MOSCOW — Menteri Luar Syria, Walid Muallem memberitahu Moscow hari ini bahawa Damsyik sudah mula menerima pelan damai diusahakan oleh Kofi Annan tetapi Rusia menegaskan rejim itu perlu lebih komited dalam melaksanakan inisiatif itu.

Lawatan Menteri Luar veteran itu ke  Moscow itu secara kebetulan diadakan pada hari akhir negara itu perlu menerima damai Annan.

Di bawah pelan damai itu, Kerajaan Syria perlu menarik balik anggota tentera dari bandar-bandar yang berhadapan dengan protes.

Barat pula risau pelan damai itu menemui kegagalan dengan sikap Syria.

"Saya memberitahu rakan sejawatan saya di Rusia langkah-langkah yang diambil oleh Syria untuk menunjukkan semangat baik dalam pelaksanaan pelan damai Annan," kata beliau selepas mengadakan pertemuan dengan Sergei Lavrov di sini hari ini.

Beliau menambah bahawa gencatan senjata akan berkuat kuasa selari dengan kehadiran pembantau antarabangsa.
Beberapa negara antarabangsa seakan ragu-ragu dengan tindakan Presiden Bashar al-Assad untuk menamatkan kekacauan di negara itu kerana sekurang-kurangnya 105 dilaporkan terkorban akibat ditembak oleh pasukan keselamatan di sempadan Turki-Lebanon, kelmarin.

Semalam, pasukan tentera turut dilaporkan membedil beberapa kampung, kawasan sempadan dan melakukan pembunuhan secara beramai-ramai beberapa jam  sebelum tarikh akhir tersebut.

Ketua pemerhati, Rami Abdel Rahman berkata, Assad terlalu yakin dapat melaksanakan apa yang dipersetujui dalam pelan damai itu  tetapi sebenarnya jika ia gagal, Syria akan terjerumus ke dalam perang saudara.