Herbert Chavez sangat meminati Superman sehingga sanggup melakukan pembedahan plastik bagi menyerupai wajah superhero itu. Agensi
CALAMBA CITY 30 Jun – Seorang peminat tegar Superman di Filipina, yang sebelum ini sudah membelanjakan wang sebanyak £4,400 (RM26,111) untuk menjadi seperti wira kegemarannya itu, telah ditolak permintaannya untuk melakukan pembedahan otot perut bagi kelihatan sasa.
Portal berita Daily Mail melaporkan, Herbert Chavez, 37, yang telah melalui 23 pembedahan plastik, dihalang oleh doktor untuk melakukan pembedahan seterusnya di bahagian perut setelah mengetahui dia melakukan suntikan bahan terlarang di bahagian perutnya sebelum ini untuk kelihatan sasa.
Chavez yang turut memakai kanta lekap berwarna biru, mahu doktor bedah menjadikan perutnya kelihatan seperti otot perut Superman.
Dr. Terry Dubrow dan Dr. Paul Nassif enggan melakukan pembedahan itu selepas mengetahui Chavez pernah menyuntik MesoLipo, sejenis bahan terlarang yang diharamkan di Amerika Syarikat (AS) di perutnya.
Akibat tindakannya itu, Chavez kini mengalami kesan berbintik-bintik dan lebam di perutnya.
“Superman ini perlu pergi ke gimnasium. Otot perut seperti wira sepatutnya diperolehi melalui senaman dan pemakanan yang betul,” kata Dr. Dubrow.
Chavez yang menyukai coklat berkata, dia berasa kecewa apabila doktor enggan melakukan pembedahan tersebut.
“Saya tidak menyesal. Mengapa mesti saya menyesal? Semua yang telah berlaku dalam hidup saya ini adalah positif dan demi Superman.
“Apabila badan saya sendiri tidak lagi boleh bertahan, atau apabila doktor menyatakan badan saya tidak boleh lagi menghadapinya kerana faktor usia, maka ketika itu saya akan berhenti,” kata Chavez yang mula jatuh cinta dengan watak itu ketika berusia lima tahun selepas menontonnya di televisyen.
No comments:
Post a Comment