Pages

Wednesday, February 22, 2012

Pakistan siasat isu persembunyian Osama


Pemandangan kawasan persembunyian Osama bin Laden di Abbotabad yang terbunuh dalam serangan komando tentera Amerika Syarikat di sebuah rumah di pekan itu pada 2 Mei lalu. – AFP


WASHINGTON 21 Feb. – Hampir 10 bulan sudah berlalu sejak ketua al-Qaeda, Osama bin Laden dibunuh oleh komando Amerika Syarikat (AS) di Abbottabad, tetapi satu persoalan yang masih belum terjawab ialah bagaimana dia boleh bersembunyi di bandar garison tentera dekat Islamabad itu, selama enam tahun tanpa diketahui oleh sesiapa.
Mengajukan soalan itu bukan bermakna menuduh tentera atau perkhidmatan perisikan Pakistan terlibat dengan salah laku, kerana sehingga kini belum ada bukti kukuh yang muncul.
Namun, terdapat banyak isu yang menimbulkan tanda tanya berhubung tempoh enam tahun Osama tinggal di Abbottabad.
Semua pihak mahukan jawapan, lebih-lebih lagi Ketua Staf Tentera, Jeneral Ashfaq Kayani yang akan meningkatkan kredibilitinya di dalam dan luar negara jika beliau membenarkan siasatan dijalankan.
“Tanpa menuduh sesiapa, saya fikir adalah demi kepentingan Pakistan untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku,” kata Bekas Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Jeneral Mike Hayden yang menggambarkan sentimen meluas di kalangan rakyat AS dan Pakistan.
Walaupun sukar dipercayai, pegawai AS mendakwa mereka tidak mempunyai bukti bahawa Kayani atau pegawai tinggi Pakistan yang lain tahu tentang kehadiran Osama di Abbottabad, sebelum dia ditembak mati oleh komando AS dalam serbuan di sebuah rumah di pekan itu pada 2 Mei lalu.
Pandangan ini dibuat berdasarkan siasatan mengenai bahan-bahan yang diambil dari tempat persembunyian Osama serta reaksi Kayani serta pegawai lain pada malam serangan itu.
Faktor yang memungkinkan siasatan dijalankan sekarang ialah kerajaan Pakistan yang selama ini kerap berada di bawah telunjuk tentera semakin tegas memperlihatkan kebebasannya.
Selain itu, Parlimen sedang menimbangkan cara untuk memulihkan hubungan AS-Pakistan, manakala Mahkamah Agung sudah mendakwa Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani atas tuduhan menghina mahkamah kerana gagal membuka semula kes rasuah membabitkan Presiden Asif Ali Zardari.
Asif sendiri masih mengekalkan kuasa walaupun khabar angin terus tersebar bahawa tentera mahu menyingkirkan beliau.
Bagi membawa Pakistan keluar daripada segala kekaburan, Ketua Hakim Iftikhar Mohammed Chaudhry perlu menubuhkan sebuah suruhanjaya khas untuk menyiasat pelbagai persoalan yang belum terjawab berkaitan kisah Osama. – AGENSI
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: