SEOUL 9 April – Korea Utara dipercayai sedang menggali sebuah terowong baru bawah tanah sebagai persiapan untuk menjalankan ujian nuklear ketiga.
Imej satelit, baru-baru ini menunjukkan kerja menggali di tapak Punggye-ri, timur laut Korea Selatan, di mana ujian nuklear dijalankan pada 2006 dan 2009, sudah berada pada peringkat akhir, menurut laporan perisikan Korea Selatan yang disiarkan kepada Associated Press (AP), hari ini.
Penyiaran itu dibuat ketika Korea Utara sedang bersiap sedia untuk melancarkan sebuah roket jarak jauh yang disyaki oleh Washington dan negara lain sebagai helah untuk menguji teknologi peluru berpandu yang boleh digunakan untuk menyerang Amerika Syarikat (AS).
Pemerhati khuatir berulangnya apa yang berlaku pada 2009, apabila kritikan antarabangsa terhadap pelancaran roket jarak jauh Korea Utara sebelum itu mendorong Pyongyang meninggalkan meja rundingan pelucutan senjata nuklear dan beberapa minggu kemudian, menjalankan ujian nuklear keduanya.
Setahun kemudian, 50 rakyat Korea Selatan terbunuh dalam serangan yang didakwa angkara Korea Utara.
“Korea Utara secara diam-diam sedang membuat persiapan untuk menjalankan ujian nuklear ketiga, yang akan menjadi satu lagi provokasi besar,” menurut laporan yang berdasarkan gambar satelit komersial AS pada 1 April lalu.
Pyongyang pada bulan lepas mengumumkan rancangan untuk melancarkan sebuah satelit pemantau menggunakan sebuah roket tiga peringkat sempena sambutan ulang tahun ke-10 kelahiran pengasas Korea Utara, Kim Il Sung pada pertengahan bulan ini.
AS, Jepun, Britain dan negara lain menggesa Korea Utara membatalkan pelancaran roket jarak jauh itu kerana ia melanggar resolusi PBB, dan janji Pyongyang sendiri untuk tidak terlibat dengan aktiviti nuklear dan peluru berpandu – Agensi
No comments:
Post a Comment