Pages

Tuesday, June 7, 2011

Geldof benci wanita selepas ditinggal isteri



BOB GELDOF


LONDON - Penyanyi terkenal, Sir Bob Geldof mengaku membenci wanita selepas dia ditinggalkan isterinya, Paula Yates yang menjalin hubungan dengan penyanyi rock Australia, Michael Hutchence pada tahun 1995, lapor sebuah akhbar semalam.

"Isteri saya meninggalkan saya, saya kemudian menceraikan isteri. Hidup saya musnah akibat perpisahan tersebut.

"Saya tidak dapat menerima hakikat kehilangan (perpisahan) besar itu. Kepala saya menjadi berserabut. Saya sukar menemui penyelesaian terhadap masalah tersebut.

"Saya menganggap peristiwa ditinggalkan isteri cukup berat. Saya membenci wanita. Saya tidak mempercayai golongan ini lagi. Saya juga enggan berada dekat dengan mereka," jelasnya yang kini popular dengan lagu baharu, Silly Pretty Thing.

Geldof yang berusia 59 tahun itu mengejutkan peminat apabila dia membuat pengakuan mengenai kisah peribadinya sempena Festival Hay di sini baru-baru ini.

Yates yang merupakan pengacara televisyen meninggal dunia pada tahun 2000 akibat pengambilan dadah berlebihan.

Namun, dia juga mendedahkan bahawa aktres Perancis, Jeanne Marine berjaya mengubah perasaan bencinya terhadap wanita selepas mereka bertemu dan menjalin hubungan cinta.

Geldof dan Marine hidup sebagai pasangan sejak 15 tahun lalu. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Tauge bebas bakteria E. coli


HAMBURG - Ujian awal menunjukkan tauge yang ditanam di negeri Lower Saxony, utara Jerman bebas daripada bakteria pembawa maut E. coli, kata beberapa pegawai semalam.

Ujian itu dilakukan berdasarkan 23 daripada 40 sampel tauge menunjukkan ia bebas daripada bakteria penyebab 22 kematian.

"Siasatan masih berjalan," kata Kementerian Pertanian di negeri itu.

Sebelum ini, pihak berkuasa Jerman mengesyaki tauge tempatan mungkin punca penularan bakteria E. coli yang menyebabkan 22 orang terbunuh dan lebih 2,200 lagi sakit di Eropah.

Kementerian Pertanian di negeri Lower Saxony di utara Jerman telah mengeluarkan amaran meminta orang ramai tidak memakan tauge.

Menurut jurucakap kementerian itu, Gert Hahne, tauge itu kerap dimakan bersama salad.

"Taugeh telah dikenal pasti sebagai produk yang mungkin menyebabkan wabak itu.

"Kebanyakan restoran yang 'menderita' akibat wabak E. coli memesan tauge-tauge," katanya.

Menurutnya, tauge itu ditanam di sebuah ladang di Lower Saxony di utara Jerman.

Saintis-saintis di Jerman kini kebingungan selepas mereka gagal menemui punca penyebaran bakteria E. coli yang membawa maut itu. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Lelaki menyamar wanita untuk berkahwin didakwa



RAHMAT SULISTYO (kiri) yang menyamar sebagai wanita berkahwin dengan Muhammad Umar di Kampung Bojongsari, Indonesia pada 19 September 2010.


BEKASI - Seorang lelaki, Rahmat Sulistyo yang menyamar sebagai wanita dan berkahwin dengan lelaki lain didakwa di sebuah mahkamah semalam, lapor akhbar dalam talian Kompas.com semalam.

Dia didakwa menggunakan identiti palsu dan menyamar sebagai wanita bernama Friska Anatasya Oktaviany semasa berkahwin dengan seorang lelaki, Muhammad Umar pada tahun lalu.

Lelaki itu berkahwin dengan Muhammad di rumahnya di Kampung Bojongsari, Kelurahan Jatisari, Kecamatan Jatiasih, Kota Bekasi pada 19 September 2010 selepas mereka berkenalan menerusi Facebook.

Dalam pendakwaan semalam yang merupakan hari pertama perbicaraan, Rahmat didakwa memalsukan keterangan dalam dokumen pernikahan dan menggunakan dokumen palsu.

Jika disabitkan kesalahan, dia akan dihukum penjara tujuh tahun.

Semasa pernikahan itu, penghulu di kampung tersebut tidak mengetahui bahawa Rahmat menyamar sebagai seorang wanita.

Identiti sebenar Rahmat terbongkar enam bulan selepas dia bernikah setelah suaminya memeriksa tubuh 'isterinya' itu ekoran rungutan jiran-jiran mereka bahawa kelakuannya seperti lelaki. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Jet Britain serang ibu pejabat agensi perisikan Libya


SEORANG warga Libya menunjukkan kepada pemberita kanak-kanak perempuan yang tercedera ketika serangan udara NATO ke atas Tripoli pagi tadi. Roket yang disasarkan ke atas kem tentera turut memusnahkan beberapa rumah awam berdekatan. - Foto AP



TRIPOLI - Serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyasarkan ibu pejabat agensi perisikan tentera Libya semalam, kata seorang pegawai tentera Britain, Mejar Jeneral Nick Pope di London.
Menurutnya, jet-jet Tentera Diraja Britain yang menyertai serangan NATO itu melakukan serangan pada awal semalam.
Seorang pegawai di Kementerian Penerangan Libya di sini menyatakan, jet-jet pejuang NATO turut melakukan serangan ke atas pejabat penyiaran kelmarin.
Kerosakan turut dilihat oleh seorang wartawan agensi berita AFP di bangunan Parlimen Libya selepas serangan berkenaan.
Pergolakan di Libya berlaku sejak 15 Februari lalu selepas para penunjuk perasaan menuntut lebih banyak kebebasan hak asasi dan pengunduran Muammar Gaddafi sebagai pemimpin yang sudah memerintah sejak 1969.
Pihak NATO kemudian campur tangan dengan melancarkan serangan bagi menguatkuasakan zon larangan terbang di negara tersebut selepas mendapat mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
- Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Straus-Kahn diejek di mahkamah



SEKUMPULAN penunjuk perasaan berhimpun di luar Mahkamah Tinggi New York ketika menunggu ketibaan Dominique Strauss-Kahn semalam.


NEW YORK - Ketibaan bekas ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn, 62, disambut dengan cemuhan apabila dia dicemuh hampir 100 wanita yang berpakaian seperti pembantu rumah di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Laungan penunjuk perasaan yang kuat itu boleh didengari sehingga tingkat ke-13 bangunan tersebut semasa Straus-Kahn tiba untuk menghadapi perbicaraan melakukan serangan seksual ke atas seorang pekerja hotel di sini pada bulan lalu.

Strauss-Kahn yang keluar dari kenderaan utiliti sukan kelihatan memakai kot biru gelap dan bertali leher sebelum memasuki mahkamah dengan ditemani isterinya, Anne Sinclair yang tersenyum sambil memegang erat lengan suaminya.

Penunjuk perasaan itu merupakan anggota Kesatuan Pekerja Hotel New York turut membawa sepanduk yang tertera ayat: 'Kecederaan terhadap salah seorang daripada kami juga akan menyebabkan kecederaan kepada semua pekerja.'

Strauss-Kahn membuat pengakuan tidak bersalah atas dakwaan melakukan serangan seksual tersebut semalam di kamar mahkamah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh seorang kerani mahkamah.

"Tidak bersalah," kata bekas ketua IMF itu kepada kerani mahkamah itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan.

Seorang peguam bela Strauss-Kahn, Benjamin Brafman kemudian memberitahu pemberita: "Apabila wujud bukti, ia jelas menunjukkan tiada sebarang paksaan."

Perbicaraan seterusnya yang dikendalikan oleh Hakim Michael Obus di Mahkamah Tinggi New York akan berlangsung pada 18 Julai ini. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Monday, June 6, 2011

Gempar mata air misteri




TIAK - Penduduk setempat gempar dengan penemuan mata air misteri di Kampung Tiak yang dikatakan boleh menghilangkan beberapa penyakit.

Penduduk, Rokiah Paib, 73, berkata, penemuan mata air itu disedarinya beberapa hari lalu.

“Saya lihat beberapa helaian daun bergerak-gerak di atas permukaan tanah, kemudiannya pergi ke arah daun berkenaan dan menyedari terdapat mata air.

“Suami mengorek mata air berkenaan dan menjumpai syiling lama yang tertera tujuh perkataan Yasin dalam tulisan jawi,” katanya.

Menurutnya, keadaan bertambah pelik kerana tekanan mata air berkenaan akan menjadi rendah sekiranya syiling berkenaan tidak diletakkan di dalamnya.

“Kalau syiling ini diletakkan kembali dalam tempat asal, tekanan mata air akan menjadi kuat sehingga melimpah ke permukaan.

“Saya membuat saluran paip pada mata air berkenaan agar air dapat mengalir ke dalam baldi yang disediakan. Setakat ini, mata air tidak pernah kering mengeluarkan air,” katanya.

Dia berkata, ada beberapa pihak yang ingin membeli syiling berkenaan tapi enggan menjual walaupun ada yang menawarkan harga yang lumayan.

“Saya akan menyimpan syiling ini, kerana ia mempunyai keunikan tersendiri. Saya percaya apa yang berlaku adalah kerana keizinan dari-Nya. Perkara ini membuktikan kebesaran Allah SWT,” katanya kepada Sinar Harian.
SH

Hampir lemas sewaktu pulang




KUALA NERANG - “Pengalaman hampir lemas semasa mahu kembali ke Malaysia kira-kira jam 4 pagi pada 4 Jun lalu pasti menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan,” kata Zarina Abu Bakar, 30, wanita yang ke Lombok, Indonesia selepas mengikuti teman lelakinya yang dikenali sebagai Helmi kira-kira dua tahun lalu.

Mengimbas kembali kejadian berkenaan, Zarina yang tidak pandai berenang berkata, dia dan beberapa orang lain yang mahu memasuki sempadan Malaysia melalui Ulu Tiram, Johor diarahkan terjun ke dalam laut kerana bot yang membawa mereka tidak menghampiri pesisiran pantai.

Menurutnya, sebaik sahaja terjun, dia tidak ingat apa-apa dan dimaklumkan oleh tekong bot bahawa dia pengsan.

“Nyawa saya masih panjang dan bersyukur kerana telah diselamatkan oleh tekong bot berkenaan dan saya mula sedar dari pengsan kira-kira jam 6 pagi.

“Kemudian dengan bantuan orang-orang tekong bot itu, saya telah dibawa untuk membeli tiket bas ke Kuala Lumpur kerana ibu saya, Maryam Kasim, 49, sudah menanti di sana,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kuala Pai, Kuala Nerang.

Kisah Zarina sebelum ini mendapat liputan media cetak dan elektronik yang luas selepas dia merayu dan memohon bantuan untuk kembali ke negara ini selepas pergi ke Lombok pada September 2009.

Dia yang juga seorang ibu tunggal kepada tiga orang anak berusia 6, 7 dan 10 tahun pergi ke sana selepas teman lelakinya yang dikenali Helmi, 29, berjanji akan mengahwininya.

Menurutnya, pada awal perkenalan, dia terus jatuh hati kepada jejaka berkenaan yang mengambil berat akan dirinya.

“Pada awal berkenalan, sekiranya sehari tidak bertemu saya akan teringat-ingat kepadanya, setiap yang diperkatakan dan diminta olehnya langsung tidak dibantah.

“Saya pun tidak tahu mengapa saya tidak sabar-sabar mengikutinya pulang ke Lombok selain mendapat pelawaan dari pada ibu Helmi untuk pergi ke sana,” katanya.

Dia mengakui semasa di dalam perjalanan menuju ke sana melalui Ulu Tiram, ingatannya kepada ibu bapa dan juga anak-anak di Kedah seolah-olah tidak ada dan hanya memikirkan untuk ke Lombok saja.

“Saya seolah-olah dipukau tetapi pada waktu yang sama rasa sangat bahagia,” katanya.

Namun, selepas lima bulan menetap di Desa Jeruk Mani, Dusun Jawa Guar, Kacamantan Timur, barulah rasa rindu kepada kampung halamannya di Malaysia kembali berbunga.

Menurutnya, dia mendakwa selepas lima bulan menetap di sana, layanan ibu Helmi kepadanya semakin dingin.

“Selain menetap di rumah yang tidak mempunyai kemudahan elektrik dan air, kadang-kadang makanan tidak cukup dan perlu bergantung kepada roti sahaja, makanan yang sering saya jamah ialah ubi kayu, ubi keladi dan pucuk paku-pakis.

“Saya pun tidak tahu mengapa ibu Helmi bersifat dingin dan sering memarahi dan memukul saya, sifat ramah mesra seperti saya dengar di dalam telefon sebelum ini sudah tidak ada,” katanya.

Tambahnya, dia juga terpaksa pergi bekerja mengambil upah menanam padi dengan upah sebanyak RM2.50 sehari.

“Setiap hari saya memikirkan untuk pulang sahaja, selain hidup umpama pelarian di sana,” katanya yang mendapat bantuan suaminya untuk mendapatkan kad pengenalan palsu di sana dengan harga RM80.

Bagaimanapun, impiannya berkecai apabila Helmi membatalkan hasrat untuk berkahwin dengannya selepas dia melahirkan seorang anak perempuan hasil hubungan sulit dengan lelaki berkenaan kira-kira lima bulan yang lalu.

“Biarlah kisah perjalanan hidup saya ini menjadi iktibar dan pengajaran kepada wanita di negara ini supaya ia tidak akan berulang lagi.

“Kepulangan saya ke negara ini juga turut dibantu oleh Helmi selepas melihat saya sudah nekad untuk pulang ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Maryam ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana masih lagi dapat memeluk anak sulungnya itu.

“Setiap hari saya berdoa kepada Allah SWT, akhirnya doa saya dimakbulkan, saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang banyak memberi dorongan kepada keluarga kami,” katanya.

Tambahnya, dia mendapat bantuan daripada adik angkatnya dari Kubor Panjang, Pendang, Kedah untuk membantu membawa pulang Zarina.

Kepulangan Zarina mendapat perhatian Ketua Pemuda UMNO Kedah merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap, Badrol Hisham Hashim; Pengerusi Majlis Belia Daerah Padang Terap, Ismail Ibrahim dan Ketua Biro Remaja Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) Sharmila Ibrahim yang melawatnya.
SH

Militan paling dikehendaki di Pakistan dipercayai mati akibat serangan Amerika

ISLAMABAD: Pihak berkuasa Pakistan hampir pasti satu serangan misil Amerika Syarikat baru-baru ini telah membunuh salah seorang daripada pemimpin Al-Qaeda yang paling dikehendaki. Namun, kurangnya bukti dalam bentuk mayatnya menimbulkan keraguan, kata seorang pegawai keselamatan semalam.

Serangan misil terhadap Ilyas Kashmiri dilakukan sebulan selepas tentera Amerika menyerbu kediaman ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden, dan membunuhnya.Kematian Osama itu diikuti satu gelombang keganasan kumpulan militan di Pakistan, termasuk satu letupan bom awal semalam yang membunuh enam orang di barat laut negara itu.Para pegawai Amerika menyifatkan Kashmiri sebagai ketua operasi ketenteraan Al-Qaeda di Pakistan, dan dia berada dalam senarai lima militan yang paling dikehendaki di Pakistan.Anggota kumpulan militan yang berusia 47 tahun itu disyaki terbabit dalam serangan-serangan di Mumbai, India, pada 2008, serta turut didakwa membunuh ramai rakyat Pakistan.Dia juga menjadi suspek dalam membantu beberapa rancangan menyerang sasaran-sasaran Barat dan dinamakan sebagai defenden dalam kes mahkamah di Amerika berhubung rancangan menyerang akhbar Denmark yang menerbitkan karikatur Nabi Muhammad.Tidak jelas bagaimana Kashmiri dapat dijejaki. Namun, Pakistan dan Amerika baru-baru ini bersetuju menjadikannya sasaran bersama, di samping beberapa pemimpin militan lain.Ini sebagai sebahagian daripada langkah membaiki hubungan tegang kededua negara berikutan serangan tentera khas Amerika ke atas kediaman Osama di Pakistan pada 2 Mei lalu, kata para pegawai.Seorang pegawai keselamatan Pakistan semalam berkata laporan-laporan hujung minggu mengenai kematian Kashmiri adalah '95 peratus sah' kerana pihak berkuasa telah mengesahkannya dengan beberapa sumber.Pihak berkuasa tidak dijangkakan menemui mayatnya untuk mengesahkannya 100 peratus kerana pihak militan biasanya mengebumikan jenazah rakan-rakan mereka dengan segera.Bukti gambar atau sampel DNA mungkin membantu tetapi mengesahkan siapa yang mati dalam serangan udara itu umumnya agak sukar. Ini kerana laporan awal mengenai kematian Kashmiri pada September 2009 ternyata salah. -- AP.Cyberita Online Luar Negara

Saat Penjaga Arasy Lupa Dengan Bacaan Tasbih dan Tahmidnya


http://kisahislami.com/wp-content/uploads/2011/02/alquran_photobucket_200_2001.jpg
Suatu hari Rasulullah Muhammad SAW sedang tawaf di Kakbah, baginda mendengar seseorang di hadapannya bertawaf sambil berzikir: “Ya Karim! Ya Karim!”
Rasulullah SAW meniru zikirnya “Ya Karim! Ya Karim!”
Orang itu berhenti di satu sudut Kakbah dan menyebutnya lagi “Ya Karim! Ya Karim!” Rasulullah yang berada di belakangnya menyebutnya lagi “Ya Karim! Ya Karim!”
Orang itu berasa dirinya di perolok-olokkan, lalu menoleh ke belakang dan dilihatnya seorang lelaki yang sangat tampan dan gagah yang belum pernah di lihatnya.
Orang itu berkata, “Wahai orang tampan, apakah engkau sengaja mengejek-ngejekku, karena aku ini orang badui? Kalaulah bukan karena ketampanan dan kegagahanmu akan kulaporkan kepada kekasihku, Muhammad Rasulullah.”
Mendengar kata-kata orang badwi itu, Rasulullah SAW tersenyum lalu berkata: “Tidakkah engkau mengenali Nabimu, wahai orang Arab?”
“Belum,” jawab orang itu.
“Jadi bagaimana kamu beriman kepadanya?” tanya Rasulullah SAW.
“Saya percaya dengan mantap atas kenabiannya, sekalipun saya belum pernah melihatnya, dan membenarkan perutusannya walaupun saya belum pernah bertemu dengannya,” jawab orang Arab badui itu.
Rasulullah SAW pun berkata kepadanya: “Wahai orang Arab, ketahuilah aku inilah Nabimu di dunia dan penolongmu nanti di akhirat.”
Melihat Nabi di hadapannya, dia tercengang, seperti tidak percaya kepada dirinya lalu berkata, “Tuan ini Nabi Muhammad?” “Ya,” jawab Nabi SAW.
Dengan segera orang itu tunduk dan mencium kedua kaki Rasulullah SAW.
Melihat hal itu Rasulullah SAW menarik tubuh orang Arab badui itu seraya berkata, “Wahai orang Arab, janganlah berbuat seperti itu. Perbuatan seperti itu biasanya dilakukan oleh seorang hamba sahaya kepada tuannya. Ketahuilah, Allah mengutus aku bukan untuk menjadi seorang yang takabur, yang minta dihormati atau diagungkan, tetapi demi membawa berita gembira bagi orang yang beriman dan membawa berita menakutkan bagi yang mengingkarinya.”
Ketika itulah turun Malaikat Jibril untuk membawa berita dari langit, lalu berkata, “Ya Muhammad, Tuhan As-Salam menyampaikan salam kepadamu dan berfirman: “Katakan kepada orang Arab itu, agar tidak terpesona dengan belas kasih Allah. Ketahuilah bahwa Allah akan menghisabnya di Hari Mahsyar nanti, akan menimbang semua amalannya, baik yang kecil maupun yang besar.”
Setelah menyampaikan berita itu, Jibril kemudian pergi. Orang Arab itu pula berkata, “Demi keagungan serta kemuliaan Allah, jika Allah akan membuat perhitungan atas amalan hamba, maka hamba pun akan membuat perhitungan denganNya.”
Orang Arab badui berkata lagi, “Jika Allah akan memperhitungkan dosa-dosa hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa kebesaran magfirahNya. Jika Dia memperhitungkan kemaksiatan hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa luasnya pengampunanNya. Jika Dia memperhitungkan kebakhilan hamba, maka hamba akan memperhitungkan pula betapa dermawanNya.”
Mendengar ucapan orang Arab badui itu, maka Rasulullah SAW pun menangis mengingatkan betapa benarnya kata-kata orang Arab badui itu sehingga air mata meleleh membasahi janggutnya.
Lantaran itu Malaikat Jibril turun lagi seraya berkata, “Ya Muhammad, Tuhan As-Salam menyampaikan salam kepadamu dan berfirman: “Berhentilah engkau daripada menangis, sesungguhnya karena tangisanmu, penjaga Arasy lupa bacaan tasbih dan tahmidnya, sehingga ia bergoncang. Sekarang katakan kepada temanmu itu, bahwa Allah tidak akan menghisab dirinya, juga tidak akan menghitung kemaksiatannya. Allah sudah mengampunkan semua kesalahannya dan akan menjadi temanmu di syurga nanti.”
Betapa sukanya orang Arab badui itu, apabila mendengar berita itu dan menangis karena tidak berdaya menahan rasa terharu.
Rujukan :
http://kisahislami.com/saat-penjaga-arasy-lupa-dengan-bacaan-tasbih-dan-tahmidnya/

Palestin setuju sidang damai dengan syarat


RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmud Abbas memberitahu Perancis, beliau bersedia untuk menghadiri sidang damai Paris sekiranya Israel menerima perbincangan berdasarkan sempadan 1967, semalam.
Penasihat politik Mahmud, Nimr Hammad, berkata presiden itu memberitahu Menteri Luar Perancis Alain Juppe bahawa beliau bersetuju dengan cadangan Perancis untuk menganjurkan sidang damai di Paris sebelum akhir bulan depan. Juppe mengutarakan kemungkinan sidang itu diadakan ketika melawat Israel dan Tebing Barat minggu lalu. “Presiden Mahmud memberitahu Juppe bahawa beliau secara rasmi bersetuju dengan inisiatif dilakukan Perancis untuk menganjurkan sidang damai antarabangsa di Paris,” kata Nimr.

Namun Mahmud menekankan penyertaannya berdasarkan sempadan sebelum Perang Enam Hari pada 1967 sebagai asas kepada perbincangan damai itu.
“Sebagai syarat perbincangan, Israel perlu menamatkan penjajahan ke atas bumi Palestin yang ditakluki sejak 1967 dan sempadan negara perlu ditentukan mengikut asas ini dengan pertukaran hak milik tanah yang dipersetujui oleh pihak Palestin dan Israel,” katanya. - AFP
myMetro | Palestin setuju sidang damai dengan syarat

Wanita berpakaian lelaki ditangkap di Masjid Nabawi


MADINAH: Polis di Masjid Nabawi menahan seorang wanita Saudi yang berpakaian lelaki selepas dia memasuki kawasan jemaah lelaki berhampiran makam Rasulullah (SAW).
Jurucakap polis, Fahd Al-Ghaman memberitahu akhbar Okaz, pegawai mengesyaki sesuatu tidak kena pada ‘lelaki’ itu kerana bentuk badannya. Dia kemudian ditahan ketika meninggalkan kawasan berkenaan sebelum diserahkan kepada polis.

Satu sumber berkata, penyiasat tidak yakin dengan dakwaan wanita itu bahawa dia hanya mahu melihat kawasan berkenaan.
“Wanita itu cuba melarikan diri apabila ditahan. Tetapi dia menyerah diri selepas lelaki yang ada bersamanya, berjaya ditangkap. Lelaki itu ialah suaminya,” kata seorang pengawal masjid berkenaan. - Agensi
myMetro | Wanita berpakaian lelaki ditangkap di Masjid Nabawi

Cedera dihempap batu nisan


TRENTON (New Jersey): Seorang wanita dikejarkan ke hospital selepas cedera akibat dihempap batu nisan ketika dia melakukan seks dengan teman lelakinya.
Polis berkata, wanita berusia 39 tahun itu bersama teman lelakinya berada di satu tanah perkuburan untuk melawat kubur seorang anggota keluarganya.

Mereka disyaki melakukan seks di tanah perkuburan itu selepas itu.
Bercakap kepada wartawan, penyiasat, Kapten James Stevens berkata: “Mungkin ada kegiatan luar biasa yang mereka lakukan di tanah perkuburan itu.” Wanita berkenaan bagaimanapun tidak cedera parah.

Pihak pengurusan tanah perkuburan berkata, mereka menanti laporan polis sebelum membuat sebarang pendakwaan. - Agensi
myMetro | Cedera dihempap batu nisan

Aktres pandu kereta ditahan


JEDDAH: Seorang pelakon wanita rancangan komedi televisyen Saudi, Wajnat Rahbini ditahan ketika dia memandu sebuah kereta di bandar raya ini, semalam.
Anggota Jabatan Trafik menahan Wajnat selepas menerima aduan daripada orang awam sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut. Arab Saudi melarang wanita memandu kereta, satu-satunya negara di dunia yang berbuat demikian.

Aktres itu bagaimanapun dibebaskan selepas memberi kenyataannya kepada penyiasat.
Wajnat memberitahu wartawan kemudian, dia belajar memandu daripada suaminya dan terpaksa memandu sendiri kerana pemandunya, warga asing, sudah pulang ke negara asal. - Agensi
myMetro | Aktres pandu kereta ditahan

Presiden pulang beberapa hari lagi


SANAA: Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh yang berlepas ke Arab Saudi semalam untuk menerima rawatan akibat cedera dalam serangan pemberontak kelmarin, akan kembali ke Yaman beberapa hari lagi.
“Presiden akan pulang beberapa hari lagi,” kata seorang pegawai parti pemerintah, Tareq al-Shami kepada Reuters.

Ali cedera dalam serangan roket ketika menunaikan solat Jumaat di masjid di istananya.
Dalam pada itu, sumber perubatan di Arab Saudi melaporkan, Ali menjalani pembedahan di dada untuk mengeluarkan serpihan peluru roket. - Reuters
myMetro | Presiden pulang beberapa hari lagi

Tiada tarikh akhir untuk serang Libya


LONDON: Setiausaha Luar Britain, William Hague berkata semalam, tidak ada tarikh akhir ditetapkan untuk operasi tentera Nato terhadap Libya.
Kenyataan itu dibuat ketika Russia menyuarakan kebimbangan mengenai penggunaan helikopter yang menurutnya menunjukkan serangan itu kian menjurus kepada serangan darat.

Ketika helikopter Apache tentera Britan melancarkan serangan terhadap tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi untuk malam kedua berturut-turut semalam, Hague mengakui misi yang dilancarkan sejak hampir tiga bulan lalu semakin meningkat. “Kami tidak menetapkan sebarang tarikh akhir. Tidak ada siapa tahu ia akan berlarutan selama beberapa hari lagi atau minggu atau bulan,” katanya dalam temuramah dengan stesen televisyen BBC.
“Jika kita berdiam diri saja, Gaddafi mungkin menggunakan kekerasan terhadap rakyat Libya, menyebabkan krisis kemanusiaan yang teruk dan pada masa sama mencetuskan huru -hara di Tunisia dan Mesir yang akan memberi kesan buruk kepada Eropah dan negara ini (Britain),” katanya.

Hague yang mengadakan perbincangan dengan pemimpin pemberontak Libya di Benghazi kelmarin juga menolak penghantaran tentera darat dengan berkata, Nato akan kekal pada syarat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mac lalu. Sementara itu, Menteri Pertahanan Russia, Sergei lavrov menyuarakan rasa kesalnya terhadap tindakan Nato menggunakan helikopter untuk menyerang Libya. - AP
myMetro | Tiada tarikh akhir untuk serang Libya

Nenek, 70, mula sekolah


JENIN: Seorang wanita Palestin berusia 70 tahun tidak merasa malu untuk duduk bersama dengan teman sekelasnya yang berusia lebih muda daripada cucunya di sebuah sekolah di Kampung Jaba, utara Tebing Barat.
Kedutan pada muka dan dengan tangan sentiasa terketar-ketar tidak menghalang Arifa Malaysha daripada meneruskan keinginan untuk belajar membaca dan menulis dari peringkat asas.

“Saya tidak bernasib baik kerana terlepas peluang untuk belajar ketika muda akibat kemiskinan. “Keinginan untuk bersekolah tidak pernah padam walaupun saya sudah tua.

“Saya ingin menghadiahkan diri saya dengan mendapatkan pelajaran walaupun terpaksa duduk bersama mereka yang lebih muda daripada cucu saya,” kata Arifa yang kini belajar di darjah satu.

Sebelum memasuki kelas secara rasmi, Arifa menghadiri pendidikan di sebuah sekolah untuk golongan buta huruf di kampungnya selama tiga tahun.


“Saya begitu gembira apabila sekolah itu dibuka di kampung kami. Ia membolehkan penduduk wanita belajar membaca dan menulis. “Kini saya yakin saya boleh membaca dan menuilis seperti golongan cerdik pandai lain,” kata wanita itu.

Menurutnya, sejak mula memasuki sekolah secara rasmi dua bulan lalu, dia sudah boleh membaca dan menulis dalam bahasa Arab di samping tahu mengira pada peringkat asas.

“Saya adalah wanita pertama dari kampung saya yang belajar di sekolah rasmi kerana saya sentiasa dahagakan pelajaran,” kata Arifa yang menyara kehidupannya dengan membuat botol tembikar.

Di rumah, katanya, dia akan belajar menulis dengan pensel di bawah cahaya lampu minyak tanah. Arifa berhasrat belajar mengenai sejarah Palestin supaya dia boleh menceritakannya kepada kanak-kanak di kampungnya. - Agensi
myMetro | Nenek, 70, mula sekolah

38 maut dalam pertempuran di Syria


NICOSIA 6 Jun – Kira-kira 38 orang termasuk enam anggota pasukan keselamatan Syria terbunuh dalam pertempuran sejak kelmarin di barat laut bandar Jisrash Shughur.
Menurut Ketua Balai Cerap Hak Asasi Manusia Syria yang berpengkalan di London, Rami Abdel Rahman, seramai 32 penduduk awam dan enam anggota keselamatan Syria maut dalam kejadian berbalas tembakan di Jisrash Shughur.
Jelasnya, angka kematian dijangka meningkat apabila pihak berkuasa Syria meneruskan operasi di barat laut wilayah Idlib. – AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

Tujuh maut perbalahan puak di Tunis


TUNIS 6 Jun – Kira-kira tujuh terbunuh manakala lebih 100 penduduk cedera dalam perbalahan antara dua puak di bandar Metlaoui, selatan Tunis, semalam.
Berikutan itu, pihak berkuasa tempatan terpaksa menempatkan lebih ramai anggotanya di Metlaoui bagi mengawal keadaan yang mula tegang pada petang Jumaat lalu.
Sementara itu, kejadian terbaru melibatkan seorang lelaki berusia 30-an ditikam sehingga mati, awal pagi semalam. – AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

Projek bernilai RM10 juta diurus dengan modal RM10


KERANA mabuk cinta, seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Datuk B sanggup menyalah guna kuasa sebagai pengerusi satu mesyuarat lembaga pengarah untuk memilih syarikat kontraktor bagi satu projek kerajaan negeri bernilai RM10 juta.
Datuk B yang diberi kuasa itu memilih syarikat milik gadis dikenali sebagai Suria yang ditubuhkan dengan modal RM10, malah tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang itu.
Jejak Rasuah dari fail Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu ini memaparkan kisah teladan kerana mabuk kuasa dan cinta sehingga sanggup melakukan penyelewengan dengan meluluskan projek kepada orang tertentu untuk kepentingan peribadi.
Kisah cinta antara Datuk B dan Suria bermula ketika syarikat terkemuka yang diurus usahawan tersebut menawarkan jawatan kosong sebagai setiausaha kepada pengarah syarikat.
Suria yang baru berusia 21 tahun dan memiliki paras menawan merupakan salah seorang yang menghadiri temuduga jawatan tersebut.
Kali pertama melihatnya melangkah masuk ke ruang temuduga pejabat, hati Datuk B terus terpaut dengan kecantikan wajah dan bentuk tubuh seksi Suria.
Walaupun tiada pengalaman kerja, latar belakang akademik yang tidak cemerlang serta gagal ketika sesi temuduga, jawatan itu tetap ditawarkan kepada Suria.
Suria yang berasal daripada keluarga miskin pula mudah dipancing dengan barangan berjenama mewah dihadiahkan Datuk B kepada gadis itu.
Pada suatu hari, Datuk B melantik Suria sebagai pengurus sebuah syarikat yang baru ditubuhkan dengan modal RM10.
Dalam pada itu, kerajaan negeri menawarkan tanah bagi projek membuat batu bata dengan syarat pemohon mestilah ada modal dan berpengalaman dalam bidang itu.
Sebaik saja tawaran dibuka, banyak pihak memohon projek itu tetapi ketika mesyuarat lembaga pengarah, Datuk B yang mempengerusikan mesyuarat memutuskan syarikat Suria dipilih mengendalikan projek itu.
Banyak pihak tidak berpuas hati cara keputusan dibuat sehingga ada yang membuat siasatan dan melaporkan kepada SPRM.
Keseronokan Datuk B dan Suria yang sedang berasmara di sebuah hotel pada suatu malam bukan sahaja berakhir dengan serbuan mengejut pihak Jabatan Agama Islam, malah dia juga didakwa SPRM keesokan harinya kerana kes penyelewengan kuasa.
Lebih malang, isteri Datuk B menuntut cerai selepas mengetahui berita itu, manakala tawaran projek itu telah ditarik balik.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Kurang tidur punca gemuk


BELANDA 5 Jun - Para saintis berkata, kanak-kanak yang kurang tidur lebih berisiko untuk menjadi gemuk.
Mengikut kajian terhadap 250 kanak-kanak, mereka yang tidak cukup tidur berisiko untuk menambah indeks jisim badan (BMI).
Kajian lepas menunjukkan kekurangan tidur menghalang badan dari menghasilkan kuantiti hormon yang mencukupi dan seterusnya memberi tekanan terhadap selera makan.
Kurang tidur akan meningkatkan selera makan selain menganggu kadar metabolisme serta mengubah tindak balas badan terhadap insulin, hormon yang dikaitkan dengan kebolehan badan untuk menyimpan lemak.
Menurut Profesor Taylor dan rakan-rakan sekerjanya dari Unit Nutrisi Manusia di Dunedin, New Zealand, mengurangkan masa tidur berkemungkinan akan meningkatkan selera makan seperti memakan makanan ringan kerana banyak masa yang terluang digunakan untuk aktiviti tersebut.
"Masalah tidur juga akan mempengaruhi pengeluaran tenaga, dan apabila berasa letih, kanak-kanak akan kurang melakukan senaman dan itu menyebabkan mereka makan dengan lebih kerap," kata Profesor Taylor.
Sementara itu, faktor lain seperti berat ketika lahir, tahap pendidikan ibu, pendapatan, BMI, tabiat merokok ketika hamil dan etnik turut direkodkan berkaitan dengan BMI kanak-kanak.
Berikutan itu, sekumpulan pengkaji mencadangkan tabiat tidur yang betul perlu didedahkan kepada semua peringkat umur kanak-kanak untuk tujuan kesihatan.
"Cadangan tersebut (tabiat tidur yang betul) secara tidak langsung menjadi titik permulaan kepada ibu bapa untuk berinteraksi dengan anak-anak mereka," kata kumpulan pengkaji tersebut. - Agensi
Utusan Malaysia Online - Luar Negara