FUJIAN 1 Mei – Seorang sami menerima penghormatan daripada sebuah tokong di Quanzhou, tenggara China apabila mayatnya yang telah diawet disadur dengan emas, baru-baru ini.
Menurut laman Daily Mirror, Fu Hou meninggal dunia pada 2012 ketika berusia 94 tahun.
Jasadnya sebelum itu telah diawet dan disimpan di dalam sebuah bekas besar.
Hou dikatakan menerima penghormatan tersebut kerana telah menghabiskan sebahagian besar hayatnya di Tokong Chongfu selepas mula menjadi sami pada umur 17 tahun.
Sebaik sahaja disahkan mati, mayatnya terus dibersihkan dan diawet oleh dua pakar sebelum dimasukkan ke dalam bekas besar itu dalam keadaan bertafakur.
Akhbar The Telegraph melaporkan, upacara ‘pengebumian sementara’ itu dibuat mengikut agama Buddha sepenuhnya.
Selepas beberapa tahun ‘disemadikan’ dalam bekas besar itu, jasad Hou yang masih berada dalam keadaan yang baik itu dikeluarkan.
Proses menyadur mayatnya dengan lapisan emas dimulakan dengan membersihkan jasad Hou dengan alkohol sebelum tubuhnya dibalut dengan beberapa helaian kain.
Jasad Hu seterusnya disapu dengan sejenis syelek khas sebelum disadur dengan emas di Tokong Puzhao sebagai penghormatan terhadap sami berkenaan.
Keseluruhan proses tersebut mengambil masa tiga bulan dan jasad Hou akan dipamerkan di Tokong Chongfu.
No comments:
Post a Comment