Pages

Wednesday, May 9, 2012

Lelaki hina raja mati di penjara

Berita Harian Online | Lelaki hina raja mati di penjara:

KUMPULAN penunjuk perasaan Thai memakai topeng ketika mengadakan bantahan di luar mahkamah di Bangkok, semalam. Gambar kecil, Ampon Tangnoppakul.
KUMPULAN penunjuk perasaan Thai memakai topeng ketika
 mengadakan bantahan di luar mahkamah di Bangkok,
 semalam. Gambar kecil, Ampon Tangnoppakul.


Ampon Tangnoppakul dihukum sejak November, dipercayai hidap barah mulut 

BANGKOK: Seorang lelaki warga Thailand yang dianggap sebagai ‘tahanan malang’ oleh Amnesty International kerana menjalani hukuman 20 tahun penjara atas tuduhan menghina raja dilaporkan mati dalam penjara, kata peguamnya semalam.
Ampon Tangnoppakul, 62, disabitkan oleh Mahkamah Jenayah Bangkok pada November kerana menghantar pesanan ringkas menghina institusi diraja pada 2010.
Kesatuan Eropah (EU) memandang serius hukuman yang dijatuhkan ketika itu. 

“Isterinya menghubungi saya pagi ini dan memberitahu saya, suaminya sudah meninggal dunia dalam penjara,” kata peguam Ampon, Anon Numpa kepada AFP dan menambah anak guamnya berharap mendapat pengampunan diraja. 

Doktor di jabatan pemulihan, hospital di mana mayat Ampon dibawa dari Penjara Tahanan Bangkok berkata punca kematian masih disiasat. 

“Rekod perubatannya menunjukkan beliau pernah menghidap barah mulut dan ketika kematian, perutnya membesar dan ia kini dalam penyiasatan. Saksi berkata beliau kelihatan sihat malam semalam tetapi pagi ini beliau tidak bergerak dan sudah mati,” katanya. 
Ampon, yang dikenali di Thailand sebagai ‘Pakcik SMS’ mengaku tidak bersalah ketika perbicaraan, kes perundangan yang paling tegas membabitkan sistem diraja, yang menerima kritikan kerana ia menghalang kebebasan bersuara. 

“Beliau muncul mewakili kumpulan besar yang dilayan secara tidak adil menerusi undang-undang diraja dan apa yang beliau hanya mahukan ialah menjadi datuk dan menikmati hari tuanya, “ kata penyelidik Amnesty, Benjamin Zawacki. 

Keluarga diraja sangat sensitif dengan perkara yang membabitkan kekacauan politik. Raja Bhumibol Adulyadej, 84, sudah memerintah selama 66 tahun tetapi masih berada di hospital sejak September 2009. – AFP

No comments: