AUCKLAND 1 Mei – Seorang wanita di New Zealand terlepas daripada dikenakan denda sebanyak AS$17,000 (RM66,538) gara-gara lewat memulangkan buku yang dipinjam daripada sebuah perpustakaan di sini selama 67 tahun.
Menurut kenyataan Perpustakaan Awam Epsom, wanita yang dirahsiakan namanya itu turut memulangkan kad asal pinjaman buku berkenaan yang tertera tarikh 17 Disember 1948.
“Seorang pelanggan datang ke perpustakaan dan memulangkan buku yang dipinjam sejak 67 tahun lalu.
“Dia mengaku tidak sengaja membawa buku tersebut apabila berpindah ke Auckland bersama keluarganya,” jelas kenyataan itu.
Staf perpustakaan, Zoe Cornelius berkata, buku tersebut berada dalam keadaan baik apabila dipulangkan dan wanita berkenaan tidak dikenakan sebarang denda lewat memandangkan dia meminjam buku terbabit ketika masih kanak-kanak.
“Kanak-kanak tidak tertakluk pada peraturan tersebut, jadi dia terlepas daripada denda.
“Dia berasa malu kerana lewat memulangkan buku berkenaan, tetapi turut berasa gembira kerana telah banyak kali membaca bahan bacaan tersebut sejak berpuluh-puluh tahun lalu,” katanya.
No comments:
Post a Comment