Berita Harian Online | INTERPOL mahu tahan Hashemi:
Naib Presiden Iraq dituduh rancang, biaya keganasan dalam negara sendiri
PARIS: Agensi polis global, INTERPOL, semalam diminta menahan Naib Presiden Iraq, Tareq al-Hashemi, yang menjadi pelarian kerana disyaki merancang dan membiaya serangan di negara Teluk itu.
Hashemi, tokoh politik terkemuka Sunnah, meninggalkan Baghdad Disember lalu apabila kerajaan Iraq yang diterajui pemimpin Syiah menuduh beliau adalah ketua kepada skuad pembunuh.Pemimpin itu yang dipercayai berlindung di Istanbul, Turki, menafikan semua dakwaan dan menyifatkannya bermotif politik dan enggan menjalani perbicaraan di Baghdad.
INTERPOL yang beribu pejabat di Lyon, Perancis, mengeluarkan amaran menahan Hashemi menerusi penyiaran ‘Notis Merah’ atas permintaan Baghdad.
Notis Merah bukan waran tangkap antarabangsa tetapi satu arahan kepada pasukan polis di 190 negara anggota supaya membantu mengesan Hashemi dan membawanya ke muka pengadilan. Tiada reaksi diterima dari Turki yang juga anggota INTERPOL buat masa ini.
“Atas permintaan pihak berkuasa Iraq, INTERPOL mengeluarkan Notis Merah terhadap Hashemi kerana disyaki membiayai serangan pengganas di negaranya.
“Notis Merah INTERPOL akan mengehadkan pergerakan Hashemi dan menyeberang sempadan antarabangsa,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Stesen televisyen NTV di Turki melaporkan, Hashemi dikawal beberapa anggota keselamatan negara itu di sebuah pangsapuri mewah di Istanbul.
Seorang anggota polis bersenjata mesingan mengawal pintu masuk bangunan itu, manakala beberapa kereta polis berada dekat situ.
Minggu lalu, ketika ditemu bual di Istanbul, Hashemi memberitahu, balas dendam politik adalah penyebab beliau dikehendaki untuk dibicarakan yang akan memberi kesan kepada perpaduan di Iraq selain mewujudkan ketegangan antara puak Sunnah dan Syiah di Timur Tengah.
Beliau juga menuduh Perdana Menteri Iraq dari puak Syiah, Nuri al-Maliki, menjadi perancang untuk menghapuskan tentangan seperti yang berlaku di Syria.
Jurucakap Hashemi terus menyatakan bahawa beliau keluar dari Iraq untuk mengadakan pertemuan diplomatik dengan pemimpin serantau dan bukan untuk mengelak ditangkap. – Reuters/AP
No comments:
Post a Comment