Pages

Monday, September 15, 2014

Ribut solar hasilkan fenomena menakjubkan aurora


Ribut solar kedua dilaporkan melanda bumi Jumaat lalu, menghasilkan pemandangan aurora yang menakjubkan. - AGENSI
SYDNEY 14 Sept. - Ribut solar kedua dilaporkan melanda bumi Jumaat lalu, menghasilkan satu fenomena langit berwarna-warni pada waktu malam di sepanjang kawasan Kutub Utara dan Selatan.
Akhbar Sydney Morning Herald memetik kenyataan Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) kelmarin yang menyatakan, ribut berkenaan sudah memasuki fasa utamanya dan bergerak pada tahap kelajuan G3.
"Berdasarkan kepada perubahan angin solar, fenomena tersebut dijangka berterusan untuk beberapa jam dan ini merupakan peluang baik kepada pemerhati aurora.
"Bagaimanapun, pihak kami akan mengeluarkan amaran kecemasan jika berlakunya sebarang ancaman ribut kuat," jelas NOAA.
Ribut solar kedua yang terhasil daripada letupan magnetik matahari melanda bumi awal pagi kelmarin, selepas berlaku ribut pertama pada hari sebelumnya.
Saintis berkata, ribut berkenaan menyebabkan berlakunya gangguan pada sistem satelit dan transmisi radio.
Seorang kakitangan dari pusat ramalan cuaca, Bill Murtagh berkata, syarikat komunikasi, pengangkutan dan jana kuasa turut bersiap sedia dan mengambil langkah sewajarnya untuk meminimumkan impak hasil daripada ribut berkenaan.
Bagaimanapun, gangguan besar tidak berlaku walaupun ribut yang terhasil boleh diklasifikasikan dalam kategori 'kelas X' iaitu nyalaan api paling panas.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140915/lu_08/Ribut-solar-hasilkan-fenomena-menakjubkan-aurora#ixzz3DKjt2N13
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: