BAITULMAQDIS: Ketua Parti Buruh Israel semalam mengecam perdana menteri negara itu, Benjamin Netanyahu, kerana menjadikan program nuklear Iran sebagai ancaman terbesar rejim Zionis.
Menurut Shelly Yacimovitch, tindakan menjadikan ancaman Iran itu sebagai masalah utama Israel dianggap satu kesilapan.
“Sekatan ke atas Iran sepatutnya diberi lebih masa untuk memberi kesan, selain ia juga perlu dijalankan dengan penyelarasan sepenuhnya dengan Amerika Syarikat,” katanya.
Yacimovitch membuat kenyataan itu ketika ditemu bual stesen televisyen swasta Israel, Channel 2.
Menurut Yacimovich lagi, serangan tentera ke atas Iran sepatutnya menjadi pilihan terakhir untuk rejim berkenaan menyelesaikan kemelut isu program nuklear Iran.
Parti Buruh yang diketuai Yacimovitch kini bertindak sebagai pembangkang di Israel dan mereka akan berhadapan dengan Netanyahu dalam pilihan raya yang dijangka diadakan September nanti.
Sebelum ini, Netanyahu berkali-kali menyatakan, program nuklear Iran adalah ancaman terbesar ke atas Israel.
Baru-baru ini, Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Ehud Barak, dikritik bekas ketua agensi keselamatan dalam negeri kerana “mengelirukan rakyat Israel dengan meyakinkan orang awam bahawa serangan ke atas Iran dapat menghalang negara itu memiliki bom nuklear.” Dianggap satu-satunya kuasa nuklear di Timur Tengah, Israel percaya Iran menjadi ancaman jika memiliki bom atom.
Tel Aviv juga tidak pernah menolak kemungkinan akan melancarkan serangan mengejut ke atas Iran bagi menghalang negara terbabit memiliki senjata nuklear. - AFP
No comments:
Post a Comment