MEXICO CITY - MEXICO. Sekurang-kurangnya empat orang termasuk seorang bayi maut manakala puluhan lagi cedera selepas gempa berkekuatan 6.9 skala Richter menggegar sempadan Mexico dan Guatemala, menurut pihak berkuasa, kelmarin.

Jurucakap pasukan bomba dan penyelamat memaklumkan lebih 40 kediaman di San Marcos turut musnah dalam insiden itu.

"Gegaran kuat tersebut juga telah menyebabkan bekalan elektrik terputus dan kejadian tanah runtuh di sekitar kawasan terbabit," menurutnya.

Sementara itu menurut laporan Press TV, Presiden Guatemala, Otto Perez memberitahu gempa tersebut hanya mengakibatkan kemusnahan infrastruktur sederhana.

Pusat Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat memaklumkan pusat gempa itu berada pada kedalaman 60 kilometer (km) dan terletak 22 km di barat daya bandar Tapachula di Chiapas.