Tahanan di Guantanamo: 'Harapan keluarga Pak Amin' - Nasional - Sinar Harian:
'via Blog this'
“Abah, mana ada ikan kat tepi sungai ni?” rengek Farik.
Farik disuruh Pak Amin memancing ikan di tebing sungai kerana jorannya pendek.
“Ada, Ham percaya la cakap abah,” Pak Amin menjawab tenang sambil sampan yang didayung menyusur ke tengah sungai.
Seketika kemudian, Farik menjerit kegembiraan. Tilapia sebesar lengan dapat dinaikkan.
“Ha, kan abah dah kata, banyak ikan besar di tepi tu,” Pak Amin tersenyum.
Kenangan bahagia itu masih segar dalam ingatan.
Itulah singkapan sejarah yang diceritakan Pak Amin, 76, bapa kepada Mohd Farik semasa ditemui penulis di rumahnya di pinggir ibu negara.
“Pakcik dengan Ham selalu sama-sama pergi memancing. Kami macam sahabat,” katanya.
“Siapa Ham tu pakcik?” Penulis memotong cerita Pak Amin.
“Oh, Ham tu nama panggilan Farik,” jawabnya sambil tersenyum.
“Macam mana boleh dapat nama tu pakcik?” Penulis bertanya lagi.
Pak Amin menceritakan sejarah nama itu. Senyuman tidak lekang dari bibirnya.
“Masa kecik, dia suka makan makanan pedas. Setiap kali pedas, dia akan buat bunyi ‘ham...ham...’ sebab tak tahan. Itu yang dapat nama panggilan Ham. Sampaikan dia sendiri yang gelar diri dia macam tu,” cerita Pak Amin sambil tertawa kecil. Dia seolah membayangkan anak kecil itu ada di depan mata.
Mata tua itu bercahaya setiap kali mengingati saat-saat bahagia sebelum anaknya ditahan di kem Guantanamo, Cuba, iaitu pusat tahanan milik tentera Amerika Syarikat (AS).
Namun, wajah penuh ketenangan itu kemudian bertukar muram.
“Dah lama sangat pakcik tunggu Ham balik. Pakcik terlalu rindukan dia,” Pak Amin sebak. Riak sedih terpamer di mukanya.
“Tetapi pakcik tak pernah berhenti berdoa. Bersabar...” katanya penuh harapan.
Pak Amin mengaku, hatinya remuk apabila melihat gambar tahanan Guantanamo diseksa dan menerima layanan buruk.
“Kalau betul pun Ham bersalah, biarlah dia kena tahan di Malaysia. Di tanah air sendiri.”
Pak Amin mengingati kembali janji Presiden AS, Barack Obama untuk menutup kem Guantanamo sebaik beliau berkuasa, pada 2008. Tetapi dia kecewa kerana sehingga kini, tempat itu masih dibuka.
Bekas pekerja kilang papan yang mempunyai masalah lemah jantung dan sakit buah pinggang itu kemudian menceritakan semula keadaan mereka sekeluarga selepas anaknya ditahan tentera AS.
Katanya, dia ada menerima panggilan telefon yang memberitahu Farik ditahan pada 2003, tetapi tidak dapat mengesahkan berita itu.
“Masa tu, ada orang telefon, pakcik pun tak pasti sama ada itu Ham atau kawan dia. Tapi belum pun sempat perbualan tamat, talian terputus,” katanya.
Kata Pak Amin, mereka sekeluarga sebenarnya tidak mendengar khabar berita daripada Farik buat beberapa tahun selepas 2003. Dan dia juga langsung tidak tahu anaknya itu telah ditahan di Thailand.
“Bila dah dekat tiga tahun tak dengar khabar berita, macam-macam sangkaan timbul. Sampaikan pakcik dan makcik sangka Farik menjadi mangsa tsunami pada 2004,” katanya.
Namun, tidak lama selepas itu, semasa Pak Amin sedang membersihkan rumput di hadapan rumah, dia dikunjungi pegawai polis yang mengesahkan anaknya ditahan oleh AS.
“Jiwa pakcik menjadi kosong bila mendengar berita tu.”
Sejak itu, Pak Amin hanya mampu berserah kepada ALLAH SWT dan mengutus doa kepada anaknya itu.
“Siapalah kami. Kami tidak mampu jumpa dengan orang atasan untuk mintak bantuan. Hanya kepada ALLAH SWT kami mengadu nasib,” katanya.
Lama bersembang, penulis kemudian bertanya sama ada Farik ada menghantar khabar berita sepanjang ditahan hampir 10 tahun lalu.
Hati penulis terasa sayu melihat kudrat tua itu bergegas bangun. Mencari kad raya yang dikirim Farik dari Guantanamo untuk ditunjukkan.
“Setiap kali dapat kad atau surat daripada Ham, hati pakcik dan makcik terasa sedikit lapang walaupun banyak isi kandungan surat Ham dah dipotong (oleh tentera AS).”
Kata Pak Amin, mereka berbalas surat melalui Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) yang menjadi orang tengah.
Bila ditanya apakah harapan Pak Amin mengenai Farik, dia hanya menjawab ringkas.
“Hanya satu. Pakcik harap penjara Guantanamo ditutup. Jadi Farik akan pulang.”
Pak Amin memandang kejauhan. Lama dia terdiam melayan fikirannya.
Kemudian dia bergumam, “Abah ni dah tua…” katanya penuh makna. Seolah-olah mengharapkan bayu petang mengirim bisikan itu kepada anaknya yang kini berada jauh ribuan batu di hujung dunia.
Dapatkan laporan eksklusif dalam Sinar Harian terbitan hari Isnin, 21 Mei 2012.
Pautan laporan berita berkaitan - Tahanan di Guantanamo: Malaysia pernah bincang dengan FBI
Pautan laporan berita berkaitan - Tahanan di Guantanamo: 'Harapan keluarga Pak Amin'
Pautan laporan berita berkaitan - 'Pulangkan anak kami'
Pautan laporan berita berkaitan - Tahanan di Guantanamo: Malaysia pernah bincang dengan FBI
Pautan laporan berita berkaitan - Tahanan di Guantanamo: 'Harapan keluarga Pak Amin'
Pautan laporan berita berkaitan - 'Pulangkan anak kami'
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment