Nasib 2 rakyat Malaysia di Guantanamo
Nasib 2 rakyat Malaysia di Guantanamo
"Pulangkan anak kami"
Mak Mah, 70
HAMPIR 10 tahun. Itu tempoh penuh penderitaan bagi keluarga Mohd Farik Amin dan Mohd Nazir Lep, dua tahanan Malaysia di Teluk Guantanamo, Cuba yang dituduh terlibat dengan aktiviti keganasan­ oleh Amerika Syarikat.
Tanpa perbicaraan di mahkamah, tuduhan itu kekal menjadi dakwaan kosong.
“Makcik rindu sangat. Teringin nak jumpa Ham. Jangan sampai makcik pejam mata baru Ham dapat pulang...,” ibu tua itu merintih. Hatinya pilu setiap detik. Wajah anak kesayangannya sudah lama tidak dapat ditatap.
Rindu Mak Mah, 70, terhadap anaknya, Mohd Farik Amin atau Ham sudah berat. Sarat.
Farik kini ditahan di penjara Guantanamo, Cuba oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.
“Setakat ini belum ada pertuduhan. Tidak ada kata putus. Entah apalah kesudahan nasib Ham...”
Suara Mak Mah semakin sayu. Hatinya semakin hiba mengenang nasib si anak. Entah sempat entahkan tidak untuk menatap wajah Farik lagi, itu yang bermain di fikirannya.
Hujung kain tudungnya dipegang. Air mata yang semakin lebat menitis dikesat.
“Teringin sangat nak jumpa dia. Rindu yang makcik tanggung hanya ALLAH saja yang tahu.
“Makcik dah makin uzur… darah tinggi… kencing manis… gastrik...,” luah kerinduan diulang-ulang. Jelas, hati Mak Mah sudah tidak tertahan menanggungnya.
Air matanya dikesat lagi. Tiada suara yang kedengaran. Mak Mah terdiam. Dia menekur lantai.
Hanya bunyi kipas siling yang kedengaran. Anginnya tidak berdaya menghalau bahang panas matahari yang menyelinap ke dalam rumah papan separuh batu itu.
Penulis terasa resah. Badan berpeluh. Bimbang seandainya Mak Mah enggan meneruskan bicara.
Mata penulis tidak lepas memerhati reaksi Mak Mah. Dia membetul simpuh. Mak Mah kembali menyambung cerita. Syukur...
“Bila makcik terima berita Ham kena tangkap, badan, tangan, kaki makcik jadi kebas. Makcik seperti lumpuh. Tak boleh berjalan. Makcik benar-benar terkejut. Sampai hari ini, rasa kebas tidak mahu hilang,” kata Mak Mah.
Rindu Mak Mah pada Farik tidak mampu dizahirkan dengan kata-kata. Bukan hanya terasa waktu mata terbuka, tubuh terjaga. Malah hingga terbawa-bawa dalam tidurnya.
“Makcik selalu mimpi dia datang. Kadang-kadang makcik terasa macam bayang dia ada di depan mata.
“Masa makcik tunaikan haji pada 2007, semasa dalam bas di Makkah, macam ada bayangan Ham berlari ke arah makcik. Masa tu, makcik betul-betul terkejut.”
Kata Mak Mah, dia pernah ke Makkah bersama Farik pada 1997.
Mak Mah bercerita yang Farik ada mengirim surat dan kad lebaran Aidilfitri dari penjara. Namun lembaran kertas yang sampai tidak mampu mengubat rasa. Dia mahu bersua muka dengan anak kesayangannya.
“Bila hari raya, makcik kirim biskut raya dengan rendang kering. Tapi Ham baru dapat merasa lepas tiga empat bulan. Hati makcik pedih.”
Mak Mah kembali termenung. Ada bunyi resah pada nafasnya yang turun naik.
“Kat mana makcik hendak luahkan rasa terkilan hati ini. Makcik tak tahu kisah sebenar anak makcik. Dia bersalah ke? Kalau salah, salah apa? Kerajaan pun tak ada beritahu.”
Bila mengenang Farik yang gemar mengaji al-Quran, hatinya semakin sayu. Pedih. Mak Mah menaruh harapan tinggi. Namun ia hanya tinggal harapan... kerana tiada apa yang berubah walaupun perpisahan mereka sudah menjangkau 10 tahun. Baginya, biarlah anaknya itu pulang dan diadili mengikut undang-undang.
“Makcik risau sangat kerana dah lama dia ditahan tapi tak dibicarakan. Tidak tahu dia bersalah ke tidak. Kat mana, pada siapa makcik nak beritahu suara hati makcik ni? Makcik dan suami orang kampung. Tak tahu nak mengadu pada siapa,” Mak Mah semakin pilu.
“Nampaknya makcik kena duduk di rumah saja. Tunggulah entah sampai bila. Tapi makcik tak jemu berdoa. Biarlah Ham pulang sebelum makcik menutup mata.”
Mak Mah mengakhiri ceritanya. Air matanya dikesat dengan lengan baju.
 
Dapatkan laporan eksklusif dalam Sinar Harian terbitan hari Isnin, 21 Mei 2012.
Pautan laporan berita berkaitan - Tahanan di Guantanamo: Pernah bincang dengan FBI

Pautan laporan berita berkaitan - Tahanan di Guantanamo: 'Harapan keluarga Pak Amin'

Pautan laporan berita berkaitan - 'Pulangkan anak kami'