Kes Amuk JPM: Highlander dan Power Rangers
Keratan Akhbar muka depan 14 Julai lalu
Kes Amuk JPM: Highlander dan Power Rangers
Muhdalena Ahmad, 28, memakai topeng ketika meninggalkan perkarangan Mahkamah Sesyen Putrajaya di sini hari ini. -Foto Bernama
SHAH ALAM – Kejadian amuk di pekarangan Kompleks B Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 9 Julai lalu yang mengejutkan negara memasuki bab baru apabila salah seorang yang didakwa penyerang, Muhdalena Ahmad, 28, memulakan prosiding mahkamah.

Muhdalena, yang tiba di Mahkamah Putrajaya dengan topeng Power Rangers berwarna merah, mengingatkan semula kepada pengakuan suaminya, Mohd Irwan Mohd Foad, 28, seperti yang dilaporkan Sinar Harian sebelum ini.

Dalam laporan itu, Mohd Irwan berkata Muhdalena pernah muncul dalam mimpi penyerang lelaki yang mati ditembak, Khalil Afandi Abd Hamid, 47, dengan memakai baju kurung merah, mungkin sebab itu dia memilih Power Rangers merah dan tidak Batman atau Transformers.

Malah, lebih mengejutkan, Mohd Irwan mendedahkan Khalil Afandi sentiasa membayangkan dirinya watak utama filem Highlander dan tidak pernah mati kerana bertukar-tukar jasad dan menegaskan isterinya adalah insan terpilih untuk bersamanya menumbangkan kerajaan yang kononnya tidak mengamalkan pemerintahan Islam.

Malah, Khalil Afandi turut menggunakan internet sebagai medium menyebarkan fahamannya dan mempunyai beberapa orang pengikut taksub.
Muhdalena, yang merupakan bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mendatangkan cedera parah kepada seorang anggota polis Ridzuan Megat Ahmad manakala bagi tuduhan kedua, dia didakwa membawa sebilah pedang.

Sebelum ini, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya yang diadakan di wad ortopedik Hospital Putrajaya di mana dia sedang menerima rawatan akibat daripada kecederaan yang dialaminya dalam kejadian itu.