Pages

Friday, July 15, 2011

Gunung Berapi Lokon di Sulawesi meletus

JAKARTA 15 Julai - Gunung berapi Lokon di Sulawesi meletuskan lava, batu dan debu sehingga ketinggian beratus meter menyebabkan ribuan penduduk setempat bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Gunung berapi berkenaan semakin aktif sejak 9 Jun lalu dikesan berlaku letusan kuat pada malam tadi dan menyebabkan debu, pasir dan batu terpelanting setinggi 1,500 meter ke udara.

Pakar gunung berapi, Kristianto berkata, setakat ini penduduk di sekitar kawasan 3.5 kilometer gunung berapi itu telah dipindahkan dan ia akan diperluaskan lagi jika letusan lebih kuat berlaku.

Setakat ini kira-kira 2,500 penduduk dipindah dan terdapat 28,000 penduduk tinggal di kawasan berkenaan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini

Guna anjing untuk kesan mayat di Ladang Gadong


PATHMANABHAN (empat dari kiri) bersama tiga pekerjanya diiring untuk ke Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Polis telah menggunakan khidmat dua ekor anjing terlatih (K9) untuk mengesan mayat semasa menjalankan siasatan di Ladang Gadong, Banting iaitu tempat yang menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu semalam.
Saksi pendakwaan ke-27, Supritendan Denis Leong Sung Kuai, 49, dari Cawangan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berkata, haiwan itu digunakan selepas pasukannya gagal menemui kesemua mangsa di ladang itu pada 9 September 2010.
"Selepas kami gagal temui mangsa-mangsa, kami gunakan khidmat cadaver dogs iaitu anjing yang dilatih untuk mengesan bau mayat di kawasan ladang itu.
"Apabila pengendali anjing melihat reaksi anjing seperti menghidu sesuatu, kami mula menggali. Bagaimanapun kami tidak menemui mayat atau tulang manusia pada masa itu," katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff.
Sung Kuai dipanggil bagi memberi keterangan pada hari kesembilan perbicaraan bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladangnya, T. Thailayangan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31.
Keempat-empat mereka didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohamad di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos 2010.
Kosmo! Online - Negara

Askar wanita AS ajak Timberlake keluar dengannya



KOPERAL Kelsey De Santis menggunakan laman web YouTube untuk mengajak Justim Timberlake menghadiri majlis tarian askar marin di Washington D.C.


NEW YORK - Seorang askar marin Amerika Syarikat (AS) yang berkhidmat di pangkalan Quantico, Koperal Kelsey De Santis menyiarkan video di laman YouTube bagi mengajak pelakon terkenal, Justin Timberlake keluar dengannya, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang berusia 27 tahun meminta Timberlake keluar untuk menemaninya menghadiri majlis tarian Marine Corps Ball di Washington pada November depan.

"Saya akan meminta anda keluar dan meminta anda untuk datang menghadiri Marine Corp Ball dengan saya pada 12 November di Washington D.C," katanya di laman YouTube.

Semasa dia membuat permintaan itu, beberapa askar marin berada di belakangnya.

Buat masa ini, askar marin itu menunggu jawapan daripada Timberlake.

Pada minggu lalu, seorang askar marin AS yang berkhidmat di Afghanistan, Sarjan Scott Moore menggunakan laman YouTube bagi meminta aktres Mila Kunis menjadi temannya untuk menghadiri majlis yang sama.

Permintaan Scott itu diterima oleh Kunis semasa aktres itu ditemuramah dalam program Fox411.

Kunis memberi jawapan untuk menghadiri majlis itu selepas dia bertanya kepada Timberlake yang merupakan kekasihnya samasa ada dia akan turut datang.

"Mereka tidak mahukan saya. Mereka mahukan kamu," kata Timberlake ketika itu. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Azab didera




Kesan tikaman di belakang badan Sew Lan yang ditunjukkan pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang wanita menghela nafas lega apabila diselamatkan daripada terus dikurung dan didera teman lelakinya di Amman, Jordan sejak enam bulan lalu.

Ngooi Sew Lan, 41, diselamatkan selepas dia dapat menghubungi kakaknya, Bong Yeng Phong, 42, pada pukul 12.35 tengah hari 12 Jun lalu yang ketika itu berada di sini untuk menceritakan mengenai azab yang ditanggungnya.

Yeng Phong yang terkejut kemudian membuat laporan di Balai Polis Central di sini sebelum menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri Stulang, Mok Chek Hou untuk meminta bantuan Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Jordan.

Mengimbau semula kejadian itu, Sew Lan mendakwa dia berkenalan dengan lelaki Jordan dikenali sebagai Hamada, 25, melalui satu laman sosial ketika dia menetap di London.

Pengurus restoran itu mendakwa, dia terpikat kerana ahli perniagaan di China itu bermulut manis selain fasih berbahasa Inggeris dan Mandarin.

“Saya kemudian mengikutnya pulang ke Jordan pada Januari lalu untuk melancong selepas dia berjanji akan membayar semula wang 10,000 pound sterling (RM48,000) yang dipinjam.

“Namun segalanya menjadi mimpi ngeri apabila Hamada berubah menjadi kurang siuman sehingga dia sanggup menikam belakang badan saya dengan pisau,” dakwanya pada sidang akhbar semalam.

Kosmo! Online - Negara

Kak Yah ada di Thailand




BOMOH wanita dikenali sebagai Kak Yah kini dipercayai bersembunyi di selatan Thailand.


KUALA TERENGGANU - Bomoh wanita dikenali sebagai Kak Yah atau Kak Mah yang dicari bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pemuda pada 17 Jun lalu dikesan berada di selatan Thailand.

Polis turut yakin wanita tersebut akan dapat ditahan dalam tempoh terdekat berdasarkan maklumat yang diperoleh selain kerjasama yang diterima daripada pihak berkuasa Thailand.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan memberitahu, siasatan lanjut mendapati, suami suspek berusia 33 tahun yang ditahan di Rantau Panjang, Kelantan pada 5 Julai lalu tidak terlibat dengan pembunuhan tersebut.

Sehubungan itu katanya, polis telah membebaskan lelaki tersebut Selasa lalu selepas pihaknya berpuas hati dengan keterangan yang diberi.

"Wanita itu menjadi suspek tunggal dalam kes tersebut. Berdasarkan maklumat yang diberikan suaminya, kita dapati Kak Yah sedang bersembunyi di selatan Thailand dekat sempadan.

"Suami suspek juga bersetuju untuk menjadi saksi terhadap kes itu," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara

Dua ekor anjing serang lelaki Ireland dilupus


GEORGE TOWN - Selepas tujuh bulan didakwa menggigit dan menyerang seorang pelancong warga Ireland hingga mati, dua ekor anjing yang terlibat dalam kejadian itu dilupuskan semalam setelah mendapat perintah dari Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa lalu.

Anjing jantan dan betina milik Joseph Teoh Boon Aun, 42, dan isterinya, Teoh Bee Eng, 56, itu didakwa bertindak demikian ke atas Sullivan Maurice, 51, ketika mangsa merakamkan gambar dusun durian di ladang organik kepunyaan pasangan itu di Teluk Bahang dekat sini pada 9 Januari lalu.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami cedera parah di seluruh anggota badan selain putus kedua-dua cuping telinga dan dagu.

Pelupusan anjing jenis Pit Bull yang diberi nama Li dan Ning secara suntikan itu dilakukan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Timur Laut, Jalan Gurdwara di sini pada pukul 2.30 petang semalam.

Bagaimanapun, dua lagi anjing yang tidak terlibat dalam kejadian serangan tersebut dikembalikan kepada pemiliknya pada pukul 10 pagi, tiga jam sebelum tindakan pelupusan itu dijalankan.

Kosmo! Online - Negara

Raja Azmi cetus kontroversi lagi




RAJA AZMI diiring polis ketika berjalan keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Penerbit filem, Raja Azmi Raja Sulaiman sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila dia ditangkap di rumahnya di Taman Ukay Perdana, Hulu Klang dekat sini ekoran gagal menghadirkan diri sebagai saksi ke mahkamah walaupun waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya kelmarin.

Raja Azmi, 52, ketika dihubungi memberitahu, ketika kejadian pukul 9.45 pagi itu, dia sedang tidur manakala tiga anak dan suaminya, bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek telah keluar.

Katanya, dia terkejut apabila empat anggota polis yang menaiki dua buah kereta peronda tiba di depan pintu pagar rumahnya sebelum memintanya keluar.

"Sebaik ternampak polis, saya memang dah agak yang mereka datang kerana waran tangkap yang dikeluarkan terhadap saya ekoran kes saman sivil di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"Saya kemudian terus dibawa ke Balai Polis Taman Melawati untuk diambil keterangan ringkas sebelum tiba di mahkamah pada pukul 12 tengah hari," ceritanya kepada Kosmo! semalam.

Tambahnya, dia berjanji akan cuba hadir pada perbicaraan kes tersebut pada 22 Julai depan kerana sudah serik dengan pelbagai kes yang melanda dirinya sehingga mencetuskan kontroversi.

Pada 19 Ogos tahun lalu, Raja Azmi terpaksa bermalam di lokap Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya atas kesalahan yang sama ketika dia hadir untuk membuat laporan berhubung satu khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan pada pukul 4.50 petang.

Kosmo! Online - Negara

Jimmy sanggup berkorban demi anak


IMBAS. Jimmy Shanley bersama Nursuhaila di majlis persandingan mereka di Kuala Lumpur Convention Centre pada 2 Oktober tahun lalu.


SHAH ALAM - Demi masa depan anak, pengacara, Jimmy Shanley Norjahan Saleh sanggup menjadi seorang bapa dan suami yang tidak bahagia apabila dia bercadang menarik balik kes perintah kembali taat terhadap isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy.

Jimmy, 31, membuat keputusan itu kerana tidak mahu anak sulungnya, Zahrah Shanley yang lahir pada 24 Jun lalu menjadi mangsa masalah rumah tangganya.

"Saya buat demi anak. Saya tidak kisah menjadi suami yang tidak bahagia asalkan boleh menjadi seorang bapa yang bahagia. Saya sedia berkorban," katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Sehubungan itu, dia mengambil pendekatan tunggu dan lihat apabila dimaklumkan isterinya, Nursuhaila, 25, bersedia untuk tinggal bersama selepas habis tempoh berpantang.

Terdahulu, peguam syarie yang mewakili Jimmy, Mohd. Noor Aizan Md. Idrus memohon mahkamah menangguhkan kes nusyuz dan kembali taat yang difailkan oleh anak guamnya kepada tarikh lain berikutan perkembangan terkini itu.

Kosmo! Online - Negara

Misteri imej Bigfoot berjalan



SEEKOR makhluk berbulu berjalan dekat sebatang pokok dekat tapak perkhemahan di Osawatomie, Kansas, Amerika Syarikat baru-baru ini.


OSAWATOMIE, Amerika Syarikat (AS) - Satu rakaman video disiarkan di laman YouTube menunjukkan seekor makhluk berbulu berjalan seperti manusia pada waktu siang, lapor lamanGhost Theory semalam.

Imej itu menunjukkan makhluk itu berjalan di belakang beberapa buah pokok dekat tapak perkhemahan di Osawatomie, Kansas, AS.

Makhluk itu menundukkan kepala semasa ia berjalan di belakang barisan pokok itu.

Tangan saksi yang merakamkan imej itu kemungkinan menggeletar kerana rakaman video tersebut kerap kali bergoyang-goyang.

Rakaman itu dibuat oleh salah seorang anggota satu keluarga yang terdiri daripada bapa, ibu dan anaknya.

Dalam rakaman berkenaan, suara si ibu berasa terkejut melihat makhluk tersebut manakala si anak bertanya apakah yang sedang dilihatnya itu.

Jika dilihat sekali imbas, ia seperti seorang manusia memakai kostum gorila atau Bigfoot.

Namun, kelibat Bigfoot juga pernah dilihat di negeri Kansas sebelum ini.

Imej makhluk berbulu itu disiarkan di laman Youtube sejak 11 Julai lalu. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Aksi perompak curi CCTV dirakamkan



WAJAH seorang perompak yang mencuri kamera litar tertutup (CCTV) dirakamkan CCTV yang dicurinya di sebuah pub di Bradford pada Ahad lalu.


BRADFORD, Britain - Seorang perompak yang mencuri empat kamera litar tertutup (CCTV) tidak menyedari wajahnya dirakamkan oleh CCTV yang dicurinya, lapor sebuah akhbar semalam.

Rakaman CCTV itu menunjukkan dia menggunakan pemutar skru untuk melarikan kamera berkenaan di sebuah pub yang tidak digunakan lagi di sini pada Ahad lalu.

Polis mengeluarkan wajah perompak itu yang sedang berusaha menanggalkan CCTV tersebut dengan menggunakan skru untuk dilihat orang ramai bagi tujuan mengesannya.

Ganjaran sebanyak £200 (RM968) ditawarkan kepada sesiapa yang berjaya memberikan maklumat.

Seorang peguam, Amjad Ali, 37, yang menjadi pemilik bangunan itu berkata: "Dia (perompak itu) amat rapat (dengan kamera CCTV) anda boleh mendengar dia bernafas." - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Peta penggunaan Flickr, Twitter dicipta


GAMBAR menunjukkan peta ciptaan Eric Fisher yang menunjukkan Eropah dan Amerika Utara mempunyai titik paling terang sekali gus menunjukkan penggunaan Twitter dan Flickr paling banyak di dunia. Titik cerah lain terdapat di Indonesia dan Jepun.


LONDON – Seorang lelaki Britain, Eric Fischer menghasilkan sebuah peta dunia yang memberi maklumat mengenai taburan penggunaan laman jaringan sosial, di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Peta berkenaan menggabungkan data daripada laman perkongsian foto, Flickr dan laman jaringan sosial Twitter yang digemari oleh ramai selebriti.
Titik merah pada peta berkenaan mewakili Flickr manakala titik biru adalah Twitter.
Dalam peta itu, titik putih di tengah peta berkenaan pula merupakan lokasi-lokasi yang menggunakan kedua-dua perkhidmatan Flickr dan Twitter.
Peta itu mendedahkan bahawa Twitter digunakan di serata bandar raya ini yang memiliki 8 juta penduduk manakala Flickr pula tertumpu di selatan Sungai Thames.
Selain bandar raya ini, Fischer turut mengaplikasi tekniknya untuk melakar peta serupa melibatkan kota-kota utama dunia termasuk New York, Barcelona dan Tokyo.
– Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Menteri Thai minta pesawat Putera Mahkota tak disita


PESAWAT Boeing 737 milik Putera Maha Vajiralongkorn disita di sebuah lapangan terbang di Munich, Jerman kelmarin.


BANGKOK - Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya semalam menyatakan beliau akan berlepas ke Jerman untuk cuba meyakinkan pihak berkuasa negara itu supaya membatalkan perintah mahkamah yang menyita sebuah pesawat Boeing 737 milik Putera Mahkota Thailand, Maha Vajiralongkorn.

Pesawat itu disita di sebuah lapangan terbang di Munich, Jerman.

Kasit berkata, beliau akan mengetuai satu delegasi yang terdiri daripada barisan diplomat dan peguam untuk memperbetulkan 'kesilapan besar' yang dibuat agensi kecairan Jerman kerana menyita pesawat tersebut.

Menurut menteri berkenaan, beliau akan berlepas ke ibu kota Jerman, Berlin hari ini.

Pesawat tersebut disita Perkhidmatan Kecairan Jerman kerana kerajaan Thailand didakwa gagal membayar hutang tertunggak berjumlah AS$43 juta (RM129 juta) milik sebuah firma pembinaan Jerman, Dywidag.

"Kami ingin menjelaskan bahawa kes ini tiada sebarang kaitan dengan Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn. Ia adalah satu kesilapan besar yang berpunca daripada maklumat palsu yang diberikan kepada sistem perundangan Jerman oleh plaintif," kata Kasit dalam satu sidang media di sini.

Dywidag yang membantu membina sebuah lebuh raya bertol sepanjang 26 kilometer menghubungkan bandar ini dan Lapangan Terbang Don Muang, bergabung dengan Walter Bau Ag pada 2001 sebelum firma itu diisytiharkan muflis. - Reuters

Kosmo! Online - Dunia

Thursday, July 14, 2011

KISAH BENAR: Catatan Seorang Peserta Cina: "Saya Rasa Selamat Bersama Orang PAS"

Seorang pakcik yang berkopiah menuju ke arah saya, "Di manakah stadium?" Saya menuding jari ke depan. Lantas beliau berjalan ke arah sana, tanpa sebarang keraguan. Saya merasakan diri saya amat tidak berguna pada ketika itu.

Mengapa tidak saya bertindak sebagaimana pakcik itu? Berarak adalah hak kita. Mengapa pula saya takut? Saya tetap berdiri di situ, menyaksikan bagaimana orang tua itu dihalang polis, dan kemudian beliau terus berjalan ke depan.

Kemudian saya berjalan, dan terserempak dengan seorang polis muda. Beliau bertanya untuk apa saya berada di situ, saya sekadar jawab, tak ada, cuma jalan-jalan.

Beliau menunjuk ke arah Jalan Sultan, mengarahkan saya beredar dari situ, atau saya akan ditangkap. Saya tahu beliau cuba menakutkan saya. Masih awal lagi, saya tidak mahu timbul hal, maka saya pun beredar.

Saya nampak sekumpulan orang di kedai KL Commercial Book Co., semacam orang PAS, maka saya berjalan menuju ke arah mereka. Pada hakikatnya, saya amat yakin dengan mereka. Saya rasa diri saya berselindung di dalam kelompok mereka pada ketika itu. Ya, saya rasa sangat selamat.

Pada kira-kira jam 12.20 tengah hari, kelompok di sini hanya kira-kira 20 orang. Tiba-tiba kami dengar jeritan orang, dan kami bergegas ke situ dan mendapati kira-kira 2,000 orang. Mereka muncul entah dari mana, sungguh ajaib! Tapi kami masih menganggap bilangan ini terlalu sedikit!

Pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya tak berapa ingat lagi. Kami nampak sekumpulan manusia menuju ke arah kami melalui Jalan Sultan, sambil melaungkan slogan. Bilangan mereka terlalu ramai berbanding kami. Ramai orang tua yang bertanya, PERKASA? Pemuda UMNO? Kami berdiri di situ dan memandang, gagal mendengar apakah yang dilaungkan.

Tiba-tiba, ada yang bertepuk tangan, berkata "Tengok, Cina ada, India ada, bukan PERKASA, bukan Pemuda UMNO, orang kita!" Kami bertepuk dengan gemuruh, berarak ke arah mereka untuk berkumpul bersama. Kami seolah-olah dapat membentuk pasukan kami, dan tidak lagi keseorangan atau kesepian.


"BERSIH! BERSIH! Hidup BERSIH!" Ribuan yang membanjiri Jalan Sultan. Orang berada di tengah dan di tepi jalan, warga tua dan warga muda. Maka kami terus berjalan, tidak memasuki jalan ke arah Stadium Merdeka. Saya sedar, bilangan kami masih tidak mencukupi. Kami menuju ke arah Pudu Raya, dan di situ telah dibanjiri lautan manusia yang lebih daripada 10 ribu.

Abang saya menghantar sms kepada saya, memberitahu bahawa pasukan di Hotel Hilton telah mula bertolak. Dengan serta-merta saya berkongsi maklumat ini dengan orang yang berada di sisi saya.

Kira-kira jam 1 tengah hari, kami nampak satu pasukan yang lebih besar, kemas sususannya berarak dari arah Hospital Tung Shin. Kemudian, muncul lagi satu pasukan dari Kota Raya. Tidak berhenti kami bertepuk tangan. Kami menjerit sepuas-puasnya. Saya nampak ramai yang menakung air di matanya. Saya amat terharu. Saya kini berada di tengah-tengah belasan, malah puluhan ribu orang. Saya tidak kesepian, kami tidak kesepian!

Terharu kerana dibantu orang yang saya tidak kenal langsung!

Kami berkumpul di depan Menara MayBank. Saya tak dengar apa yang diucap pemidato. Tapi saya hanya seorang penyokong. Saya hanya menyorak bersama kelompok manusia, bertepuk tangan apabila semua orang berbuat demikian.
Kemudian saya mendapati trak FRU. Seorang warga tua, mungkin dari PAS, memesan agar saya undur dahulu. Tidak lama kemudian, FRU melepaskan gas pemedih mata, dan meriam air kimia yang berwarna biru. Saya rasa macam tersengit. Baunya sangat tidak menyenangkan. Orang di sisi saya (sahabat dari kaum lain) menuangkan air ke atas kepala saya. Ada seorang yang menyapu minyak angin di bawah kelopak mata saya. Ada pula yang memberi garam kepada saya.

Saya teringat, air mata saya mengalir pada ketika itu bukan disebabkan gas pemedih mata, tetapi mengalir kerana terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh orang-orang yang saya tak kenal ini.

Pada ketika itu saya nampak polis, kononnya, menangkap orang ramai di depan Menara MayBank. Ramai yang memanjat ke atas di cerun pada mulanya, kemudian mereka melompat dari tembok yang tinggi. Saya sangat marah ketika itu, kerana saya nampak ramai wanita dan warga tua. Dan mereka yang kononnya polis itu dicemuh dalam hati saya, "Bukan manusia!"

Saya berehat seketika. Saya menjangkakan bahawa orang ramai akan menuju ke Jalan Sultan. Maka, saya berjalan dahulu ke arah sana. Apabila berdekatan dengan KFC, hujan mulan turun. Seorang peserta yang tua berkata kepada saya, "Komunis pun tak macam ini!" Saya tercengang seketika, gagal memberi apa-apa jawapan....

Matlamat sama..

Pada sebelah malam, saya dimaklumkan bahawa kawan dari kaum Melayu amat terharu dengan kehadiran kami. Mereka berkata, "Itu kebanggaan kami apabila kamu muncul bersama. Kamu duduk belakang sikit, biar kami yang hadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan di depan!"

Nota: Akhirnya saya sedar, mengapa saya berselindung dalam kelompok orang PAS. Mereka membuktikan dengan tindakan mereka, itu yang membuatkan saya terharu dan berasa selamat. Lain kali, saya tetap akan bersama mereka, berada di garis depan, untuk menghadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan.

Terima kasih, sahabat semua. Walaupun kita tidak berkenalan, tapi matlamat kita sama. Dan ini hanya boleh dirasai mereka yang hadir dalam perhimpunan.


Saya menyeru agar lebih ramai bangkit dari tidur, dan mereka yang sudah sedar, biarlah bertindak. -MerdekaReviewAjijoi

Tukang masak tetak pelanggan enggan jamah makanan

SEREMBAN 13 Julai - Gara-gara terlalu marah terhadap pelanggannya yang enggan makan makanan dimasak setelah memesannya, seorang tukang masak menetak mangsa di sebuah restoran dekat Temiang di sini kelmarin.

Berikutan insiden yang berlaku pukul 9.25 malam itu, mangsa berusia 39 tahun cedera di tangan kanannya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, ia bermula apabila mangsa yang dipercayai mabuk pergi ke restoran berkenaan lalu memesan satu hidangan.

"Tukang masak itu yang berusia 36 tahun lalu memasak makanan tersebut. Bagaimanapun, apabila makanan yang dipesan sampai, mangsa enggan makan hingga berlakunya pertengkaran.

"Berang dengan mangsa, tukang masak itu mengeluarkan sebilah pisau lalu menetak tangan kanan lelaki itu sehingga cedera," katanya di sini hari ini.

Saiful memberitahu, orang ramai yang melihat kejadian itu menghubungi pihak polis bagi meleraikan pergaduhan antara mereka.

"Beberapa anggota polis yang tiba di tempat kejadian menahan tukang masak itu dan mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk rawatan," katanya sambil memberitahu keadaan mangsa kini dilaporkan stabil.

Menurutnya, tukang masak itu ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Konsortium bekalan gas ke Israel tuntut ganti rugi

BAITULMAQDIS 13 Julai - Pemegang saham sebuah konsortium tenaga di Kaherah yang membekalkan gas asli ke Israel akan menuntut ganti rugi sebanyak AS$8 bilion (RM24 bilion) dari kerajaan Mesir berikutan kejadian letupan berulang kali yang menganggu aliran gas di rantau itu.

Menurut mereka, empat serangan letupan sejak Februari lalu telah menghentikan penyaluran gas ke Israel serta menyebabkan hanya 30 hingga 40 peratus gas dapat disalurkan berbanding kapasiti sebenar saluran paip.

Selepas serangan terbaru kelmarin, Kabinet Israel memberi amaran kejadian itu mungkin menjejaskan hubungan dengan Mesir.

Urus janji gas Mesir-Israel dikritik hebat pemimpin-pemimpin pemberontakan yang menyingkirkan Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada Februari lalu.

Mereka mendakwa Israel membayar harga yang rendah untuk pembekalan gas, sementara kroni Mubarak mengaut berjuta-juta dolar keuntungan dari urus janji tersebut.

Seorang ahli lembaga East Mediterranean Gas Co., Nimrod Novik berkata, pemegang saham bimbang dengan serangan 'pengganas yang berterusan' sehingga menjejaskan penyaluran gas.

Katanya, letupan itu mengakibatkan kerugian dan masalah serius kepada pasaran tenaga Israel selain menjejaskan reputasi Mesir sebagai pembekal yang boleh dipercayai.

"Mengambil kira keadaan ini yang tidak lagi memberikan jaminan kepada penyaluran gas, pemegang saham tidak mempunyai alternatif lain selain mendapatkan perlindungan berhubung penyelesaian tuntutan dari mahkamah antarabangsa di Washington D.C," katanya. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Penduduk desak tentera Mesir berundur

KAHERAH 13 Julai - Beribu-ribu rakyat Mesir berarak di pusat bandar di sini semalam bagi mendesak Majlis Angkatan Bersenjata Mesir diundurkan.

Perarakan tersebut, saki baki daripada pemberontakan yang menyaksikan penggulingan bekas Presiden Hosni Mubarak pada 11 Februari lalu, diadakan ekoran majlis tersebut memberi amaran bahawa akan menggunakan semua tindakan undang-undang untuk menamatkan demonstrasi di Dataran Tahrir.

Dalam pada itu, sumber tentera hari ini berkata, pilihan raya Parlimen Mesir hanya akan diadakan November ini, lewat dua bulan daripada tarikh yang dicadangkan sebelum ini.

Sumber itu berkata, pendaftaran calon-calon akan bermula pada September ini, yang menunjukkan kerajaan tentera melaksanakan komitmennya untuk menyerahkan kuasa kepada rakyat.

''Prosedur untuk melangsungkan pilihan raya Parlimen akan bermula pertengahan September, Ia akan melibatkan pendaftaran calon-calon, kemudian waktu berkempen. Ini akan memakan masa melebihi September,'' kata sumber itu kepada Reuters.

Penunjuk perasaan melaungkan ''Pemerintah tentera perlu digulingkan' ketika berarak dari Dataran Tahrir ke arah pejabat Perdana Menteri.

Mereka turut melaungkan 'Rakyat mahu ketua pemerintah tentera diundurkan,'' merujuk kepada pemimpin majlis tersebut, Mohammed Hussein Tantawi yang merupakan Menteri Pertahanan di bawah Mubarak selama dua dekad.

Tunjuk perasaan yang bermula sejak Jumaat lalu semakin meningkat ekoran demonstrasi besar-besaran terhadap peningkatan harga barangan, kemiskinan, pengangguran dan pemerintahan autoritarian.

Mereka marah kelambatan untuk membicarakan Mubarak dan pegawai rejim yang didakwa menerima rasuah.

Penunjuk perasaan juga mahukan perubahan dilaksanakan di negara itu dengan segera.

Demonstrasi juga diadakan di Iskandariah dan Suez.

Mubarak yang kini ditahan di sebuah hospital di Sharm el-Sheikh dijangka dibicarakan atas dakwaan lebih 840 penunjuk perasaan ketika pemberontakan rakyat pada 3 Ogos lalu.

Perdana Menteri, Essam Sharaf cuba mengurangkan ketegangan dengan menjanjikan rombakan Kabinet dan mengarahkan perubahan dalam Kementerian Dalam Negeri namun ditolak penunjuk perasaan. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Keganasan di Iraq: Kanak-kanak mangsa paling ramai

BAGHDAD 13 Julai - Kira-kira 900 kanak-kanak terbunuh manakala 3,200 lagi cedera dalam keganasan di Iraq antara 2008 dan 2010, lapor Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sempena ‘Hari Kanak-kanak Iraq’, hari ini.

Memetik laporan kerajaan, bagi jumlah kanak-kanak yang menjadi mangsa , seramai 376 orang kanak-kanak terbunuh dan 1,594 lagi cedera pada tahun 2008, manakala 362 meninggal dunia dan 1044 cedera pada tahun sebelumnya.

Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2010, seramai 134 kanak-kanak meninggal dunia dalam keganasan dan 590 lagi cedera, kata laporan itu. - AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini

30 termasuk pelakon dan penulis Syria ditahan

BEIRUT 13 Julai - Pasukan keselamatan Syria menahan sekurang-kurangnya 30 orang, termasuk pelakon dan penulis semasa bantahan pro-demokrasi di Damsyik, hari ini.

Menurut Ketua Pemantau bagi Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman, para intelektual negara itu menganjurkan demonstrasi ini bagi mengakhiri tindakan keras pihak keselamatan dan pembebasan tahanan.

"Para penunjuk perasaan itu berkumpul di pusat bandar Midan ketika pasukan keselamatan tiba dan menangkap 30 orang daripada mereka. Bilangan penunjuk perasaan juga semakin bertambah”, katanya. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Terkini

Ramadan tak jejas misi Nato

BRUSSEL: Nato akan terus membedil Libya untuk memaksa pemimpin negara itu Muammar Gadaffi berhenti mengancam nyawa rakyatnya, walaupun ketika umat Islam di dunia berpuasa di bulan Ramadan.

“Kami akan mengambil langkah tunggu dan lihat. Kami akan bertindak sekiranya tentera Gadaffi terus mengancam nyawa orang awam,” kata Komander Udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) Mike Bracken ketika ditanya sama ada mereka akan teruskan operasi membedil Libya walaupun di bulan Ramadan, yang akan disambut bulan depan.

Pihak Nato masih berharap satu penyelesaian pragmatik dapat dicapai secepat mungkin.

Jurucakap Nato, Oana Lungescu berkata Negara-Negara Perikatan mahu tentera Gadaffi menghentikan serangan mereka, bukan saja di dalam bulan Ramadan tetapi dengan serta merta dan mahu melihat ada kemajuan dari mesyuarat yang diadakan dengan Kumpulan Perhubungan di Istanbul, Jumaat lepas.


“Mesti ada penyelesaian politik untuk konflik ini. Lebih cepat, lebih baik.”


“Kumpulan Perhubungan dapat memberi sumbangan yang penting untuk mendapatkan penyelesaian politik yang dapat memenuhi aspirasi rakyat Libya,” kat Lungescu.

Setiausaha agung NATO, Anders Fogh Rasmussen yang akan menghadiri mesyuarat bersama dengan menteri-menteri luar dari Barat, Kerajaan Arab dan ketua pemimpin Penentang Libya, berharap mereka akan dapat memberi idea untuk mencapai penyelesaian yang pragmatik.

Minggu lepas Timbalan Menteri Luar Libya, Khaled Karim berkata penyelesaian kepada konflik di negara itu mesti dicapai sebelum bulan Ramadan bermula. Manakala, Menteri Luar Turki Ahmet Davutoglu berharap satu kerangka untuk penyelesaian dapat dicari.

Kelmarin, Menteri Luar Perancis Alain Juppe berkata, satu perbincangan besar akan dibuat untuk menyelesaikan krisis ini dan menurut “wakil” mereka, ketua pemerintah Libya itu sudah bersedia untuk melepaskan kuasanya. - AP

myMetro | Ramadan tak jejas misi Nato

Khalwat dengan kakak ipar

ALOR SETAR: Helah seorang lelaki konon dia bersama isterinya menyewa bilik sebuah motel di Jalan Suka Menanti, di sini, bagi mengelak dicekup berkhalwat tidak menjadi apabila wanita itu sebenarnya adalah kakak iparnya.

Lelaki berusia 30 tahun itu mulanya memberi alasan mereka mempunyai surat nikah, namun selepas siasatan terhadap wanita berusia 32 tahun itu mendapati kenyataan mereka bercanggah dan cuba menipu anggota penguat kuasa.


Dalam serbuan jam 4.45 petang kelmarin, sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) menyerbu premis berkenaan selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan maksiat yang berlaku.

Lelaki berasal dari Myanmar dan beragama Islam itu memberi alasan membawa wanita itu menyewa bilik itu hanya untuk mandi sebelum pergi melawat isterinya yang baru melahirkan bayi lelaki di Hospital Jitra (HJ).


Pegawai Penguat kuasa Jaik, Mohd Khairil Naim Johari berkata, sepasukan anggota Jaik yang tiba di motel itu kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati sebuah bilik di tingkat bawah motel itu berkunci daripada dalam.


Beliau berkata, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang hanya bertuala membuka pintu kira-kira 10 minit kemudian dan terkejut melihat kehadiran anggota penguat kuasa di luar bilik disewanya.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita yang menyorok dalam bilik dan tergesa-gesa memakai pakaian dalam keadaan ketakutan.


“Hasil soal siasat, wanita itu mendakwa dibawa lelaki berkenaan ke motel itu untuk melihat adik perempuannya yang juga isteri lelaki itu yang baru melahirkan anak manakala lelaki itu memberi alasan wanita itu sebagai isterinya,” katanya.

myMetro | Khalwat dengan kakak ipar