Pages

Thursday, August 30, 2012

Tentera Syria gempur timur Damsyik



Kepulan asap tebal kelihatan di bandar Ain-Terma, pinggir Damsyik setelah askar kerajaan menggempur beberapa kawasan di pinggir ibu negara Syria, semalam. - REUTERS
BEIRUT 28 Ogos - Tentera Syria menggempur kawasan timur Damsyik awal pagi ini selepas melancarkan serangan udara menggunakan helikopter di ibu negara itu yang menyebabkan 60 orang maut, semalam.
Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, kejadian itu berlaku selepas 190 orang termasuk 116 orang awam, 40 anggota pemberontak dan 34 askar maut di seluruh Syria, semalam.
Agensi yang berpangkalan di Britain itu melaporkan serangan sengit dilancarkan di Zamalka, Qaboon, Jubar dan Ein Tarma sejak malam tadi.
Selepas melancarkan serangan besar-besaran di kawasan barat daya Damsyik pada minggu lepas yang menurut pemberontak, melibatkan pembunuhan besar-besaran di bandar Daraya, tentera kini memberi fokus kepada kawasan Ghuta, kawasan pinggir Damsyik.
Jaringan aktivis, Majlis Agung Revolusi Syria, berkata, tentera melancarkan serangan ke atas Harasta dan Irbin, kawasan luar bandar di timur Damsyik.
Ia melaporkan serangan meriam dilancarkan dari Harasta ke pusat bandar ketika helikopter dan jet pejuang dilihat meronda di udara.
Dalam pada itu, Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, tujuh lagi mayat yang masih belum dikenal pasti ditemui di Daraya, manakala 14 mayat yang lain ditemui di kawasan lain di wilayah itu.
Aktivis berkata, lebih 300 mayat ditemui sejak Ahad lalu di Daraya selepas tentera pimpinan Presiden, Bashar al-Assad melancarkan serangan berat sejak lima hari lalu. - AFP

No comments: