Pages

Wednesday, February 22, 2012

Rakyat Yemen mengundi pilih Presiden baru


Sebahagian penduduk Yemen beratur di luar pusat pengundian sempena pilihan raya Presiden Yemen di Sanaa, semalam. - AFP


SANAA 21 Feb. - Rakyat Yemen mengundi hari ini untuk memilih Presiden bagi menggantikan Presiden Ali Abdullah Saleh dalam satu pilihan raya yang diharapkan oleh kebanyakan pihak bakal membawa perubahan di negara ini.
Walaupun, Naib Presiden Abdrabuh Mansur Hadi adalah satu-satunya calon yang bertanding, pilihan raya Presiden ini merupakan cubaan untuk membantu Yemen membuka lembaran baru selepas diperintah secara kuku besi selama 33 tahun.
Pilihan raya itu turut menyaksikan Saleh, yang kini berada di New York untuk menjalani rawatan, menjadi pemimpin autokrat Arab keempat digulingkan dalam kebangkitan rakyat.
Barisan panjang kelihatan di pusat-pusat mengundi di ibu negara Sanaa sejak awal pagi ekoran kawalan ketat tentera, selepas satu letupan menggegarkan satu tempat pengundian di selatan bandar pelabuhan Aden menjelang hari pengundian.
Sebuah kereta tentera dengan senjata anti-pesawat dan barisan tentera turut kelihatan mengawal keselamatan di pusat pengundian ketika beratus-ratus orang beratur untuk mengundi.
"Kami kini mengisytiharkan tamatnya pemerintahan era Saleh dan akan membina negara Yemen yang baru," kata Pemenang Anugerah Nobel Keamanan warga Yemen, Tawakul Karman ketika menunggu giliran mengundi di sebuah universiti di Sanaa.
Jumlah undi yang besar adalah penting bagi Hadi untuk mendapatkan pengesahan pemerintahan bagi membentuk Perlembagaan baru dan menyusun semula pasukan tentera yang sebelum ini dikuasai Saleh.
Pilihan raya itu mendapat sokongan Amerika Syarikat dan Arab Saudi, yang menaja perjanjian damai bagi penyerahan kuasa Saleh kepada Hadi yang ditandatangani pada November lalu. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: