KAHERAH 5 Mei - Sekurang-kurangnya seorang terbunuh, manakala 373 lagi cedera selepas tentera Mesir menggunakan meriam air, gas pemedih mata dan batu untuk menyuraikan tunjuk perasaan yang cuba menceroboh bangunan Kementerian Pertahanan di sini, semalam.
Timbalan Ketua Perkhidmatan Ambulans, Ahmed Ansari berkata, seramai 82 orang yang cedera dihantar ke beberapa hospital di Kaherah.
Tentera menyifatkan tindakan mereka itu sebagai 'mempertahankan diri.
Pertempuran antara tentera dan penunjuk perasaan anti-tentera itu turut menyebabkan majlis tentera Mesir yang memerintah mengumumkan perintah berkurung sepanjang malam di kawasan berhampiran tunjuk perasaan.
Dalam satu ucapan di televisyen, Jeneral Mukhtar al-Mulla, anggota Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir (SCAF) berkata, perintah berkurung dikuatkuasakan di Dataran Abasiah dan sekitar Kementerian Pertahanan.
Beratus-ratus tentera mengawal kementerian itu awal semalam ketika penunjuk perasaan mula memotong dawai berduri yang diletakkan di sekitar bangunan tersebut.
Ketegangan di Mesir memuncak selepas 11 orang terbunuh dalam pertempuran pada Rabu lalu apabila penyerang yang tidak dikenali menembak penunjuk perasaan yang berhimpun di luar bangunan Kementerian Pertahanan. - AGENSI
No comments:
Post a Comment