Pages

Friday, September 26, 2014

Mohamed popular di Israel

Nama Mohamed dilaporkan menjadi nama bayi lelaki paling popular yang menjadi pilihan ibu bapa di Israel tahun ini. - AGENSI
TEL AVIV 25 Sept. - Nama Mohamed dilaporkan menjadi nama paling popular bagi bayi lelaki yang dilahirkan di Israel pada tahun ini.
Nama itu menjadi pilihan ibu bapa di Israel, namun Lembaga Populasi dan Imigresen Israel cuba 'menyembunyikan' perkara itu daripada senarai rasmi mereka.
Perkara itu didedahkan agensi tersebut pada minggu ini, selepas senarai nama 10 kanak-kanak lelaki dan perempuan paling popular yang dilahirkan di Israel didedahkan, lapor Mail Online.
Bagaimanapun, mereka tidak memasukkan nama bayi Arab termasuk Mohamed yang sepatutnya berada pada kedudukan teratas bagi senarai kanak-kanak lelaki termasuk nama Ahmed yang sepatutnya berada pada kedudukan kesembilan.
Sebaliknya, pihak berkuasa itu mendakwa nama yang paling banyak digunakan bagi kanak-kanak lelaki yang dilahirkan dalam tempoh 12 bulan lalu adalah Yosef, Daniel, Uri, Itai, Omer, Adam, Noam, Ariel, Eitan dan David.
Agensi itu pada masa sama menyenaraikan nama Tamar sebagai nama kanak-kanak perempuan paling popular, sekali gus mengenepikan nama Noa di tempat kedua selepas menduduki tangga teratas selama 14 tahun berturut-turut.
Nama popular lain bagi kanak-kanak perempuan Israel ialah Shira, Adele, Talya, Yael, Lian, Miriam, Maya and Avigayil. Lian, Miriam (Maryam) dan Maya yang digunakan bukan sahaja oleh orang Yahudi tetapi juga orang Arab.
Pihak berkuasa berkenaan menerima tekanan hebat selepas didakwa oleh portal berita Haaretz cuba menyembunyikan nama Arab daripada senarai nama kanak-kanak lelaki yang dilahirkan di Israel.
Menurut portal itu, beberapa nama Arab secara statistik lebih popular berbanding senarai yang dikeluarkan pihak berkuasa itu termasuk nama Mohamed.
Lembaga Populasi dan Imigresen Israel, bagaimanapun membalas dakwaan itu dengan menyifatkan senarai itu menggambarkan minat media bagi nama-nama popular dalam bahasa Hebrew dan mereka tidak berniat menyembunyikan maklumat tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140926/lu_09/Mohamed-popular-di-Israel#ixzz3ENCxWS2H
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: