Sebuah helikopter milik tentera kerajaan ditembak jatuh oleh pemberontak, kelmarin.
Sebuah helikopter milik tentera kerajaan ditembak jatuh oleh pemberontak, kelmarin.
DAMSYIK - Sekurang-kurangnya 60 terkorban selepas dua jet pejuang milik tentera  kerajaan melancarkan serangan bertubi-tubi di pinggir Damsyik, menurut aktivis, kelmarin.

Mereka menyatakan insiden lewat malam kelmarin itu dipercayai adalah serangan balas susulan daripada tindakan Tentera Pembebasan Syria (FSA) menggempur dan menawan beberapa pusat pemeriksaan askar kerajaan di pinggir Saqba.

Difahamkan, serangan itu juga menyasarkan kawasan kejiranan Zamalka yang dihuni penduduk miskin dan majoriti pengikut Sunnah (penentang kuat Presiden Bashar al-Assad).

Menerusi rakaman video yang diperoleh oleh media antarabangsa menunjukkan penduduk termasuk kanak-kanak lari bertempiaran menyelamatkan diri selepas salah sebuah jet pejuang melancarkan peluru berpandu ke arah apartmen enam tingkat di pinggir ibu negara.

"Serangan jet pejuang itu adalah yang pertama kali di pinggir Damsyik. Ia dilihat berlegar-legar di ruang udara sebelum bertindak melancarkan serangan bertalu-talu," menurut seorang aktivis yang enggan mendedahkan identitinya.

Dalam satu kejadian berasingan, kumpulan pemberontak memaklumkan mereka telah menembak jatuh sebuah helikopter di Damsyik, sehari selepas pasukan keselamatan Assad melakukan pembunuhan beramai-ramai di bandar Daraya.