Pages

Thursday, August 30, 2012

Tentera Syria, pemberontak bertempur dekat lapangan terbang



BEIRUT 29 Ogos - Satu pertempuran sengit berlaku antara tentera Syria dengan pemberontak berdekatan lapangan terbang tentera Taftanaz yang terletak antara Aleppo dan Idlib, hari ini.
Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, letupan boleh didengari di lapangan terbang itu, pangkalan yang menempatkan pesawat pejuang dan helikopter untuk menggempur kubu pemberontak di dua bandar berkenaan.
Taftanaz sebelum ini pernah beberapa kali diserang oleh pemberontak yang berkubu di Aleppo dan Idlib.
Pertempuran di Aleppo berlanjutan sejak sebulan lalu dengan tentera gagal mengundurkan pemberontak dari bandar tersebut.
Pemantau Hak Asasi Manusia Syria menyatakan, seramai 189 orang termasuk 143 orang awam, 14 pemberontak dan 32 askar terbunuh di seluruh negara, semalam.
Sementara itu, Turki akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mewujudkan satu 'kawasan selamat' di Syria bagi menempatkan dan melindungi beribu-ribu rakyat Syria yang menyelamatkan diri dari konflik tersebut.
"Ankara mahu PBB melindungi pelarian dan membina kem pelarian di dalam Syria sendiri,'' kata Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu sebelum berlepas ke New York bagi menghadiri satu mesyuarat Majlis Keselamatan.
Turki berkata, Ankara akan menghadapi masalah jika terpaksa menempatkan lebih ramai pelarian di sana yang kini mencecah lebih 80,000 orang.
Dalam pada itu, lebih 20 anggota polis cedera akibat dibaling batu oleh pelarian Syria di sebuah kem di utara Jordan semalam, selepas kem itu menerima kemasukan pelarian dalam jumlah yang besar sejak beberapa hari lalu.
Seorang pegawai kerajaan yang enggan dikenali berkata, berpuluh-puluh pelarian Syria melancarkan tunjuk perasaan di kem Zaatari kerana tidak berpuas hati dengan tahap kehidupan mereka di tempat itu.
"Beberapa pelarian bertindak membaling batu ke arah polis dan menyebabkan lebih 20 anggota cedera. Bagaimanapun tidak ada yang maut dalam insiden itu," kata pegawai itu. - AFP

No comments: