Pages

Tuesday, June 30, 2015

24 Jam Satu Saat Hari Ini


Diterbitkan: Selasa, 30 Jun 2015 10:13 AM

KUALA LUMPUR: Waktu harian seluruh dunia akan bertambah satu saat hari ini berikutan fenomena dikenali sebagai saat lompat.
Pegawai Sains Agensi Angkasa Negara, Mohd Zamri Shah Mastor berkata, ini bermaksud waktu keseluruhan pada hari ini akan menjadi 24 jam satu saat.
Beliau menarik perhatian bonus satu saat' ini adalah berikutan faktor kadar putaran bumi di atas paksinya yang perlahan.
Kadar putaran bumi antara lain, beliau berkata dipengaruhi faktor pergerakan kutub, geseran pasang surut air laut, interaksi pusat bumi dengan lapisan tengah bumi dan cuaca.
"Faktor-faktor ini boleh menyebabkan putaran bumi sama ada semakin perlahan atau cepat, jadi fenomena saat lompat ini juga bukan sesuatu yang tetap, ia bergantung kepada putaran bumi," katanya kepada Bernama, di sini, Isnin.
Mohd Zamri berkata bonus satu saat itu akan diperoleh di penghujung Selasa.
Dalam hal ini, beliau berkata International Earth Rotation and Reference Systems (IERS) yang berpangkalan di Paris dan berfungsi sebagai badan pemantau putaran bumi akan menyeragamkan waktu piawaian dunia (UTC) mengikut kadar putaran bumi yang sebenar.
"Walaupun bertambah cuma satu saat dan ramai yang terlepas pandang, namun pertambahan waktu ini memberi kesan kepada industri yang berorientasikan pemasaan kepersisan tinggi, katanya.
Setakat ini, menurut Zamri, UTC telah ditambah satu saat sebanyak 25 kali sejak tahun 1972 dengan kali terakhir pada 1 Julai 2012.
Sementara itu, Pengetua Kanan Metrologi, Makmal Metrologi Kebangsaan, Sirim Berhad, Dr Mohd Nasir Zainal Abidin, ketika ditanya sama ada masa, antara lain, di telefon bimbit perlu diselaraskan secara manual, beliau berkata semua alat elektronik akan disegerakan secara automatik ke masa rangkaian pelayan protokol.
Begitu juga dengan komputer saling berkaitan atau rangkaian, katanya sambil menambah bahawa isu kemasukan saat lompat hanya kritikal pada pelayan.
Ditanya kemungkinan pelayan gagal berfungsi dengan baik esok, beliau menjelaskan apa yang berlaku pada fenomena yang sama pada Jun 2012 berlaku pada hujung minggu.
"Walaupun begitu, 10 peratus masa protokol rangkaian pelayan di seluruh dunia melakukan kesilapan. Kebanyakan pelayan dapat ditetapkan dalam masa sejam tetapi beberapa pihak lain mengambil masa sehari," katanya, sambil menambah di Australia, sistem daftar masuk penerbangan ekoran saat tambahan telah menjejaskan laman web popular.
Oleh itu, bagi hari kerja biasa esok, beliau menasihatkan langkah berjaga-jaga dalam perniagaan dalam talian, sistem rangkaian, pembekal perkhidmatan internet, perkhidmatan notari masa digital dan aplikasi seperti MySQL, Hadoop dan Cassandra.
"Beberapa pembekal perkhidmatan sedang mengambil langkah untuk menggantung atau menghentikan operasi untuk beberapa jam sebelum dan selepas perubahan masa. Adalah sukar untuk menyatakan dengan tepat kerana ini tidak banyak dilaporkan.
"Walau bagaimanapun, masalah ini tidak boleh diabaikan kerana jumlah besar transaksi perniagaan boleh berlaku dalam masa sesaat. Tambahan pula, transaksi tidak terhad kepada zon masa tunggal," katanya. - Bernama

No comments: