MINGXI (tengah) tidak kenal putus asa meraikan kepulangan semula anaknya yang terpisah selama 26 tahun di kampungnya di wilayah Hebei, China. AGENSI
BEIJING 20 Mac - Penat jerih seorang ibu di China untuk mencari anak lelakinya yang terpisah sejak 26 tahun lalu terbalas, selepas mereka akhirnya dipertemukan semula, dalam satu pertemuan yang berlangsung penuh emosi di wilayah Hebei, baru-baru ini.
Mereka dipertemukan selepas seorang lelaki mengecam gambar yang dibawa oleh wanita itu semasa dia tampil dalam satu program televisyen dan mendakwa, lelaki gambar itu adalah rakannya yang kini dikenali sebagai Jiang Xi dan berada di Angola.
Menurut laporan People’s Daily Online yang dipetik Mail Online, Lan Mingxi, 53, memutuskan untuk mencari anak lelakinya, Li Wei, yang diculik dua individu tidak dikenali semasa berumur empat tahun pada 1989, sebagai langkah terakhir menyelamatkan anak perempuan mereka, Li Dan yang disahkan menghidap leukaemia.
Hal ini kerana, dia dan bekas suaminya itu tidak layak menjadi penderma tulang kerana tidak sepadan dengan anaknya itu.
Untuk mencari Wei, Mingxi menulis sebanyak 10,000 pucuk surat dan tampil dalam program televisyen berpuluh-puluh kali, sambil memegang gambar Wei yang diambilnya ketika anaknya itu baru berusia tiga tahun.
Malah, bagi menjayakan rancangannya, Mingxi sanggup untuk memasuki rangkaian sindiket penyeludupan kanak-kanak, namun usahanya gagal selepas misinya terbongkar.
Namun, bagai jatuh ditimpa tangga, suami Mingxi bertindak menceraikannya selepas tertekan dengan kehilangan anaknya itu dan wanita itu perlu menyara seorang lagi anak mereka, Li Dan.
Sementara itu, Wei, 30 yang kini bekerja sebagai pemandu lori di Angola, kemudiannya dimaklumkan tentang gambar yang tersebar itu dan pulang ke China untuk memperbaharui visanya sambil mengambil ujian darah bagi mengesahkan statusnya yang kemudiannya disahkan sepadan.
Wei dan Mingxi akhirnya dipertemukan pada satu majlis penuh emosi di kampung ibunya, dengan lelaki itu yang selama ini menyangka bahawa dia adalah anak yatim turut membawa anaknya yang kini berumur empat tahun ke majlis itu, umur yang sama semasa dia hilang.
“Saya mencari anak saya selama 26 tahun dan tidak pernah berputus asa kerana percaya dia masih berada di ‘luar sana’. Kini sukar bagi saya untuk percaya kerana kedua-dua anak saya kini sudah bersama saya ditambah dia sudah berkahwin, dan saya kini mempunyai seorang cucu,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment