Pages

Wednesday, June 8, 2011

Bantuan Gaza tersadai di Al Arish

Kapal Rachel Corrie tunggu lampu hijau dari kerajaan Mesir punggah paip UPVC

KUALA LUMPUR: Kapal kargo The Spirit of Rachel Corrie yang kini berlabuh di Pelabuhan Al Arish, Mesir masih menunggu lampu hijau daripada pihak berkuasa Mesir untuk memunggah keluar 7.5 kilometer paip UPVC yang dibawa kapal misi kemanusiaan itu sebelum dihantar ke Gaza melalui jalan darat.

Ketika berita ini ditulis semalam, kapal misi kemanusiaan tajaan Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) itu masih ‘tersadai’ di pelabuhan komersial berdekatan sempadan Mesir-Gaza selepas semua 12 krew dan penumpang, termasuk tujuh rakyat Malaysia, selamat pulang ke tanah air, Sabtu lalu.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah PGPF, Tan Sri Samsudin Hitam, berkata yayasan itu kini menunggu kelulusan pihak berkuasa Mesir untuk menyimpan sementara paip terbabit di sebuah gudang di Al Arish, atau menghantarnya terus ke Gaza melalui jalan darat.
Beliau yang sebelum ini mengetuai pasukan darat misi kemanusiaan itu berkata, semua dokumentasi berkaitan sudah diserahkan kepada pihak berwajib termasuk pihak keselamatan Mesir bagi membolehkan paip berkenaan diserahkan kepada Agensi Kerja dan Bantuan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) untuk membawa bantuan kemanusiaan itu ke Gaza.

“Bantuan kemanusiaan (paip UPVC) berkenaan tetap dihantar ke Gaza melalui jalan darat, kini terpulang kepada kelulusan pihak berkuasa Mesir sama ada akan dihantar terus atau disimpan sementara sebelum dibawa ke Gaza pada masa sesuai.
“PGPF berharap bantuan kemanusiaan itu akan sampai kepada rakyat Gaza melalui UNRWA,” katanya kepada Berita Harian, semalam, selepas tiba di Malaysia, Ahad lalu.

Sebelum ini, yayasan yang mempromosikan keamanan sejagat itu mahu paip UPVC yang dibawa dari Piraeus, Greek itu, dihantar ke Gaza melalui sempadan Rafah yang dikuasai Mesir, tetapi kemungkinan besar akan dihantar ke Gaza melalui Karem Shalom.
Pada 16 Mei lalu, kapal misi kemanusiaan yang turut dinaiki wakil media dan aktivis keamanan dari Malaysia, Ireland dan Kanada itu dipintas dan ditembak dua bot peronda Israel selepas berjaya memasuki sehingga satu batu nautika di perairan Gaza yang dikawal ketat rejim Tel Aviv sejak 2007.
Berita Harian Online | Bantuan Gaza tersadai di Al Arish

Iran hantar kapal selam ke Laut Merah

TEHRAN: Iran menghantar kapal selamnya ke Laut Merah dalam kerahan pertama tentera laut negara itu untuk melakukan tinjauan di laut dalam yang bertujuan mendedahkan niat Tehran untuk menjadi kuasa baru tentera di lautan antarabangsa, kata pegawai, semalam.

Iran sudah lama berusaha untuk meningkatkan sistem pertahanan udara dan laut bagi menggambarkan negara itu sebagai kuasa besar tentera di rantau itu selain bersedia untuk sebarang kemungkinan mengadakan serangan terhadap negara, dengan mengatakan ia menjadi pangkalan udara dan laut.
Agensi berita Fars yang rapat dengan pegawai tentera Iran berkata kapal selam akan mengumpul data dalam perairan antarabangsa dan mengenal pasti kapal perang negara lain.
Laporan itu memetik pegawai kerajaan yang enggan dikenali berkata kapal selam itu mengiringi kapal perang di laluan anti lanun di Teluk Aden sebelum bergerak ke Laut Merah.

Agensi berita Fars tidak pula memberi sebarang maklumat mengenai jumlah atau keupayaan kapal selam itu.

Kemunculan kapal selam Iran di perairan Mediterranean menggusarkan Israel. Kapal berkenaan pasti lalu di Syria yang masih berperang dengan negara Yahudi itu.

Menteri Luarnya, Avigdor Lieberman nmenyifatkan tindakan Iran sebagai provokasi dan menganggap Tehran semakin berani menunjukkan kekuatannya.
Iran mempunyai tiga kapal selam buatan Russia dan tahun lalu empat kapal selam baru kecil buatan Iran diserahkan kepada tentera lautnya.

Empat kapal selam itu dikatakan kapal selam kelas Ghadir yang boleh melancarkan peluru berpandu dan pada masa yang sama mampu bergerak di air cetek, seperti di Teluk Parsi dan pantai Iran.

Awal tahun ini, dua kapal perang Iran berulang alik ke Syria. Langkah itu mencetuskan protes oleh Israel yang menganggap kehadiran Iran sebagai ancaman kerana program nuklearnya, menyokong kemusnahan Israel, menyokong Palestin Hamas dan militan Hizbullah di Lubnan.

Israel, Amerika Syarikat dan lain mahu menghentikan Iran daripada apa yang mereka takuti iaitu tindakan Tehran membangunkan senjata nuklear. – AP
Berita Harian Online | Iran hantar kapal selam ke Laut Merah

AS suruh Saleh serah kuasa



Ali Abdullah Saleh
Ali Abdullah Saleh

25 lagi terbunuh keadaan dalam negara Yaman terus kacau bilau

SANAA: Amerika Syarikat terus mendesak Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh supaya menyerah kuasa ketika 25 lagi maut selepas pertempuran meletus semalam antara tentera Yaman dengan kumpulan lelaki bersenjata disyaki anggota pergerakan al-Qaeda di selatan negara itu.

Saleh, 69, sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Arab Saudi selepas cedera dalam serangan di istana presiden, Jumaat lalu.
Pembangkang yang disokong penunjuk perasaan bersumpah untuk menghalangnya kembali berkuasa sementara Amerika menggesa satu “peralihan kuasa segera.”
“Kami percaya satu peralihan segera adalah yang terbaik demi kepentingan rakyat Yaman dan mengekalkan kestabilan secara jelas dalam satu situasi amat tidak stabil,” kata jurucakap Rumah Putih, Jay Carney.

Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton, bercakap bersebelahan rakan sejawatannya dari Perancis Alain Juppe dalam satu sidang media di Washington, pula jelas mengatakan Saleh perlu berundur.

“Saya tidak dapat buat spekulasi apa yang akan dilakukan atau diperkatakan Saleh, namun kami mahu menegaskan dan menggesa satu peralihan kuasa secara aman dan teratur, bukan secara ganas supaya sejajar dengan perlembagaan Yaman.

“Kami fikir peralihan segera memenuhi kepentingan rakyat Yaman kerana ketidakstabilan dan kekurangan kawalan keselamatan tidak dapat ditangani sehingga ada proses menjurus kepada pembaharuan ekonomi dan politik yang dicari mereka” katanya.
Washington menyokong pendirian blok Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang akan menyaksikan Saleh menyerahkan kuasa kepada sebuah pentadbiran sementara dalam tempoh 30 hari sebagai pertukaran kekebalan daripada pendakwaan.

Namun, timbalan Saleh, Abu-Rabbu Mansur Hadi berkata presiden semakin pulih dan beliau akan kembali ke Yaman dalam tempoh beberapa hari lagi.

Sementara itu, dalam pertempuran terbaru antara tentera Yaman dan al-Qaeda di selatan Yaman, 25 orang terkorban, sembilan daripadanya anggota tentera.

Pertempuran meletus apabila tentera diserang ketika bergerak ke bandar Zinjibar pada waktu malam bagi merampasnya semula daripada kawalan pelampau.

Penduduk melaporkan, pertempuran meletus di luar Zinjibar tetapi tentera belum berupaya memasuki bandar itu.

Militan disyaki al-Qaeda mengawal sebahagian besar Zinjibar, ibu kota wilayah Abyan selepas membuat serbuan 29 Mei lalu. Hanya pangkalan tentera di bandar itu, menempatkan briged mekanikal ke-25 berada di tangan kerajaan.

“Pertempuran hebat meletus antara tentera dan lelaki bersenjata al-Qaeda apabila tentera mara ke arah bandar untuk menawannya,” kata pegawai tentera menyatakan sembilan askar maut dan 10 lagi cedera. – AFP Berita Harian Online | AS suruh Saleh serah kuasa

Jaket ‘Thriller’ Raja Pop berharga RM1.2 juta

LOS ANGELES: Jaket yang dipakai Raja Pop Amerika Syarikat, Michael Jackson, dalam video muzik ‘Thriller’ akan dijual bulan ini di rumah lelongan di Los Angeles.
Akhbar Korean Herald melaporkan, jaket kulit berwarna merah dan hitam daripada kulit lembu dengan bahu berkepak dijangka dijual antara AS$200,000 (RM600,510) dan AS$400,000 (RM1.2 juta), kata firma pelelong, Julien Auctions.
Dalam kenyataan kepada media, firma itu memberitahu, jaket Jackson atau ‘MJ’ itu mencetuskan kegilaan fesyen pada 1980-an apabila dipakai untuk album single pada 1982.
Album itu terjual sebanyak 110 juta unit di seluruh dunia, menjadikannya album terlaris dunia.

Jaket itu turut mempunyai tulisan tangan Jackson pada lengannya bermaksud ‘Untuk Bush dan Dennis, Untuk semua kesayanganku, Michael Jackson’, sebagai hadiah kepada pereka pakaiannya Dennis Tompkins dan Michael Bush.

Hasil jualan jaket itu akan dihantar ke pusat perlindungan haiwan yang menempatkan dua harimau Benggala milik penyanyi itu bernama Thriller dan Shabu, menurut laporan itu.

Lelongan itu turut membabitkan 600 barangan kenangan muzikal legenda pop termasuk Frank Sinatra, Elvis Presley, The Beatles dan Madonna. – Agensi Berita Harian Online | Jaket ‘Thriller’ Raja Pop berharga RM1.2 juta

Angkara kata-kata 'polis bodoh' gadis kena denda RM50


KUALA TERENGGANU - Seorang gadis pekerja butik yang didapati bersalah mengeluarkan perkataan 'polis bodoh' terhadap seorang anggota polis dikenakan hukuman denda sebanyak RM50 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Tertuduh Nur Shafa Watiha Wahab, 20, yang memakai baju kurung biru kelihatan tenang ketika keputusan kes dibacakan oleh Majistret Noor Adila Abd. Latif.

Peguam tertuduh, Mohd. Hayyatuddin Muhamad dalam pembelaannya memohon mahkamah memberi peluang kepada tertuduh yang tidak mempunyai rekod jenayah sebelum itu.

"Setiap kesalahan yang dilakukan tidak akan lepas daripada undang-undang namun saya memohon mahkamah melihat fakta mengenai kejadian melibatkan polis berpakaian preman itu," kata Mohd. Hayyatuddin.

Kosmo! Online - Negara

Anggota JI senior ditahan ISA


KUALA LUMPUR - Seorang anggota senior Jemaah Islamiah (JI) ditahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) kerana disyaki masih terlibat dalam kegiatan yang boleh memudaratkan keselamatan negara.

Abdul Haris Syhuhadi, 63, warga Indonesia ditahan di rumahnya di Kampung Batu Belah, Klang, Selangor pada pukul 8 malam, Ahad lalu.

Penahanan Abdul Haris yang merupakan seorang peniaga pakaian dan mempunyai taraf penduduk tetap di negara ini dibuat di bawah Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

Satu sumber berkata, Abdul Haris disyaki anggota senior kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) dan dipercayai menyertai JI sejak tahun 1980-an.

Difahamkan, peranan Abdul Haris dalam JI adalah sebagai penyampai usrah atau kuliah agama kepada golongan muda sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an.

"Kita khuatir dia masih mengembangkan fahaman dan ideologi militan melalui usrah- usrah yang disampaikan kepada penduduk di sekitar Banting dan Klang," kata sumber itu ketika dihubungi Kosmo!semalam.

Kosmo! Online - Negara

Van bawa 11 pelajar perempuan rempuh lori


DUA anggota polis melihat keadaan sebuah van dan lori yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Mantin-Lenggeng dekat Mantin semalam.


SEREMBAN - Sebelas pelajar perempuan dan seorang pemandu nyaris maut apabila van yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Mantin-Lenggeng dekat Mantin di sini semalam.
Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu, van berkenaan dalam perjalanan pulang dari Broga ke sebuah sekolah di Port Dickson.
Katanya, van yang dipandu oleh lelaki berusia dalam lingkungan 25 tahun itu dikatakan hilang kawalan sebelum berlanggar dengan lori yang tidak membawa muatan dari arah bertentangan.
"Difahamkan kesemua pelajar perempuan tingkatan dua hingga tingkatan enam itu menghadiri satu siri perkhemahan yang dianjurkan oleh pihak sekolah sebelum kemalangan itu.
Kosmo! Online - Negara

Amah cuba seludup 16kg ganja diberkas




LIAH (kanan) menunjukkan ketulan ganja yang ditemui di dalam beg pakaian seorang amah warga Filipina pada sidang akhbar di Nilai semalam.


NILAI - Tindakan seorang amah warga Filipina yang cuba menyeludup 16 kilogram ganja bernilai RM40,000 dengan menaiki sebuah bas terbongkar apabila dia ditahan sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Hentian Duta, Kuala Lumpur kelmarin.

Wanita berusia 36 tahun tersebut ditahan selepas pihak JKDM melakukan siasatan dan risikan sebaik menerima maklumat mengenai wanita itu yang masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong.

Difahamkan, wanita tersebut bekerja sebagai amah di Thailand dan mengambil bekalan dadah berkenaan daripada seseorang di Changlun, Kedah untuk diserahkan kepada individu dikenali sebagai Malay Man di ibu negara.

Kosmo! Online - Negara

Sumbat syabu RM2.4j dalam pek mi, sabun



TUN HISAN (tengah) melihat makanan segera yang dibungkus bersama syabu pada sidang media di IPK Selangor di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Cubaan tiga lelaki warga Nigeria untuk menyeludup masuk sebanyak 9.6 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai lebih RM2.4 juta ke negara ini gagal selepas polis menghidu kehadiran mereka dalam tiga tangkapan berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang baru-baru ini.
Ketiga-tiga suspek berusia 25, 27 dan 37 tahun yang tiba dari Doha, Qatar itu ditahan selepas polis menemui kesemua dadah itu yang disorok dalam 37 pek mi segera, makaroni serta 27 kotak sabun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, jumlah dadah yang ditemui itu cukup untuk menampung keperluan 32,000 penagih.
Menurut beliau, modus operandi yang digunakan oleh warga Nigeria tersebut pernah menjadi amalan keldai dadah warga Iran sekitar tahun 2009 dan 2010.
Kosmo! Online - Negara

Pemandu bas cuba rogol penumpang dicekup polis


JASIN - Perbuatan biadap seorang pemandu bas ekspres warga Indonesia yang memasang video lucah sebelum cuba merogol seorang penumpang di atas lantai kenderaan itu memakan diri apabila dia ditahan dalam kejadian di Bukit Kajang, Bemban di sini kelmarin.

Kejadian pukul 10.45 malam itu disedari oleh anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah selepas berasa pelik melihat sebuah bas ditinggalkan dalam keadaan enjinnya tidak dimatikan di tepi jalan, manakala pemandu dan penumpang tidak kelihatan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam berkata, sebaik didekati, anggota berkenaan terkejut apabila terdengar suara wanita menjerit.

Kosmo! Online - Negara

Payudara kerani bertukar hitam



THAM (kiri) menceritakan kejadian yang menimpanya kepada Michael di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Tindakan seorang kerani yang membuat pembedahan plastik untuk membesarkan payudara semata-mata kerana hendak menggembirakan teman lelakinya mengundang padah apabila dia bukan sahaja terpaksa menanggung derita, malah turut dikecewakan lelaki tersebut.
Wanita yang dikenali sebagai Tham, 30, itu kini menderita apabila terpaksa menanggung kesakitan berikutan payudaranya kini bertukar kehitam-hitaman selain berasa gatal dan bernanah.
Lebih membuatkan dia kecewa apabila teman lelakinya telah meninggalkannya gara-gara kejadian tersebut. Tham telah lima tahun menjalin hubungan dengan jurujual itu.
Difahamkan, Tham dari Triang, Pahang, menggunakan wang simpanannya sebanyak RM13,100 untuk membuat pembedahan di sebuah pusat kecantikan dekat sebuah pusat beli-belah di sini.
Ketika itu payudara mangsa bersaiz 32B dan hendak dibesarkan ke 34B. Berat badannya pula kira-kira 55 kilogram.
Mengimbau semula kejadian itu, Tham memberitahu, dia bertekad melakukan pembedahan tersebut selepas teman lelakinya sering mengadu yang dia malu mempunyai teman wanita berbadan berisi tetapi mempunyai payudara kecil.
Katanya, selepas dicadangkan oleh seorang rakan, dia pergi ke sebuah pusat kecantikan untuk melakukan pembedahan tersebut pada 11 Mac 2010 tanpa mengetahui doktor di situ tidak mempunyai tauliah.
Kosmo! Online - Negara

Patah tulang dirempuh kuda


ARINA Kirana yang patah tulang selangka dibawa ke Hospital Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN – Kegembiraan empat sekeluarga menikmati percutian di pantai Batu Feringghi dekat sini menjadi mimpi ngeri apabila seorang kanak-kanak cedera parah dirempuh seekor kuda yang ditunggangi lelaki tempatan semalam.

Ketika kejadian pada pukul 10.45 pagi itu, mangsa Arina Kirana Azrin, 5, sedang bermain pasir di pantai bersama kakaknya, Athirah Balqis, 12, di hadapan Hotel Parkroyal yang didiami keluarga mereka di sini.

Tanpa disedari, mangsa tiba-tiba dirempuh seekor kuda yang ditunggangi seorang lelaki menyebabkan kanak-kanak itu melambung dan berpusing beberapa kali sebelum dia terjatuh tidak jauh dari lokasi tempat dia bermain.

Akibat kejadian itu, mangsa yang datang dari Putrajaya pada Isnin lalu mengalami patah tulang selangka kiri dan terpaksa dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Semasa kejadian, didakwa tiada seorang pengusaha atau penjaga kegiatan pantai mengawal kuda yang dinaiki lelaki tempatan itu.

Selepas kejadian itu, penunggang kuda terbabit menghilangkan diri.

Bagaimanapun, dikatakan terdapat dua anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) berada di lokasi kejadian namun tiada bantuan diberikan kepada mangsa mahupun tindakan diambil ke atas penunggang kuda terbabit.

Kosmo! Online - Negara

Lintah raksasa serang kampung Jawa Tengah




SEORANG pegawai tentera, Kapten Bambang Susilo menunjukkan seekor lintah raksasa yang melekat pada tangan kirinya di Desa Timbol Sloko, Demak, Jawa Tengah semalam.


DEMAK - Penduduk di Desa Timbul Sloko, Demak, di Jawa Tengah kini berada dalam kebimbangan ekoran serangan lintah raksasa di kawasan berair dan jalan yang basah akibat hujan, lapor akhbar dalam talian, Kompas.com semalam.
Seorang penduduk kampung itu, Satiman, 36, berkata, bentuk lintah tersebut kelihatan berbeza dengan lintah darat.
Ratusan haiwan tersebut muncul selepas banjir kilat surut.
Menurut Satiman, kehadiran lintah yang bersaiz lima kali ganda daripada biasa itu menyebabkan penduduk kampung buntu untuk mencari cara bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Ketua Tentera Daerah Kecil Sayung, Arief Sudaryanto berkata, lintah yang sama turut ditemui di Desa Sidogemah dan Sriwulan.
Dia menjelaskan bahawa jenis lintah itu belum diketahui tetapi penduduk kampung tidak perlu bimbang kerana ia tidak membahayakan mereka.
Seorang lagi pegawai tentera, Kapten Bambang Susilo berkata, penduduk kampung tidak perlu takut kerana lintah tersebut tidak menghisap darah.
"Sudah 15 minit ia melekat di tangan, lintah ini tidak menggigit saya," katanya. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Letusan debu gunung berapi dirakam dari angkasa lepas


BEBERAPA cahaya kilat muncul di kawasan gunung berapi Puyehue-Cordon Caulle di Chile.


SANTIAGO - Imej kepulan debu yang dikeluarkan gunung berapi Puyehue-Cordon Caulle di Chile pada Sabtu lalu dapat dilihat dari angkasa lepas.
Kepulan debu itu dirakamkan menerusi satelit Aqua sejurus selepas ia meletus buat kali pertama sejak 1960. Pada 1960, gunung itu meletus akibat gempa bumi kuat berukuran 9.5 Richter di Chile.
Sementara itu, gambar kilat di sekitar gunung itu kelmarin juga dapat dirakamkan oleh jurugambar agensi AgenciaUno yang disiarkan agensi berita AP semalam.
Letusan itu yang masih berterusan kelmarin menyebabkan 4,000 penduduk dipindahkan dari kawasan berdekatan gunung tersebut. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Wakil rakyat AS akui hantar gambar lucah



ANTHONY Weiner dan isterinya, Huma Abedin.


NEW YORK - Seorang wakil rakyat Amerika Syarikat (AS) di New York, Anthony Weiner kelmarin mengaku menghantar gambar yang menunjukkan dia memakai seluar dalam.

Sebelum ini dia menafikan pernah menghantar gambar dirinya memakai seluar dalam kepada seorang wanita di Seattle menerusi akaun Twitter.

Dia membuat pengakuan pada satu sidang akhbar di sini. Pada sidang akhbar itu, dia juga mengaku membuat panggilan lucah kepada beberapa wanita muda.

Bagaimanapun, dia yang berusia 46 tahun dan sudah berkahwin enggan meletakkan jawatan sebagai Ahli Kongres New York setelah membuat pengakuan tersebut.

Sebelum pengakuan tersebut, Weiner mendakwa berlaku penggodaman komputer menyebabkan gambar berkenaan disiarkan di Internet.

Namun pada satu sidang akhbar tersebut, Weiner yang sebak berkata: "Gambar itu adalah diri saya dan saya yang menghantarnya."

Menurutnya, dia berasa amat kesal ekoran kejadian yang telah berlaku itu.

Weiner berkata, dia pernah menghantar gambar-gambar tidak senonoh di Internet dan bersembang lucah de-ngan enam wanita sejak beberapa tahun lalu.

Dia berkata, wanita-wanita itu kemudian menjadi rakan baiknya.

Bagaimanapun, Weiner berkata, dia tidak pernah bertemu dengan mereka dan tidak mempunyai sebarang hubungan seks di luar perkahwinan.

Salah satu gambar yang menunjukkan dia tidak memakai baju juga didakwa laman BigGovernment.com telah dihantar kepada seorang wanita menerusi Internet.

Isterinya, Huma Abedin bekerja sebagai pembantu Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton.

Weiner merupakan wakil rakyat yang sudah berkhidmat selama tujuh tahun dan sebelum ini menjadi calon pilihan utama untuk menjadi Datuk Bandar New York pada 2013. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Singapura bakal atasi Las Vegas




GAMBAR yang dirakamkan pada 27 Mei lalu menunjukkan pintu masuk ke Kasino Resort World Sentosa di Singapura.


MACAU - Singapura dijangka akan mengatasi Las Vegas untuk menjadi pusat judi kedua terbesar di dunia pada tahun ini, kata Presiden Persatuan Perjudian Amerika, Frank Fahrenkopf semalam.
Menurutnya, dua resort kasino di Singapura memperoleh hasil perjudian sebanyak AS$5.1 bilion (RM15.3 bilion) pada tahun lalu.
Dia berkata, angka itu akan meningkat kepada AS$6.4 bilion (RM19.23 bilion) pada tahun ini.
Menurut satu laporan yang disediakan Royal Bank of Scotland, Las Vegas hanya akan memperoleh hasil perjudian sebanyak AS$6.2 bilion (RM18.6 bilion) tahun ini.
"Sejak lebih setahun lalu, dua buah resort di Singapura telah menjangkaui jangkaan dan menukar negara itu dengan menjadikan Asia sebagai kuasa kedua perjudian di dunia," kata Fahrenkopf pada satu sidang akhbar di Ekspo Perjudian Global di sini.
Kasino pertama di Singapura adalah milik syarikat Resorts World Sentosa dari Malaysia yang dibuka pada 14 Februari 2010.
Sebuah syarikat dari AS, Las Vegas Sands kemudian membuka kasino yang kedua dua bulan kemudian.
"Pasaran perjudian negara ini akan mengatasi Las Vegas sebagai pusat perjudian kedua terbesar di dunia seawal-awalnya dalam tahun ini," kata Fahrenkopf kepada pemberita.
Kemerosotan pendapatan perjudian di Las Vegas berlaku akibat penutupan kasino terkenal, The Sahara pada 16 Mei lalu. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Masjid di Palestin dibakar di Tebing Barat

SEJUMLAH wartawan dan penduduk Palestin melihat sebuah masjid yang terbakar di Tebing Barat semalam.


RAMALLAH - Beberapa orang bertindak membakar sebuah masjid di utara Tebing Barat awal pagi semalam dan menconteng dinding dengan perkataan Ibrani.

Menurut Ketua Kampung el-Mughayer, Faraj al-Nassan, penduduk kampung mengetahui mengenai kebakaran itu semasa mereka pergi untuk bersolat subuh.

Karpet masjid itu terbakar tetapi kebakaran tersebut tidak merebak.

Menurut ketua kampung itu, pembakaran itu yang menggunakan tayar di dalam kawasan masjid sebenarnya bertujuan untuk menyebabkan bangunan masjid terbakar.

Bagaimanapun, tiada seorang pun yang mengaku untuk bertanggungjawab terhadap tragedi itu.

Namun, penduduk Yahudi dipercayai menjadi suspek yang membakar masjid berkenaan kerana terdapat contengan perkataan Aley Ayin yang merupakan kawasan penempatan haram Yahudi.

Kawasan penempatan haram itu diarahkan kosong oleh pemerintah Israel pada minggu lalu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengutuk percubaan untuk membakar masjid itu. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Tuesday, June 7, 2011

Britain kerah aset tentera dekat Yaman

LONDON: Britain menyatakan ia sudah mengerah aset ketenteraan berhampiran Yaman tetapi tidak mengesahkan laporan bahawa beberapa kapal bersiap sedia di kawasan Teluk untuk membawa keluar rakyatnya.
“Ia adalah pengerahan biasa aset ketenteraan UK di rantau itu tetapi kami tidak bersedia untuk mengulas tugasan sebenar operasi itu," kata seorang jurucakap Kementerian Pertahanan.
Menurut BBC, kira-kira 80 anggota marin berada di atas kapal sokongan RFA Fort Victoria manakala Sky News melaporkan kapal RFA Argus juga di kawasan itu.
Kementerian Pertahanan juga tidak mahu mengesahkan sama ada operasi membawa keluar rakyat Britain dirancang tetapi mengulangi gesaan Menteri Luar, William Hague, supaya semua warga negara itu segera meninggalkan Yaman menerusi kaedah komersial.

Penunjuk perasaan semalam mendesak peralihan kuasa segera daripada pemimpin veteran Ali Abdullah Saleh ketika timbalannya berkata beliau akan kembali beberapa hari selepas menjalani pembedahan di Riyadh berikutan kecederaan yang dialami dalam serangan pemberontak. - AFP Berita Harian Online | Britain kerah aset tentera dekat Yaman

Cedera dipukul suami dengan lesung

KUANTAN - Seorang suri rumah cedera dipukul suami dengan anak lesung batu hanya kerana enggan makan tengah hari bersamanya di rumah mereka di perkampungan Cenderawasih di sini, Ahad lepas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Siasatan dan Perundangan Pahang, Supt Mohd. Haris Daud berkata, mangsa yang berusia 25 tahun terpaksa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) setelah cedera di bahagian peha, dagu dan kepala.
Beliau berkata, dalam kejadian pada 1.30 tengah hari itu, mangsa dipercayai bertengkar dengan suaminya, seorang pekerja swasta berusia 28 tahun kerana enggan makan bersama.
Katanya, mangsa mendakwa suaminya tiba-tiba bertindak ganas memukulnya dengan anak lesung batu.
Suami mangsa ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan, katanya. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Pesara Guru Kerugian lebih RM43,000 Rumah Dipecah Masuk


KULIM: Seorang pesara guru kerugian lebih RM43,000 setelah rumahnya di Taman Seluang di sini, dirompak empat lelaki bersenjatakan parang awal Selasa.
Ketika ditemui pemberita di kediamannya, Mustaffa Yusuf, 62, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 5 pagi ketika beliau dan isterinya Hasnah Md Isa, 60, sedang tidur.
"Saya terdengar bunyi yang agak pelik dalam rumah saya dan secara tiba-tiba saya dapati empat lelaki bertopeng meluru masuk dalam bilik tidur kami sambil menghunus senjata seperti parang dan pisau di perut dan leher saya dan isteri," katanya.
Beliau berkata, selain barang kemas, dua telefon bimbit dan kamera digital, kumpulan perompak yang memasuki rumahnya dengan mengumpil tingkap di bahagian ruang tamu, turut melarikan kereta Perodua Viva miliknya.
Perompak terbabit juga memaksa isterinya bersumpah menggunakan al-Quran bahawa beliau tidak berbohong apabila memberitahu semua barang kemas telah diserahkan, kata Mustaffa.
"Perompak yang menutup muka dengan memakai topeng ski juga mengugut saya jika saya berbohong saya akan dilaknati tuhan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, DSP Chin Soo Song mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kes tersebut.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu atau terjumpa kereta Perodua Viva dengan nombor pendaftaran PHK 3653 agar menghubungi pegawai penyiasat Insp Hidayah Othman di talian 04-4906222 atau balai polis terdekat.-BERNAMA
mStar Online : Pesara Guru Kerugian lebih RM43,000 Rumah Dipecah Masuk

Hanya wanita Saudi dibenar bekerja di kedai pakaian dalam


JEDDAH: Raja Abdullah telah mengeluarkan perintah hanya wanita Arab Saudi dibenarkan bekerja di kedai menjual pakaian dalam.Media Saudi semalam melaporkan usul itu adalah sebahagian usaha mengurangkan kadar pengangguran wanita yang tinggi di negara konservatif itu.Agensi berita SPA melaporkan Raja Abdullah turut menyediakan peluang pekerjaan khusus bagi wanita Saudi di beberapa industri termasuk pengilang dadah.Malah, beliau juga menyokong program bagi menggalak keluarga menceburi bidang pengeluaran.Isu wanita Saudi bekerja di kedai-kedai menjual pakaian dalam menjadi tumpuan satu tengkarah tiga tahun lalu antara Kementerian Tenaga Manusia dengan pihak berkuasa keagamaan yang mengeluarkan fatwa mengharamkan kerja-kerja sedemikian.Sebelum ini, ramai wanita Saudi mengadu rasa tidak selesa kerana perlu membeli pakaian dalam daripada pekerja lelaki.Mereka lebih selesa membeli pakaian dalam daripada pembantu penjualan wanita.Pengasas kempen 'Sudah Cukup Rasa Malu' di laman rangkaian sosial Facebook, Cik Fatima Garub, mengalu-alukan keputusan Raja Abdullah itu.Menurut Cik Fatima, langkah itu akan mencipta sekitar 6,000 pekerjaan untuk wanita Saudi.'Mulai sekarang, rasa malu akan lenyap. Kami berterima kasih kepada raja yang menyedari masalah kami dan membuat keputusan yang telah lama kami nantikan,' ujar Cik Garub. -- AFP.
Cyberita Online Luar Negara

24 terkorban dalam dua serangan bom di Pakistan


KEBUMIKAN YANG KORBAN: Orang ramai berhimpun bagi upacara pengebumian mangsa serangan bom di sebuah bandar kejiranan di Nowshera kelmarin. -- Foto AFP


ISLAMABAD: Dua serangan bom berasingan membunuh 24 orang di barat laut Pakistan kelmarin.Kejadian-kejadian itu berlaku dua hari setelah Amerika Syarikat melancarkan serangan peluru berpandu yang dipercayai telah membunuh seorang komander Al-Qaeda, Ilyas Kashmiri.Dalam kejadian pertama, seorang pengebom nekad telah menyerang sebuah kedai roti di barat laut Pakistan dan mengakibatkan 18 orang terbunuh.Menurut polis, pengebom nekad itu menyerang sebuah kawasan kejiranan di bandar Nowshera, yang didiami ramai anggota tentera.Antara yang terbunuh termasuk dua anggota tentera.Pengebom nekad itu merupakan seorang anak lelaki muda yang membawa sekitar lapan kilogram bahan letupan.Menurut jurucakap polis, Encik Fazal Maula, akibat letupan itu beberapa balang gas di kedai roti itu meletup dan menyebabkan kebakaran.Sebahagian besar daripada 40 orang yang tercedera berada dalam keadaan serius, kata Encik Fazal.Awal sebelum itu, sebuah bom meletup di sebuah perhentian bas di sebuah daerah di barat laut Matani dan membunuh enam orang serta mencederakan ramain yang lain.Menurut pihak berkuasa, bom itu dipercayai telah ditanam di perhentian bas itu dan bukan akibat tindakan pengebom nekad.Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab di atas kejadian itu, walaupun kumpulan Taleban Pakistan telah mengaku bertanggungjawab bagi serangan- serangan lain yang berlaku baru-baru ini sebagai membalas dendam di atas kematian pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden. -- AP.Cyberita Online Luar Negara

Seluar dalam Madoff dilelong RM599




Bernard Madoff


MIAMI 6 Jun – Seluar dalam milik ketua skim penipuan pelaburan, Bernard Madoff adalah antara barangan yang terjual pada majlis lelongan yang diadakan oleh Perkhidmatan Marsyal Amerika Syarikat (AS) di Pusat Konvensyen Miami Beach, Florida, kelmarin.
Akhbar The Miami Herald melaporkan, sebanyak 14 pasang seluar dalam milik Madoff dilelong dengan harga keseluruhan berjumlah AS$200 (RM599).
Seluar dalam itu adalah antara barangan yang disita bersama beberapa barangan peribadi lain dari bekas rumah agam Madoff berhampiran Palm Beach yang dilelong.
Kebanyakan barangan yang terjual ialah peralatan rumah, termasuk koleksi kasut, kayu golf antik dan beberapa kerja seni.
Gambar yang diambil oleh jurugambar era-kemelesetan, Edward Weston berjudul Nude pula dilelong AS$4,600 (RM13,781).
Menurut akhbar itu, kira-kira 6,000 pembida di dalam talian menyertai lelongan itu dan lebih AS$400,000 (RM1.2 juta) yang diperolehi dalam lelongan itu akan diberikan kepada mangsa skim cepat kaya Madoff.
Madoff yang merupakan bekas pengurus dana Wall Street, kini menjalani hukuman penjara 150 tahun selepas didapati bersalah melakukan penipuan pelaburan yang dianggap terbesar dalam sejarah AS. – REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

3 drone AS bedil Waziristan, 18 suspek militan terbunuh

WANA, Pakistan 6 Jun - Sekurang-kurangnya 18 suspek militan terbunuh apabila Amerika Syarikat (AS) hari ini melancarkan tiga serangan peluru berpandu dengan pesawat tanpa juruterbang atau 'drone' di wilayah Waziristan Selatan di Pakistan, berhampiran sempadan Afghanistan.
Serangan hari ini, yang terbesar sejak Mac lalu, dipercayai menandakan AS sudah mengenal pasti suspek al-Qaeda atau Taliban 'bernilai tinggi' di Waziristan Selatan atau melihat kemunculan ancaman lebih besar dari wilayah itu.
Serangan peluru berpandu dengan drone selalunya tertumpu di Waziristan Utara.
Pelancaran peluru berpandu di kawasan sempadan diperhebatkan sejak pegawai Pakistan berkata, komander kanan al-Qaeda, Ilyas Kashmiri terbunuh dalam serangan drone di Waziristan Selatan lewat Jumaat lalu.
"Peluru-peluru berpandu mengenai pekarangan kem militan di kawasan pergunungan dekat Wana," kata seorang pegawai perisikan tempatan, merujuk kepada pekan utama di wilayah Waziristan Selatan yang didiami penduduk etnik Pashtun.
Dua serangan drone dalam satu operasi mengenai pekarangan itu dan sebuah madrasah berdekatan, menyebabkan 18 orang maut termasuk tujuh warga asing.
Sesetengahnya terbunuh semasa cuba mengambil mayat rakan-rakan yang maut dalam serangan pertama.
Dalam serangan drone berasingan di sempadan di antara Waziristan Utara dan Selatan, satu peluru berpandu mengenai sebuah kenderaan, membunuh tiga anggota militan di sebuah kampung kira-kira 50 kilometer dari lokasi serangan pertama.
Tentera Pakistan melancarkan serangan besar-besaran di Waziristan Selatan pada 2009 ke atas gerila Taliban tempatan, memaksa ramai antara mereka melarikan diri ke Waziristan Utara.
Serangan drone itu ditentang oleh majoriti rakyat Pakistan mereka kerana kerap membunuh penduduk awam dan dilihat sebagai mencabuli kedaulatan negara ini. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

11 maut pertempuran antara kabilah di Tunisia


TUNIS 6 Jun - Seramai 11 orang terbunuh dalam pertempuran selama dua hari di antara kabilah-kabilah yang bermusuhan di kawasan perlombongan di pekan Metlaoui, Tunisia, lapor siaran televisyen semalam, dengan beberapa kedai dipecah masuk dan dibakar.

Mereka bertempur menggunakan bom buatan sendiri, pistol dan batang besi di pekan yang terletak kira-kira 400 kilometer ke barat daya ibu negara ini, selepas khabar angin mengatakan hanya kabilah tertentu yang akan diberikan tawaran kerja di kompleks Fostat, Gafsa yang berhampiran.
Pasukan tentera dalam perjalanan untuk menghentikan pertempuran tersebut dan helikopter tentera dikerahkan ke pekan itu.
"Penduduk ketakutan. Kami berada dalam perang sebenar dan meminta lebih banyak bantuan keselamatan," kata seorang penduduk pekan itu, Ahmed Achouri kepada Reuters menerusi panggilan telefon.
Media tempatan sebelum itu melaporkan jumlah kematian seramai tujuh orang tetapi kemudiannya berkata, seramai 11 orang terbunuh dan lebih 100 yang lain cedera dalam keganasan tersebut.
Tunisia mencetuskan kebangkitan rakyat di beberapa negara Arab apabila protes besar-besaran yang dilancarkan memaksa pemimpin autokratik, Zine al-Abidine Ben Ali disingkirkan pada Januari lepas.
Sejak itu, barisan pemimpin baru negara itu berhempas pulas untuk mengembalikan keamanan.
Pihak berkuasa telah melanjutkan perintah berkurung pada waktu malam bermula dari pukul 4 petang (11 malam waktu Malaysia) hingga 6 pagi (1 tengah hari waktu Malaysia), lapor agensi berita tempatan, TAP.
Seorang lagi penduduk Metlaoui, Hedi Radaoui berkata, pihak keselamatan telah menahan puluhan orang dan merampas senjata api dan pisau. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

80 polis Syria maut bertempur dengan penunjuk perasaan


DAMASCUS 7 Jun - Sekurang-kurangnya 80 orang pasukan keselamatan terbunuh dalam pertempuran yang berlaku di barat laut Syria ketika protes menentang rejim Presiden Bashar al-Assad, lapor stesen televisyen tempatan hari ini.

Menurut aktivis di sana, bilangan rasmi mereka yang terkorban di bandar Jisrash Shugur dimana pasukan keselamatan telah beroperasi di sana selama tiga hari adalah tidak tepat.
“Kumpulan bersenjata melakukan pembunuhan beramai-ramai. Mereka mencacatkan mayat dan membalingnya ke dalam sungai Assi,” katanya. s- AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

Mesir akan tamatkan perintah berkurung di tiga bandar



07/06/2011 11:24am

KAHERAH 7 Jun - Mesir mengumumkan akan menamatkan perintah berkurung yang dikuatkuasakan di Kaherah dan dua buah bandar utama sejak Januari lalu mulai 15 Jun ini.
Pegawai tentera berkata, keputusan menamatkan perintah berkurung yang tercetus kerana pemberontakan menentang bekas Presiden Hosni Mubarak itu dibuat bagi memulihkan keadaan yang normal.
Perintah berkurung selama tiga jam bermula 2 pagi hingga 5 pagi itu dikenakan kepada Kaherah, Alexandria dan Suez. - AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini