Berita Harian Online | Terkejut warga Nepal mabuk tidur sekatil:
KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri dari Flet Awam Jalan Hiliran di sini, terkejut apabila terjaga daripada tidur awal pagi semalam dan mendapati seorang warga Nepal yang dipercayai mabuk tidur sekatil dengan mereka.
Kehadiran suspek disedari mangsa yang juga anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada jam 4.15 pagi selepas anak mereka yang berusia dua tahun menangis kerana dihimpit suspek yang tidur sekatil bersama keluarga berkenaan.
Suspek berusia 31 tahun yang dipercayai mabuk menceroboh masuk rumah anggota polis terbabit sebelum tertidur bersama keluarga terbabit.Anggota terbabit dipercayai masuk tidur bersama isteri dan anaknya berusia dua tahun kira-kira jam 1.20 pagi tetapi terjaga apabila mendengar tangisan anaknya yang dipercayai berasa tidak selesa akibat dihimpit suspek.
Sebaik terjaga, mangsa yang terkejut dengan kehadiran suspek sedang lena tidur di katilnya, menahan lelaki itu dan memaklumkan kepada Rakan Cegah Jenayah Terengganu sebelum dibawa ke Balai Polis Chabang Tiga untuk siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin yang dihubungi di sini, semalam, berkata, suspek yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di bandar raya ini dipercayai tersilap masuk ke kediaman mangsa akibat mabuk.
Katanya, suspek dipercayai memasuki rumah mangsa melalui pintu utama sebelum tidur di bilik sama dengan keluarga terbabit.
No comments:
Post a Comment