Pages

Friday, November 13, 2015

Lelaki dipercayai paling tinggi di dunia meninggal dunia

Bangkok: Seorang lelaki yang dipercayai manusia paling tinggi di dunia meninggal dunia akibat komplikasi penyakit yang berpunca daripada kadar pertumbuhannya yang terlalu cepat.
Pornchai Saosri yang mempunyai ketinggian 2.69 meter meninggal dunia pada usia 26 tahun di kediaman keluarganya di kampung Ban Takaeo di wilayah Prasat, Thailand pada Isnin lalu.
Diberi nama timangan Oaf oleh keluarganya, dia baru-baru ini dimasukkan ke hospital dan hanya mampu berbaring kerana menghidap pelbagai penyakit.
Oaf dilaporkan sebagai lelaki paling tinggi di dunia, tetapi dia tidak pernah mendapat pengiktirafan rasmi kerana tidak mampu berdiri lurus dan ketinggiannya hanya diukur ketika duduk.
Lelaki paling tinggi di dunia yang dicatat dalam Rekod Dunia Guinness kini dipegang Sultan Kosen dari Turkey yang mempunyai ketinggian 2.51 meter.
Pornchai menderita penyakit darah tinggi dan meninggal dunia sejurus pulang dari hospital selepas dirawat selama seminggu.
Lelaki itu dijaga oleh ibunya, Woen Saosri, 56, dan bapanya, Saran, 60, dan anak saudara perempuannya yang berusia 15 tahun.
Woen dilaporkan menemui anaknya sudah tidak bernyawa ketika pulang ke rumah selepas mengambil upah mencuci pinggan.
Keluarga Pornchai sebelum ini pernah merayu orang ramai membantu membiayai kos perubatan lelaki itu.
Pornchai ketika itu berkata, dia mahu sebuah katil yang boleh digerakkan ke atas dan ke bawah seperti di hospital untuk memudahkan pergerakannya.
“Saya juga mahu mempunyai wang bagi membayar hutang ibu saya yang sudah tua ini,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 7:34 AM


PORNCHAI tidak mampu berdiri dan dijaga oleh ibu bapanya dan anak saudara perempuannya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92662#sthash.TW7kshmb.dpuf

Dakwa kapal karam British bawa 100,000 syiling emas




IMEJ fail bertarikh 29 April 2010 ini menunjukkan Collado di hadapan model kapal Lord Clive yang tenggelam pada tahun 1763


COLONIA DEL SACRAMENTO, Uruguay – Seorang pemburu harta karun kini berusaha mengeluarkan khazanah di dalam sebuah kapal perang British, Lord Clive yang tenggelam di perairan Uruguay lebih 250 tahun lalu.
Ruben Collado percaya kapal terbabit membawa 100,000 syiling emas ketika terkena bedilan meriam oleh tentera Sepanyol pada tahun 1763 apabila Britain dan Portugal cuba menawan bandar Colonia del Sacramento semasa Perang Tujuh Tahun.
Pengembara dari Argentina itu menghabiskan masa 14 tahun mencari bangkai kapal tersebut sebelum menemuinya secara tidak sengaja pada tahun 2004 selepas kipas botnya melanggar sebatang tiang yang tenggelam di muara Sungai Plate.
Selepas menunggu lebih 10 tahun untuk mendapatkan keizinan dengan pihak berkuasa Uruguay, Collado akhirnya bakal memenuhi impiannya untuk menarik bangkai kapal itu ke permukaan, membaiki kerosakannya dan membawanya ke pantai.
Collado berkata, dia percaya kapal itu membawa emas dan telah meyakinkan pelabur untuk membiayai usahanya menaikkan kapal terbabit.
"Saya seorang pemburu harta karun profesional. Jika kapal berkenaan tidak mempunyai apa-apa harta karun, pelabur tidak akan mempertaruhkan apa-apa wang," katanya.
Proses itu akan mengambil masa dua tahun untuk membersihkan batu-batu dan lumpur, menggerakkan kekisi logam besar di bawah kapal, membaiki dan menaikkannya sebelum dibawa ke pantai.
– AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3rK2zPDhZ 
Hakcipta terpelihara 

Gadis makan 22 biji 
burger dalam setengah jam


Zisser bersungguh-sungguh cuba menghabiskan kesemua 30 burger Big Macs bagi memecah rekod dunia yang dipegang Matt Stonie, namun gadis dari New Zealand ini gagal dalam percubaannya keeana hanya mampu menghabisakan 22 biji burger sahaja. AGENSI
LONDON 12 Nov. – Seorang gadis berasal dari New Zealand, mencipta ‘rekod’ tersendiri berjaya menghabiskan 22 biji burger BIG MACS dalam tempoh kurang dari satu jam dan menjadi viral di Internet, semalam, walaupun gagal dalam cubaannya untuk memecah rekod dunia yang dicatat sebelum ini.
Nela Zisser, 22, dari Auckland berjaya menghabiskan 12,000 kalori burger, seberat 4.5 kilogram yang menyamai berat seorang bayi, dalam masa yang singkat.
Portal berita Mirror Online melaporkan, cubaan gadis cantik itu memang menakjubkan.
Sebelum ini seorang lelaki Matt Stonie mencatat rekod dunia berjaya menghabiskan 25 biji burger McDonald dalam masa 22 minit.
Pada mulanya, Zisser membeli 30 biji burger McDonald dalam usahanya untuk memecah rekod dunia yang dicatat oleh Stonie.
Dalam usaha mencatat rekod dunia itu, Zisser terlebih dahulu minum segelas besar air Coke Zero dan air biasa bagi membantunya menghabiskan kesemua 30 biji burger tersebut, namun Zisseer mula memperlahankan kunyahannya lalu berhenti selepas menghabiskan burger ke-22.
Zisser terpaksa berhenti mengunyah dan tidak dapat menghabiskan baki lapan biji burger lagi yang dibelinya bagi memecah rekod yang dilakukan Stonie sebelum ini.
“Saya rasa itu merupakan makanan paling banyak yang saya pernah makan sepanjang hidup saya.
“Secara jujur saya kagum bagaimana Matt Stonie dapat melakukannya dengan menghabiskan 25 biji burger dalam 22 minit,” katanya.
“Namun, saya cukup gembira dapat menghabiskan 22 biji burger. Saya sangka hanya dapat menghabiskan antara 18 atau 19 burger sahaja,” tambah Zisser.
Menurut Zisser dia membelanjakan sebanyak AUS$180 (RM552) untuk membeli kesemua 30 burger itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gadis-makan-22-biji-8232-burger-dalam-setengah-jam-1.157667#sthash.gh7SvfYw.dpuf

Planet baharu sebesar bumi


LOS ANGELES 12 Nov. - Ahli astronomi, hari ini melaporkan mereka menemui sebuah planet baharu sebesar planet bumi yang terletak di luar sistem solar.
Planet GJ 1132b terletak kira-kira 39 tahun cahaya dari bumi dan merupakan planet bersaiz bumi paling dekat pernah ditemui. AGENSI
Laman web Bussines Insider melaporkan, planet yang dikenali sebagai GJ 1132b itu terletak kira-kira 39 tahun cahaya dari bumi dan merupakan planet bersaiz bumi paling dekat pernah ditemui.
Planet sebesar bumi yang paling dekat ditemui sebelum ini terletak kira-kira 57 tahun cahaya dari bumi.
“GJ 1132b boleh dikatakan planet yang paling penting yang pernah ditemui di luar sistem solar.
“Ini kerana jarak planet berkenaan yang dekat, cukup untuk pengkaji menggunakan teleskop menjalankan kajian dan memantau sebarang perubahan atmosfera,” kata ahli astronomi dari Universiti Maryland, Drake Deming.
Kini, ahli astronomi berusaha menjalankan kerja-ker­ja mengkaji atmosfera planet berkenaan dalam usaha mencari hidupan di dalam­nya.
Kajian turut akan menjurus kepada ujian aliran cahaya ke dalam planet berkenaan termasuk komposisi gasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/planet-baharu-sebesar-bumi-1.157669#sthash.rnEfZJnR.dpuf

Thursday, November 12, 2015

Gambar menakjubkan pengantin dalam hujan jadi viral



AGENSI - GAMBAR Jessica dan Nick yang dirakam dalam hujan oleh Stewart berjaya memukau khalayak yang melihatnya.


NEW SOUTH WALES, Australia – Kebimbangan sepasang pengantin baru di sini terhadap cuaca mendung pada majlis perkahwinan mereka bertukar menjadi pengalaman menakjubkan melalui rakaman gambar intim di dalam hujan memukau khalayak.
Sebelum itu, Jessica Gower, 30, dan suaminya, Nick Gower, sudah pun memeriksa keadaan ramalan cuaca memandangkan majlis tersebut diadakan di lokasi terbuka di Southern Highlands.
Bagaimanapun, hujan yang turun pada saat-saat akhir membuatkan jurugambar pasangan pengantin berkenaan, Thomas Stewart memanfaatkan panorama tersebut dengan merakam beberapa gambar.
“Apabila saya melihat foto tersebut di laman sosial Facebook yang dimuat naik Stewart, saya rasa seperti terawang-awang. Ia kelihatan seperti gambar cerita dongeng antara puteri dan putera raja,” kata Jessica.
Sementara itu, menurut Stewart dia hanya mengambil masa 30 saat dan lima percubaan merakam gambar momen paling istimewa itu dan ternyata ia menjadi sesuatu yang amat sempurna.
Pengguna media sosial turut melahirkan rasa kagum terhadap gambar tersebut yang mendapat lebih 25,000 Likes dan dikongsi hampir 10,000 orang. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3rEBuKctC 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, November 11, 2015

Jadi gelandangan selama 
11 tahun akibat tertinggal bas


Rolf Bantle menghabiskan masa selama 11 tahun di Milan sebagai gelandangan selepas ditinggalkan bas penyokong gara-gara tersesat di dalam Stadium San Siro pada 25 Ogos 2004. AGENSI
MILAN 10 Nov. – Pada Ogos 2004, Rolf Bantle datang dari Switzerland ke Itali semata-mata mahu menyaksikan pasukan kesaya­ngannya, Basel FC menentang pasukan Inter Milan di sebuah bandar di negara ini.
Namun selepas selesai perlawanan, lelaki berusia 71 tahun itu tersesat jalan menyebabkan dia terkandas di Milan selama 11 tahun dan terpaksa hidup sebagai gelandangan.
Mengimbas kembali bagaimana situasi itu boleh berlaku, Bantle yang berasal dari Basel, berkata, dia datang ke Stadium San Siro pada 24 Ogos 2004 bersama sekumpulan penyokong menaiki bas untuk menyaksikan perlawanan getir Liga Juara-Juara tersebut.
Namun ketika perlawanan berlangsung, Bantle pergi ke tandas di stadium tersebut, tetapi gagal mencari tempat duduk yang ditempah bersama rakan-rakannya.
Malah selepas habis perlawanan, dia gagal muncul di tempat bas menunggu dan ditinggalkan di stadium tersebut.
“Saya berada di bahagian lain stadium itu dan gagal menemui kumpulan penyokong yang datang bersama saya.
“Saya hanya mempunyai 20 euro (RM94) sahaja dan tidak mempunyai telefon bimbit, menyebabkan saya terpaksa hidup berkelana di Milan,” katanya se­perti dilaporkan portal Oddity Central.
Di sebalik berasa panik, Bantle menyedari dia tidak mempunyai komitmen dan tiada saudara lain, sekali gus mengambil keputusan untuk menikmati kebebasan tersebut di kota Milan.
Bantle berkata, dia berjaya meneruskan kehidupan disebabkan kebaikan penduduk tempatan selain menggunakan tandas awam untuk mandi dan mengunjungi perpustakaan tempatan.
Kisah Bantle hanya diketahui umum baru-baru ini selepas dia mengalami keretakan tulang paha kerana terjatuh dan tidak mempunyai insurans kesihatan untuk mendapatkan rawatan di hospital di Itali.
“Pihak hospital kemudiannya menghubungi Kedutaan Switzerland dan saya dibawa pulang ke tanah air sebelum ditempatkan di rumah orang-orang tua di Basel.
“Pengalaman berkelana seorang diri di Milan selama 11 tahun merupakan kenangan yang menggembirakan dalam hidup saya,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jadi-gelandangan-selama-8232-11-tahun-akibat-tertinggal-bas-1.156993#sthash.I69iwUIv.dpuf

Pangsapuri bertindan


Dinobat Binaan Sepanjang Tahun kerana seni bina unik
11 November 2015 12:17 AM



SINGAPURA 10 Nov. - Satu struktur unik yang terdiri daripada blok bangunan pangsapuri dan kedai di Singapura, dinobatkan sebagai Binaan Sepanjang Tahun dalam acara tahunan Festival Seni Bina Dunia Kelapan, baru-baru ini.
The Interlace atau lebih terkenal dengan gelaran ‘Vertical Village’ yang direka bentuk oleh firma Metropolitan Architecture dan Buro Ole Scheeran, telah menerima banyak pujian kerana pendekatannya yang radikal dan alternatif ke arah kehidupan dalam persekitaran tropika.
Portal berita independent.co.uk melaporkan, acara tahunan itu diadakan di sebuah pusat peranginan berprestij, Marina Bay Sand, di Singapura dari 4 hingga 6 November lalu.
Pengarah festival, Paul Finch berkata, projek perumahan itu merupakan sebuah binaan yang menakjubkan dengan rekaan yang berani selain memaparkan idea seni bina kontemporari.
“Projek ini mempersembahkan satu gaya pemikiran alternatif dalam pembangunan,” ujarnya.
Binaan istimewa itu mengan­dungi 31 blok tindanan kediaman dan enam blok bangunan kedai.
Selain itu, bangunan tersebut turut dilengkapi kolam renang, gelanggang tenis, dan taman bunga.
Festival Seni Bina Dunia 2016 akan diadakan di Berlin, Jerman selepas diadakan selama empat tahun berturut-turut di negara ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pangsapuri-bertindan-1.156997#sthash.GqU96WDl.dpuf

Tuesday, November 10, 2015

India tuntut pulangkan mahkota berlian




AGENSI - RATU Elizabeth (kanan) dilihat memakai mahkota Koh-i-Noor semasa pertabalan mendiang suaminya.


NEW DELHI – Beberapa pelakon Bollywood dan ahli perniagaan di sini mengambil tindakan saman ke atas kerajaan Britain supaya memulangkan semula sebuah mahkota berlian bernilai £100 juta (RM661 juta) yang didakwa dicuri dari negara itu.
Mahkota yang dikenali sebagai Koh-i-Noor itu pernah dipakai pemerintah Britain, Ratu Elizabeth semasa pertabalan mendiang suaminya, George VI dan anaknya.
Prosiding perbicaraan kes untuk mendapatkan semula mahkota 105 karat itu dijangka dibawa ke Mahkamah Tinggi London.
“Koh-i-Noor bukan sahaja sekadar berlian 105 karat, namun ia adalah sebahagian sejarah dan budaya kami. Mahkota itu sepatutnya dikembalikan semula,” kata David de Souza yang mengetuai kumpulan untuk mendapatkan semula mahkota berkenaan.
Bagaimanapun, Britain menolak tuntutan untuk mengembalikan semula mahkota berbentuk bujur yang dihadiahkan oleh kerajaan India kepada Ratu Victoria pada tahun 1851 itu.
Seorang ahli sejarah, Andrew Roberts berkata, semua pihak perlu mengiktiraf bahawa Britain adalah tempat yang paling sesuai untuk menempatkan Koh-i-Noor.
“Malah, penglibatan Britain di India sejak tiga abad lalu telah membawa banyak pembaharuan terutama dari segi pemodenan, perlindungan, pembangunan, pertanian, penyatuan bahasa dan demokrasi,” katanya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3r5CgzS3V 
Hakcipta terpelihara 

Lahirkan bayi pada usia kandungan 5 bulan



AGENSI - DONNA akhirnya dapat memeluk Wade selepas dilahirkan empat bulan lebih awal berbanding jangkaan tarikh sebenar.


LIVERPOOL, Britain – Seorang bayi akhirnya dibenarkan pulang ke rumahnya di sini selepas dilahirkan pada usia 23 minggu dalam kandungan.
Bayi ajaib tersebut, Wade Burgess sepatutnya dilahirkan bulan lepas tetapi lahir lebih awal pada 14 Jun dengan berat cuma 1.3 kilogram.
Berikutan keadaan itu, Wade terpaksa disambungkan dengan mesin keselamatan selama empat bulan menyebabkan ibunya, Donna tidak dapat menyentuhnya dan hanya melihat dari dinding kaca kerana dia terlalu lemah.
“Tidak dapat menyentuhnya merupakan saat yang amat memeritkan tetapi Wade merupakan bayi yang sangat ajaib,” kata Donna yang kini gembira dapat memeluk anaknya itu.
Wade bagaimanapun masih memerlukan sokongan oksigen bagi membantunya bernafas kerana paru-paru yang lemah tetapi doktor berharap dia tidak mendapat mempunyai masalah kesihatan dalam jangka masa panjang.
Kelahiran normal berlaku apabila bayi dalam kandungan berusia antara 39 hingga 41 minggu. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3r5CT9Vik 
Hakcipta terpelihara 

Kahwin' dengan patung lepas hidap kanser


9 NOVEMBER 2015

'Kahwin' dengan patung lepas hidap kanser

'Kahwin' dengan patung lepas hidap kanser Antara gambar perkahwinan lelaki yang mengahwini patung.

BEIJING - CHINA. Seorang lelaki mengambil keputusan mengahwini patung selepas disahkan mengidap penyakit kanser.

Lelaki yang berusia 28 tahun itu berbuat demikian bagi mengelakkan melukakan hati wanita sebenar selepas dia meninggal dunia kelak.

Menurut jurugambar yang mengambil gambar perkahwinan pasangan tersebut berkata, walaupun tidak bersetuju dengan keputusan lelaki itu untuk berkahwin dengan patung, namun dia tetap menghormati keputusan lelaki itu.

"Lelaki berkenaan berhak untuk membuat pilihan dan bebas untuk memilih apa yang disukainya," katanya dipetik CCTV News.

Foto perkahwinan lelaki mendapat perhatian netizen  selepas beberapa foto perkahwinannya itu tersebar di laman sosial.

Terkejut lihat video isteri hisap shisha


WARTAWAN SINAR HARIAN
9 NOVEMBER 2015

hisap shisha

 Gambar hiasan

KUWAIT CITY - KUWAIT. Seorang lelaki Kuwait menceraikan isterinya selepas terkejut melihat perilaku isterinya yang menghisap shisha di dalam sebuah rakaman video.

Memetik laporan Emirates, wanita berkenaan yang menghisap shisha tanpa pengetahuan suaminya itu merakamkan tabiatnya itu dan kemudian berkongsinya dengan seorang rakannya melalui aplikasi Snapchat.

Namun, dia secara tidak sengaja turut menghantar video berkenaan kepada suaminya.

Berang dengan perilaku isterinya yang merokok di luar pengetahuannya, lelaki berkenaan terus bertindak menceraikan isterinya.

Universiti haramkan ‘couple’ makan bersuap


Universiti haramkan ‘couple’ makan bersuap

9 NOVEMBER 2015
Universiti haramkan ‘couple’ makan bersuap Gambar hiasan

JILIN - CHINA. Sebuah universiti di daerah Jilin, China menguatkuasakan pengharaman makan bersuap bagi pasangan kekasih di kafeteria kampus pusat pengajian itu.

Memetik laporan sebuah portal antarabangsa, penguatkuasaan peraturan baharu universiti berkenaan dilaksanakan selepas pihak pengurusan tidak dapat mengawal tingkah laku kurang sopan pelajarnya.

Kebanyakan pelajar universiti tersebut melahirkan rasa terkejut ke atas larangan yang dikenakan, bagaimanapun hampir kesemua pelajar melahirkan rasa geli hati terhadap peraturan baharu yang dirasakan tidak masuk akal itu.

Difahamkan, peraturan baharu yang dikenakan termasuk larangan berpegangan tangan dan berpelukan di kafeteria universiti.

Bagaimanapun larangan makan bersuap adalah peraturan yang paling menarik perhatian dan dianggap lucu oleh seluruh isi kampus.

Seorang pelajar kampus memberitahu pemberita bahawa dia tidak pernah melihat mana-mana pasangan makan bersuap di kafeteria universiti berkenaan.

Pelajar tersebut yang tidak mahu dinamakan bagaimanapun beranggapan peraturan tersebut mungkin diperlukan bagi pihak pengurusan yang ingin mengawal tingkah laku pelajar.

“Saya boleh terima peraturan-peraturan ini dan saya tidak akan buat kesilapan seperti ini.

“Dan juga… Saya tidak mempunyai teman lelaki,” katanya berseloroh.

Seorang pekerja kafeteria ketika ditemui pemberita mengesahkan dakwaan pelajar terbabit.

Menurutnya, dia tidak pernah melihat sebarang adegan suap-menyuap antara pasangan pelajar  sejak berkhidmat di kafeteria di universiti berkenaan.

Dalam pada itu, seorang guru berkata, peraturan baharu itu dikenakan hanya sebagai langkah pencegahan yang dilaksanakan di universiti itu.

Pembantu rumah beli vila


Riyadh: Seorang pembantu rumah warga Indonesia menjadi pemilik sebuah vila besar hasil daripada gajinya SR1,000 (RM1,200) sebulan yang dikumpul sepanjang 10 tahun dia bekerja.

Media tempatan semalam menyiarkan gambar vila itu yang dirakam Mohammed Azuz, bekas majikan pembantu rumah yang namanya tidak disiarkan itu.

“Inilah gambar vila yang dimiliki oleh bekas pembantu rumah saya di Arab Saudi.

“Dia sudah bekerja dengan saya sejak 10 tahun lalu dan saya bersumpah dia begitu jujur dan tidak pernah mencuri,” kata Mohammed Azuz, merujuk kepada gambar vila yang disiarkan di laman sosial itu.

Dia bagaimanapun tidak menyebut di mana vila itu.

Menurut akhbar Saudi, ramai rakyat negara itu terkejut dengan rumah yang dimiliki pembantu rumah berkenaan dengan berkata, ribuan golongan Saudi masih tidak memiliki rumah walaupun mereka meraih pendapatan lebih tinggi berbanding wanita itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 6:52 AM

Gambar yang tersebar di media sosial Arab Saudi menunjukkan gambar vila yang didakwa dimiliki pembantu rumah Itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91812#sthash.fUrSdZp0.dpuf

Ujian peluru berpandu disangka UFO

CAHAYA yang dilihat di angkasa lepas di Amerika Syarikat yang disangka UFO.
Los Angeles: Ujian peluru berpandu di luar pantai California semalam mencetuskan kekecohan di media sosial apabila orang ramai menyangka mereka melihat objek terbang yang tidak kenali (UFO).

Hashtag di Twitter #Navy, #comet dan #UFO menjadi perbicaraan hangat selepas pengguna media sosial memuatnaikkan video dan gambar cahaya misteri yang menerangi angkasa lepas dalam kegelapan malam.


“Ada UFO di Los Angeles. Saya teruja. Saya sudah bersedia,” tulis Shane Dawson, yang terkenal kerana videonya di YouTube, di akaun Twitternya.

Seorang lagi pengguna @AnieJacobson menulis: “UFO di Los Angeles. Ia bukan komet. Anak saya melihat UFO di Hollywood.”



Akhbar San Diego Union melaporkan, cahaya itu boleh juga dilihat penduduk di Nevada dan Arizona sementara pihak berkuasa menerima banyak panggilan melaporkan kejadian itu.

Bagaimanapun, ketika orang ramai sibuk meramalkan dunia akan kiamat berikutan kejadian itu, pegawai mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan kejadian itu.

“Program Sistem Strategik Tentera Laut melakukan ujian peluru berpandu Trindent II di laut dari USS Kentucky (kapal perang) di Lapangan Ujian Pasifik di luar pantai California Selatan.

“Ujian itu diadakan seperti yang dijadualkan sebelum ini,” kata Komodor Tentera Laut Ryan Perry. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 6:49 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91806#sthash.QCqgFrJA.dpuf

Ratu Elizabeth disaman?


Selebriti Bollywood mahu Britain pulangkan berlian RM654j
10 November 2015 12:37 AM


Ratu Victoria (kiri) memakai mahkota bertatah berlian Koh-i-Noor bergambar bersama Ratu Elizabeth ketika kecil. AGENSI

LONDON 9 Nov. - Pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II bakal berdepan tindakan undang-undang apabila sekumpulan ahli perniagaan India dan selebriti Bollywood menuntut pemulangan sebutir berlian yang menghiasi mahkota diraja negara ini.
Batu permata seberat 105 karat digelar Koh-i-Noor yang dipercayai dilombong di India kira-kira 800 tahun lalu itu, dihadiahkan kepada bonda Ratu Elizabeth II, Ratu Victoria semasa Britain menjajah India.
Tuntutan undang-undang itu dikemukakan di Mahkamah Tinggi London dan dibiayai kumpulan Titos diketuai pengasasnya, David de Souza.
“Berlian Koh-i-Noor merupakan satu daripada artifak yang ‘dicuri’ dari India. Penjajah Britain bukan sahaja ‘merompak’ kekayaan rakyat India, tetapi juga memusnahkan maruah negara itu (India),” katanya kepada Sunday Telegraph seperti dilaporkan Mail Online.
Bagaimanapun, usaha membawa pulang berlian Koh-i-Noor yang bernilai 100 juta pound (RM654 juta) itu agak janggal kerana Perdana Menteri India, Narendra Modi dijangka mengunjungi Istana Buckhingham minggu ini.
Bintang Bollywood, Bhumicka Sing berkata, Koh-i-Noor adalah sebahagian daripada sejarah dan kebudayaan India, sekali gus tanpa ragu-ragu ia perlu dikembalikan kepada India.
Kerajaan Britain menolak tuntutan supaya berlian itu dipulangkan selepas ia dihadiahkan kepada Ratu Victoria pada 1851 oleh pemimpin terakhir Sikh, Duleep Singh semasa penjajahan Britain di Punjab.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ratu-elizabeth-disaman-1.156753#sthash.S56Z2NwE.dpuf

Monday, November 9, 2015

Pemuda tidak minum air tiga tahun


Peter Filak
LOS ANGELES 8 Nov. – Seorang lelaki berusia 26 tahun mengejutkan ramai pihak termasuk pakar pemakanan baru-baru ini apabila membuat pengakuan mampu kekal sihat tanpa minum walaupun seteguk air sejak hampir tiga tahun lalu.
Menurut laman web Oddity Central, bekas jururawat yang juga merupakan model webcam, Peter Filak memberitahu, kali terakhir dia minum air adalah pada 5 Mei 2012 dan kini bergantung sepenuhnya kepada buah-buahan dan sayuran sebagai diet harian.
Filak juga percaya, cara tersebut tidak akan menyebabkan masalah penghidratan dan mendakwa bahan seperti klorin dan fluorida untuk membersihkan air minuman boleh membahayakan tubuhnya.
“Saya akan bangun dari tidur dua hingga tiga kali setiap malam untuk membuang air kecil dengan makan buah dan sayur. Jadi, saya tidak perlu minum air lagi,” ujarnya di laman web miliknya, More Apples A Day.
Filak yakin pengambilan 800 hingga 1,000 kalori setiap hari berasaskan diet buah-buahan dan sayur-sayuran yang diamalkan dapat membantunya untuk terus hidup sehingga usia 150 tahun.
“Saya percaya usaha ini akan membantu saya untuk hidup lebih lama. Saya juga tidak perlu menghabiskan banyak masa di dapur dan tidak lagi berpeluh serta mempunyai masalah bau badan dengan diet ini,” katanya.
Namun, ramai yang tidak bersetuju dengan cara Filak itu termasuk Pakar Nutrisi Universiti New York, Profesor Lisa Sasson yang berpendapat bahawa menghidrat tubuh dengan air adalah amat penting dalam kehidupan seharian setiap manusia.
“Dehidrasi adalah sangat serius. Air mempunyai fluorida yang penting untuk kesihatan gigi, melancarkan fungsi tubuh serta membantu buah pinggang kita,” katanya.
habis.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pemuda-tidak-minum-air-tiga-tahun-1.156426#sthash.7ZeDn59E.dpuf

Sunday, November 8, 2015

Korek telaga, jumpa 'istana'


Beijing: Seorang petani terkejut apabila menemui gua karst di bawah halaman belakang rumahnya ketika menggali perigi.

Lelaki dikenali sebagai Zang itu membuat penemuan berkenaan 65 kaki di bawah tanah di rumahnya di daerah Qixian, wilayah Henan.

Kini orang ramai dari seluruh negara datang ke rumahnya untuk melihat gua misteri berkenaan.

Klip video selama tiga minit menunjukkan wartawan membawa kamera menunjukkan gua bawah tanah itu dengan ribuan stalagmit dan stalagtit berbentuk unik diperbuat daripada batu kapur, yang membentuk tiang serta teratai.

Zang berkata dia sekeluarga menggali perigi itu sejak 2007 kerana tanah itu tidak subur langsung. Pada 1 Oktober lalu mereka menemui gua bawah tanah berkenaan.

“Pada mulanya saya menyangka sudah menemui kubur, tetapi nyata kawasan ini terlalu besar. Hasil pemeriksaan mendapati ia tidak ubah seperti istana bawah tanah,” katanya. - Agensi
BATU berbentuk seperti bunga teratai.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 5:06 AM


Stalagmit dan stalagtit menghiasi gua bawah tanah itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91669#foto

Friday, November 6, 2015

Jadi jutawan dengan hanya kutip bola golf


04 November 2015 12:10 AM



TALLAHASSEE, Florida 3 Nov. – Seorang penganggur, Glenn Berger kini mampu mengumpul kekayaan sebanyak AS$15 juta (RM64 juta) dengan hanya mengutip bola golf di sekitar Florida.­
Portal berita odditycentral.com melaporkan, Berger kira-kira 14 tahun lalu terpaksa mencuri selepas ketiadaan pekerjaan, namun segalanya berubah selepas dia mendapat ilham yang mengubah kehidupannya menjadi seorang jutawan.
Dia memutuskan untuk menyelam di dasar tasik di sekitar padang golf di sekitar Florioda untuk mencari bola golf.
Setakat ini, dia telah membawa naik sebanyak 1.3 hingga 1.7 juta biji bola setahun.
“Ketika itu saya seorang pengganggur dan saya mencuri bola golf di padang golf berdekatan rumah saya. Kemudian saya menyedari, perkara itu tidak betul untuk mencari wang,” kata Berger.
Berikutan itu, dia mula menjual bola golf yang ditemukan di dalam tasik di padang golf pada harga serendah AS$1 (RM4.20) sebiji, keputusan yang berbaloi dan lumayan sejak dia mula melakukannya.
Bagaimanapun, kerjaya itu bukanlah mudah seperti yang disangka kerana dia terpaksa berdepan banyak bahaya dan cabaran di dasar tasik setiap hari antaranya, meja, kereta golf, mesin pemotong rumput, ular, dan yang paling teruk ialah buaya.
Katanya, dia akan sentiasa memastikan keadaan sekitar kawasan tasik selamat sebelum turun ke dalam air, namun kadang-kadang dia masih terserempak dengan beberapa ekor buaya yang menghuni tasik di padang golf di Florida.
“Pada suatu ketika, saya tiba-tiba terasa tangan saya sudah berada di dalam mulut seekor buaya. Tanpa berlengah, saya melompat keluar dari dalam air,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jadi-jutawan-dengan-hanya-kutip-bola-golf-1.154142#sthash.dp623gsG.dpuf

Kanak-kanak jadi kemetot akibat penyakit ganjil


Kenadie Jourdin (kiri) bersama ibunya, Brianne.
LONDON 3 Nov. – Seorang kanak-kanak penghidap penyakit ganjil yang hanya dialami oleh 100 orang di dunia, berjaya meneruskan kehidupan sama seperti manusia normal, walaupun pada awalnya doktor meramalkan dia akan me­ninggal dunia.
Mail Online melaporkan, Kenadie Jourdin menghidap penyakit primordial dwarfism atau penyakit genetik yang jarang-jarang ditemukan di mana pesakitnya akan mengalami masalah kemetot.
Walaupun Kenadie kini berusia 12 tahun, berat badannya sama seperti kanak-kanak berusia dua tahun dengan ketinggian hanya sembilan meter.
Ibunya, Brianne Jourdin, 36, berkata, ketika dilahirkan, anaknya itu memiliki berat badan satu kilogram serta ukuran panjang 28 sentimeter dan doktor memberi amaran berkemungkinan besar Kenadie tidak akan dapat hidup lama.
“Doktor berkata anak saya mengalami masalah kerosakan otak dan berkemungkinan besar akan meninggal dunia dalam beberapa hari lagi. Namun, ramalan tersebut tidak benar. Ketika Kenadie berusia lapan bulan, doktor mengesahkan anak saya menghidap penyakit primordial dwarfism.
“Penyakit berkenaan jarang-jarang ditemukan dan pesakitnya mengalami masalah tulang rapuh selain pertumbuhan tidak sempurna,” jelasnya.
Namun, tambah Brianne, Kenadie kini mampu menjalani kehidupan sama seperti kanak-kanak normal lain, seperti pergi ke sekolah dan melakukan aktiviti berenang serta bermain hoki.
“Sebagai ibu saya amat ber­syukur kerana anak saya sihat, walaupun dilahirkan tidak normal,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kanak-kanak-jadi-kemetot-akibat-penyakit-ganjil-1.154123#sthash.pVjjc7io.dpuf

Monday, November 2, 2015

Apa duit boleh buat pada otak kita?


FATHIN ATHIRAH HASLI
wang

2 NOVEMBER 2015
wang Gambar hiasan.

WANG ataupun duit boleh membuatkan seseorang itu melakukan perkara-perkara yang tidak rasional dan merbahaya.
‎
Ada juga di antara kita yang tersilap membuat keputusan dalam urusan atas talian.

Jadi apa sebenarnya yang berlaku pada fungsi otak kita bila ia melibatkan wang?

Bekas Naib Presiden dalam institusi perbankan terbesar di Amerika Syarikat, JP Morgan, Kabir Sehgal pernah berkongsikan pengalamannya tentang wang dan neurosains.

Pendapatnya itu dikongsikan ke dalam sebuah artikel yang disiar menerusi Harvard Business Review.

Sehgal menulis, pakar neuro mula menggunakan mesin pengimejan resonans magnet yang berfungsi untuk mengimbas kawasan otak yang dirangsang apabila seseorang individu itu berfikir untuk membuat keputusan dalam mengurus kewangan.

Hasil beberapa kajian mendapati wang boleh memuncakkan aktiviti neural pada otak dan ia dibuktikan  menerusi permainan judi yang disertai oleh 12 pemain.

Hasil kajian mendapati aktiviti neural yang memuncak pada otak mereka.

Penyelidik juga membandingkan hasil kajian mereka dengan laporan analisis individu yang ketagih dengan dadah dan hasilnya hampir sama.

“Tidak ada satu pun yang memberi kesan besar kepada manusia melainkan wang,” kata salah seorang penyelidik kajian itu kepada Sehgal.

Kajian juga melaporkan imbasan pada otak mencerminkan amalan pengambilan risiko.

Salah sebuah institut pendidikan dari Stanford melakukan kajian terhadap kesilapan pelabur dalam membuat keputusan.

Menurut penyelidik, berdasarkan imbasan otak yang diterima, mereka dapat meramalkan pilihan subjek sama ada untuk membeli saham yang mana ia merupakan keputusan berisik, atau yang kurang berisiko seperti bon.

Selain itu, kajian juga mendapati wang boleh mewujudkan perasaan ragu-ragu, khuatir dan gelisah dalam urusan melibatkan wang.

Subjek dalam kajian menunjukkan kesedaran diri, mengambil masa untuk seketika atau termenung dan menunjukkan tanggungjawab dalam menyelesaikan masalah kewangan yang kompleks.