Seorang broker muda di London dipaksa makan sebanyak lapan biji burger pada majlis meraikan kakitangan baharu di syarikatnya hingga mengakibatkan dia jatuh sakit. AGENSI
LONDON 12 April – Seorang broker muda di kota raya ini dilapor dipaksa makan sebanyak lapan biji burger pada satu majlis meraikan kedatangan kakitangan baharu di sebuah syarikat broker komoditi antarabangsa hingga mengakibatkan dia jatuh sakit.
Video kejadian buli itu mula tersebar di Internet sejak kelmarin menunjukkan pekerja baharu berusia 23 tahun itu dipaksa makan satu demi satu burger, sambil dikelilingi rakan sekerjanya yang bersorak dan bertaruh ratusan pound jika broker muda itu berjaya menghabiskan makanan tersebut.
Menurut Mail Online yang tidak mendedahkan nama mangsa buli itu, broker muda itu dilihat sakit teruk semasa dia dan beberapa kakitangan baharu lain cuba makan lapan biji burger beserta keju di pejabat mereka di daerah kewangan, London dalam tempoh 60 minit.
Video berdurasi 1 minit 41 saat itu bermula dengan broker muda berpakaian kasual itu duduk di mejanya yang penuh dengan longgokan burger sebelum dia dipaksa makan kesemua burger tersebut oleh rakan sekerjanya dalam tempoh yang ditetapkan.
Broker itu dilihat menyahut cabaran itu dan makan burger berkenaan diselangi dengan minum air, sebelum dilihat jatuh sakit sambil memegang kepalanya.
Rakaman video itu mendapat kecaman orang ramai dan menyifatkan kejadian itu sebagai budaya terburuk berlebihan di London.
Jurucakap syarikat itu berkata, mereka sedar tentang kejadian itu yang mula berlaku pada tahun lalu dan akan menangani perkara itu secara dalaman serta mengambil tindakan serius terhadap suspek.
No comments:
Post a Comment