, Dewa Mavhinga, berkata jembalang adalah makhluk mistik yang jahat dan perlu dibersihkan melalui ritual tertentu jika kejadian histeria berterusan.

“Seseorang yang ternampak makhluk itu akan mengalami gangguan dan ilmu sihir boleh berlaku sama ada dalam komuniti bandar atau luar bandar,” katanya.


Seorang ibu yang enggan dikenali berkata, ada pelajar yang mengalami histeria selepas melihat jembalang itu.


“Saya rasa pelajar terbabit dirasuk. Dia tidak sedarkan diri dan tiba-tiba mula menjerit-jerit sambil bertindak liar selama kira-kira lima minit,” katanya.


Apabila sedar, katanya, pelajar terbabit mendakwa dia melihat ada seekor babun cuba menamparnya.


Awal bulan ini, Menteri Hal Ehwal Air Zimbabwe, Sam Sipepa Nkomo, berkata beberapa pekerja sebuah empangan melarikan diri dari situ selepas terserempak ikan duyung.


“Ikan duyung itu sebenarnya hantu,” katanya. - DM


myMetro | Jembalang babun serang sekolah menengah:

'via Blog this'

Anggota Abu Sayyaf terbabit pemancungan 10 marin Filipina diberkas di Isabela

MANILA: Komando polis Filipina menahan seorang anggota kumpulan Abu Sayyaf yang dikaitkan dengan pelbagai kesalahan, termasuk memancung anggota marin dan melarikan diri dari penjara, semalam.

Berbelas-belas waran tangkap pernah dikeluarkan terhadap lelaki dikenali sebagai Ismael itu.


Menggunakan nama samaran Patah Hamjak, dia ditahan di bandar Isabela di selatan Pulau Basilan.

Pengerusi Majlis Antikeganasan Filipina, Paquito Ochoa Jr, berkata Ismael dipercayai terbabit dalam pembunuhan 10 anggota marin di bandar al-Barka pada 2007.


“Dia juga terbabit dalam serangan ke atas penjara dan membolehkan 31 tahanan - kebanyakannya beragama Islam - melarikan diri dari penjara,” katanya.


Antara tahanan yang lari adalah Dan Laksaw Asnawi, pemimpin penting Barisan Pembebasan Islam Moro.

Ochoa berkata, selain itu, Ismael bertanggungjawab melepaskan tembakan ke atas orang awam dan meletupkan bom dalam serangan nekad di Isabela dua tahun lalu. - Inquirer


myMetro | Anggota Abu Sayyaf terbabit pemancungan 10 marin Filipina diberkas di Isabela:

'via Blog this'