JENNY Bone pulih semula selepas mendengar perbualan suaminya yang enggan memenuhi permintaan doktor bagi menutup alat bantuan pernafasannya. AGENSI
LONDON 18 Mac – Seorang wanita Britain yang hanya mempunyai harapan tipis untuk hidup akibat sejenis penyakit ganjil, kembali tersedar daripada koma apabila terdengar doktor meminta kebenaran suaminya bagi memadamkan alat sokongan hidup.
Portal berita Mail Online melaporkan, kisah dramatik itu dialami Jenny Bone yang mengalami kerosakan otak teruk akibat serangan jantung dan sekadar mampu terbaring serta mendengar perbualan tentangnya.
Ketika menceritakan detik-detik cemas itu, Jenny, 40, berkata, segalanya bermula pada 14 Mac tahun lalu apabila dia pengsan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Bedfordshire akibat rasa pening.
Tambahnya, apabila dimasukkan ke Hospital Dunstable and Luton, doktor mendapati dia mungkin menghidap sindrom Guillain-Barre yang menyebabkan sistem imun badannya menyerang sistem saraf, sekali gus mengakibatkan otak tidak mampu mengawal otot.
Jelas wanita itu, beberapa jam kemudian, dia mengalami serangan jantung dan pernafasannya terhenti menyebabkan doktor terpaksa menggunakan alat sokongan hidup selain ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
“Beberapa hari kemudian, doktor membangkitkan persoalan sama ada mahu menutup alat sokongan hidup kerana mereka tidak pasti otak saya masih berfungsi akibat kekurangan oksigen dan cuba menghidupkan semula jantung saya.
“Saya juga tidak memberikan sebarang maklum balas ketika dirawat, membuatkan doktor berfikir saya tidak mempunyai peluang untuk sembuh,” katanya.
Malah Jenny mengakui, dia pernah menyuruh suaminya, John untuk mengakhiri hidupnya jika dia hilang upaya akibat sindrom tersebut, tetapi dia rasa bersyukur kerana pasangannya itu menolak permintaan doktor.
“Walaupun koma, saya masih mampu mendengar perbualan di sekeliling saya dan paling diingati ketika doktor meminta kebenaran John untuk memadamkan alat sokongan hidup kerana merasakan saya tidak mempunyai harapan untuk hidup secara normal semula.
“Malah, saya rasa bersyukur kerana suami saya tidak bersetuju dengan permintaan tersebut,” kata Jenny yang kini semakin pulih dan sihat.
No comments:
Post a Comment