Pages

Wednesday, February 22, 2012

Thai kesan suspek militan keenam


Anggota polis Thai mengawal suspek militan warga Iran, Mohammad Kharzei (tengah) ketika polis melakukan siasatan di rumah sewanya di Bangkok, kelmarin. - AFP


BANGKOK 21 Feb. - Polis Thailand menamakan suspek keenam dalam komplot serangan bom ke atas diplomat Israel dipercayai didalangi rakyat Iran di sini.
Lelaki itu, Norouzi Shaya Ali Akbar, 57, dikehendaki kerana disyaki memiliki dan membuat bahan letupan.
Timbalan Ketua Polis Thailand, Pansiri Prapawat berkata, Norouzi dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) meninggalkan rumah yang disewa suspek-suspek lain.
''Dia dipercayai telah melarikan diri ke Iran,'' katanya yang dipetik oleh AFP.
Tiga suspek lelaki kini berada dalam tahanan di Thailand dan Malaysia, manakala dua lagi iaitu seorang lelaki dan seorang wanita kini dijejaki selepas kejadian letupan di sebuah rumah yang disewa rakyat Iran di sini pada minggu lepas.
Polis membawa seorang suspek, Mohamad Khazaei ke tempat kejadian semalam.
Kejadian letupan pada Selasa lalu menyebabkan kesemua suspek cuba melarikan diri dari Thailand di mana suspek kedua, Saeid Moradi terputus satu daripada kakinya dalam insiden itu.
Mohamad Khazaei ditahan di lapangan terbang antarabangsa di sini, manakala suspek ketiga, Masoud Sedaghat Zadeh ditahan di Kuala Lumpur dan kini menunggu arahan untuk diekstradisi ke Thailand.
Dua lagi suspek adalah seorang wanita Iran, Leila Rohani yang dipercayai sudah pulang ke Iran dan seorang lelaki, Nikkhahfard Javad yang kewarganegaraannya masih belum diketahui.
Polis sedang melihat kemungkinan terdapat kaitan kejadian letupan itu dengan sejumlah pelekat yang memaparkan mesej perkataan yang membingungkan polis iaitu 'Sejeal' dan ditampal di sekitar bandar raya ini. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: