Pages

Friday, November 13, 2015

Dakwa kapal karam British bawa 100,000 syiling emas




IMEJ fail bertarikh 29 April 2010 ini menunjukkan Collado di hadapan model kapal Lord Clive yang tenggelam pada tahun 1763


COLONIA DEL SACRAMENTO, Uruguay – Seorang pemburu harta karun kini berusaha mengeluarkan khazanah di dalam sebuah kapal perang British, Lord Clive yang tenggelam di perairan Uruguay lebih 250 tahun lalu.
Ruben Collado percaya kapal terbabit membawa 100,000 syiling emas ketika terkena bedilan meriam oleh tentera Sepanyol pada tahun 1763 apabila Britain dan Portugal cuba menawan bandar Colonia del Sacramento semasa Perang Tujuh Tahun.
Pengembara dari Argentina itu menghabiskan masa 14 tahun mencari bangkai kapal tersebut sebelum menemuinya secara tidak sengaja pada tahun 2004 selepas kipas botnya melanggar sebatang tiang yang tenggelam di muara Sungai Plate.
Selepas menunggu lebih 10 tahun untuk mendapatkan keizinan dengan pihak berkuasa Uruguay, Collado akhirnya bakal memenuhi impiannya untuk menarik bangkai kapal itu ke permukaan, membaiki kerosakannya dan membawanya ke pantai.
Collado berkata, dia percaya kapal itu membawa emas dan telah meyakinkan pelabur untuk membiayai usahanya menaikkan kapal terbabit.
"Saya seorang pemburu harta karun profesional. Jika kapal berkenaan tidak mempunyai apa-apa harta karun, pelabur tidak akan mempertaruhkan apa-apa wang," katanya.
Proses itu akan mengambil masa dua tahun untuk membersihkan batu-batu dan lumpur, menggerakkan kekisi logam besar di bawah kapal, membaiki dan menaikkannya sebelum dibawa ke pantai.
– AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3rK2zPDhZ 
Hakcipta terpelihara 

No comments: